Ubat Gigi Berfluorida Untuk Kanak-Kanak
Pengenalan
                      Memberus  gigi adalah antara amalan penjagaan  mulut yang sebaiknya dilakukan untuk  kebersihan diri. Memberus gigi  menggunakan ubat gigi berfluorida setiap hari  boleh mencegah kerosakan  gigi. Penggunaan ubat gigi berfluorida merupakan salah satu faktor yang  menyumbang  kepada pengurangan kadar kerosakan gigi di serata dunia. 
Fluorida ialah mineral semula jadi yang boleh menguatkan lapisan luar gigi dan membantu mencegah kerosakan gigi. Walau bagaimanapun, penggunaan fluorida yang berlebihan boleh menyebabkan fluorosis enamel iaitu kecacatan lapisan luar gigi.
Kesan Pengambilan Fluorida  Berlebihan
                    Pengambilan  fluorida berlebihan oleh kanak-kanak  sering kali terjadi bila mereka menelan  ubat gigi berfluorida semasa  memberus gigi. Sesetengah kanak-kanak suka dengan  rasa ubat gigi yang  berperisa. Ini menyebabkan mereka menelan ubat gigi  tersebut.
                   
                    Dalam keadaan lain, sesetengah kanak-kanak diberi  fluorida tambahan secara  berlebihan. Terdapat juga yang diberi fluorida  tambahan sedangkan bekalan air  paip sudah pun mengandungi fluorida  yang mencukupi.
                   
                    Pengambilan fluorida yang berlebihan semasa proses  pembentukan gigi boleh  menyebabkan kecacatan gigi. Kesannya, lapisan  luar gigi (enamel) yang putih dan  licin menjadi lubang-lubang kecil  berwarna coklat. Warna ini kelihatan jelas  pada permukaan gigi hadapan. 
                   
                    Gigi hadapan sangat penting untuk penampilan dan  senyuman menarik. Sudah tentu  kecacatan gigi tersebut boleh menjejaskan  keterampilan diri . 
Rawatan Kecacatan Pada Enamel
                        Fluorosis  enamel boleh  dirawat.  Dengan rawatan kosmetik pergigian, penampilan gigi yang terlibat boleh   dibaiki. Pakar Pergigian Pediatrik akan memberitahu anda tentang rawatan  yang  boleh dilakukan jika anak anda mengalami fluorosis enamel yang teruk.
Penggunaan Ubat Gigi Berfluorida  Yang Betul
                    Penggunaan  ubat gigi berfluorida penting untuk memastikan kesihatan pergigian anak anda  baik
                   
                    TETAPI
- Pastikan ubat gigi yang digunakan tidak berlebihan. Untuk kanak-kanak berumur 6 tahun dan ke bawah, pemberusan gigi harus dibantu oleh ibu bapa dan ubat gigi yang digunakan hanyalah sebesar kacang pea.
 - Ajar anak anda untuk tidak menelan ubat gigi sebaliknya meludah sebaik sahaja selepas memberus gigi.
 - Manakala bagi kanak-kanak di bawah umur 2 tahun, ubat gigi mungkin tidak perlu digunakan.
 
No comments:
Post a Comment