Thursday 19 January 2012

Kesan Ambil pil tahan sakit

Pengambilannya redakan haid, kurangkan darah beku

SAYA sudah berkahwin tetapi tidak mempunyai anak. Pada Julai lalu, haid saya tidak datang tetapi apabila diuji saya tidak hamil. Pada 1 Ogos lalu, saya haid selama sembilan hari berbanding enam hingga tujuh hari, sebelum ini. Pada hari pertama haid, saya makan ubat tahan sakit atas nasihat doktor kerana senggugut yang sangat teruk sehingga menyebabkan pitam di pejabat. Saya tidak pernah mengambil ubat tahan sakit ‘Tren Capsule 250mg’ kerana lazimnya hanya makan paracetamol saja. Haid saya kering dan empat hari kemudian, saya didatangi haid semula. Apakah punca terjadinya perkara begini? Adakah ia kesan sampingan ubat-ubat yang saya ambil atau tanda penyakit lain?

AIDA
Puan Aida, ujian air kencing untuk memastikan seseorang itu hamil adalah tepat walaupun bukannya 100 peratus. Kadangkala ujian air kencing menunjukkan positif dua garisan terbentuk tetapi sebenarnya garisan ‘ujian’ itu adalah samar-samar. Ini kerap berlaku kerana kadang kala ujian ini mencatatkan hormon yang lain selain hormon kehamilan yang betul. Ini dapat dipastikan dengan ujian darah beta hCG yang lebih jitu.

Apa yang puan alami pada Julai dan Ogos kelmarin adalah disebabkan masalah pada ovari yang mana ovari puan pada Jun lagi sudah kurang berfungsi kerana kegagalan folikul-folikul berkembang dan matang. Ia juga disebabkan kegagalan ovulasi berlaku.

Apabila ada masalah pada ovari, kesannya ialah haid tidak datang atau tidak menentu. Fungsi-fungsi ovari ini boleh terjejas kerana pertambahan berat badan seperti selalunya. Lebihan lemak di bawah kulit juga boleh mengganggu pertumbuhan folikul-folikul ini dan juga kualitinya.

Apabila haid pada Jun disebabkan kegagalan ovulasi berlaku maka haid pada Julai akan terlewat. Namun pada Ogos oleh kerana dinding endometrium ini menjadi terlalu tebal, ia turun sebagai haid.

Selepas tempoh sebulan, haid yang berikut akan banyak dan selalunya pembekuan darah turut berlaku. Darah-darah beku ini keluar dan akan menyebabkan senggugut yang teruk. Ubat jenis asid mefenemic seperti Ponstan dapat membantu haid puan. Ponstan mengurangkan sakit senggugut dan juga mengurangkan jumlah haid yang hilang dan seterusnya mengurangkan terjadinya pembekuan darah.

Pengambilan ubat tahan sakit yang kronik atau kuat boleh menyebabkan gastrik. Jadi jika puan mempunyai Indeks Jisim Tubuh (BMI) melebihi 30, cuba turunkan berat badan dengan pemakanan, senaman dan dapatkan balik berat yang optimum. Bila haid kembali normal, kemungkinan mengandung adalah tinggi.

No comments:

Post a Comment