Thursday 19 January 2012

Terkencing ketika batuk, bersin

Mungkin disebabkan hamil atau kerosakan injap kawal pundi punca utama

Soalan:

Doktor, saya berusia pertengahan 30-an dan hamil anak ketiga. Dua kehamilan sebelum ini tidak mendatangkan masalah kepada saya tetapi kehamilan kali ini berlainan. Saya kerap terkencing setiap kali batuk dan bersin. Ia menyebabkan saya sukar sekali untuk solat dan terpaksa memakai tuala wanita setiap hari.

Saya ingin tahu adakah keadaan ini normal dan adakah saya boleh pulih seperti biasa selepas bersalin? Adakah keadaan ini dipengaruhi faktor usia? Selain itu saya kerap mengalami kekejangan pada bahagian kaki ketika beralih kedudukan waktu tidur. Harap doktor dapat membantu

Puan Aina
Jawapan:

PUAN Aina, setiap kehamilan adalah berlainan dan san-kesan dari kehamilan yang dulu telah menyebabkan puan mengalami masalah terkucil setiap kali puan batuk atau bersin.
Ada dua punca utama. Pertama akibat dari dua kelahiran normal dulu yang menyebabkan 'injap' mengawal pundi kencing rosak.

Kelahiran secara normal boleh menyebabkan 'injap' ini terkoyak atau urat sarafnya rosak. Ini menyebabkan seseorang itu sukar mengawal pundi kencing. Mungkin kerosakan ini adalah kecil dan tidak diketahui ketika tidak hamil tetapi apabila kehamilan berlaku barulah ketara.

Kehamilan menyebabkan tekanan pada 'injap' ini. Kerosakan pada 'injap' pundi kencing lebih teruk jika puan mengalami proses bersalin yang lama, bayi bersaiz besar dan doktor terpaksa menggunakan vakum atau forcep bagi membantu anda sewaktu bersalin.

Kedua, ia mungkin berpunca daripada kehamilan itu sendiri yang mana hormon progesterone dari uri sudah melemahkan 'injap' pundi kencing. Tambahan tekanan daripada bayi dalam rahim membuatkan 'injap' ini sukar dikawal ketika batuk atau bersin. Terkencing l ini memang biasa berlaku di kalangan ibu-ibu yang mengandung dan rawatan adalah sukar kerana puan mengandung.

Ada beberapa cara puan boleh cuba lakukan. Pertama lakukan senaman Kegel bagi menguatkan otot-otot di dalam pelvis. Otot-otot ini dapat menguatkan 'injap' yang lemah. Lakukan setiap enam hingga lapan kali setiap hari. Setiap senaman itu lakukan selama 20 minit.

Kedua sentiasa pastikan pundi kencing puan kosong dengan membuang air kecil selalu. Ketiga, lakukan ujian air kencing untuk melihat sama ada ada jangkitan kuman atau tidak. Selepas bersalin semua keadaan ini akan berubah.

Selain itu, masalah kekejangan pada betis sememangnya biasa bagi wanita hamil. Pencegahannya tidak diketahui. Kalau terjadi urutan boleh menolong.

Jawapan disediakan;
Dr Suhaimi Isa

1 comment:

  1. Assalamualaikum doktor. Usia saya 59 tahun & telah monopos. Saya telah melalui kelahiran 8 orang anak secara normal. Masalah saya sekarang ialah mudah terkencing apabila bersin & batuk. Ini menyukarkan saya untuk beribadat. Adakah ini disebabkan rahim saya jatuh. Harap doktor dapat memberi sedikit penjelasan. Tksh.

    ReplyDelete