Thursday 19 January 2012

Risau ketulan pada payudara, buasir

SAYA suri rumah berusia 26 tahun dan ibu dua orang anak. Anak kedua saya baru berumur 4 bulan. Saya mempunyai dua kemusykilan, yang pertama ada ketulan pada kedua-dua payudara saya yang dikesan sejak mengandungkan anak pertama (2007). Saya pernah buat pemeriksaan dan doktor mengatakan ia hanya lemak.

Biarpun tidak sakit, tetapi ketulan itu bertambah besar daripada saiz sebelumnya. Masalah kedua, buasir yang saya alami sejak 20 tahun yang bermula kerana saya kerap sembelit. Awalnya ia cuma sebesar kismis dan sekarang selepas melahirkan dua anak, buasir bertambah teruk iaitu memenuhi lubang dubur.

Pernah beberapa kali saya membuang air besar kemudian keluar darah dan pernah juga saya demam selepas membuang air besar. Doktor beri saya ubat ‘Daflon & Suppository,’ tetapi saya bimbang untuk meneruskan pengambilan Daflon kerana bayi saya menyusu badan sepenuhnya. Apa harus saya lakukan?

Ning,
Sandakan, Sabah.

Puan Ning, untuk masalah pertama; sebarang ketulan pada payudara tanpa kira usia memerlukan pemeriksaan selanjutnya dari doktor pakar. Walaupun secara amnya bagi wanita yang masih muda kebarangkalian ketulan itu adalah kanser adalah amat kecil tetapi ini tidak dapat dipastikan dengan tepat sekiranya puan tidak berjumpa pakar untuk pemeriksaan selanjutnya.

Umumnya bagi wanita yang masih muda selalunya ketulan ini disebabkan oleh fibroadenoma - ketulan keras berasal dari tisu fibrous payudara. Ia seumpama fibroid pada rahim. Fibroadenoma bukan kanser dan ia akan membesar secara perlahan. Lipoma pula adalah ketulan yang berasal dari lemak di bawah kulit. Lipoma boleh terjadi pada payudara dan ia sukar sedikit untuk diperiksa kerana sifatnya yang lembut dan ‘bergerak’ apabila diperiksa. Ini juga memerlukan pemeriksaan oleh doktor.

Bagi masalah kedua pula, buasir terjadi bila saluran darah pada dubur membengkak kerana tersumbat dan oleh kerana dinding dubur lembut ia akan terkeluar. Kalau buasir ini serius ia akan membentuk seperti bunga memenuhi lubang dubur. Buasir ini ada kaitan dengan sifat kita seperti kurang mengambil makanan berserat tinggi, kurang minum air, makan makanan berminyak dan pedas. Ini boleh menyebabkan sembelit dan ini akan menyebabkan luka pada dubur
sekiranya najis keras mengoyakkan dinding dubur.

Dafilon yang diberi baik bagi mengecilkan dan menyembuhkan buasir. Lebih baik sekiranya diambil dalam beberapa bulan. Ia adalah herba dan selamat digunakan semasa mengandung dan menyusu bayi. Jadi saya syorkan puan teruskan Dafilon lebih lama lagi bagi membantu puan dalam mengawal buasir menjadi lebih teruk di samping mengubahsuai cara hidup puan. Saya nasihatkan sekiranya buasir puan sudah ke tahap keluar semuanya melalui dubur, eloklah puan lakukan pembedahan buasir.

Namun, masalahnya kalau sudah dibedah dan sekiranya puan mengandung semula maka buasir akan kembali. Oleh kerana Puan Ning mempunyai dua masalah ini maka berjumpalah dengan pakar bedah untuk pemeriksaan terperinci bagi kedua-duanya.-Berita Harian

No comments:

Post a Comment