Thursday 19 January 2012

Payudara Besar sebelah

Ketulan payudara mesti diperiksa

SOALAN SAYA gadis berusia 21 tahun. Baru-baru ini, saya terasa seperti ada ketulan di atas payudara sebelah kiri. Ia tidak sakit apabila dipicit dan tidak pula membesar dari sehari ke sehari. Saya juga berasakan saiz payudara kiri lebih besar berbanding sebelah kanan. Untuk pengetahuan doktor, keluarga sebelah ibu atau bapa saya tidak mempunyai sejarah penyakit kanser. Bagaimanapun, saya bimbang kemungkinan ketulan ini sebenarnya adalah kanser.

Anis,
Seremban

JAWAPAN:

SAUDARA Anis, majoriti kes ketulan pada payudara wanita dalam lingkungan usia 20-an adalah disebabkan fibroadenoma. Ini bukannya kanser tetapi tisu fiber yang membentuk satu ketulan. Ketulan ini keras dan boleh ‘bergerak’ apabila kita cuba memeriksanya. Pada masa sama, ia tidak mempunyai tanda seperti sakit, berdarah dan sebagainya.
Bagaimanapun, ketulan itu boleh membesar namun prosesnya amat perlahan. Walaupun ia bukan kanser secara keseluruhan, setiap ketulan pada payudara mestilah diperiksa oleh doktor.

Malah, seelok-eloknya beberapa ujian perlu dilakukan bagi memastikan ketulan ini bukannya kanser. Ujian ini seperti imbasan ultrasound dan biopsi kecil dengan menggunakan jarum yang halus. Biopsi ini amat penting untuk menentukan diagnosis sebenar.

Jika ia disahkan sebagai fibriodenoma, maka saudari mempunyai dua pilihan. Pertama rawatan secara konservatif iaitu memantaunya setiap enam bulan atau setahun sekali dengan imbasan ultrasound. Pemantauan ini bertujuan mengukur kadar pembesarannya dan kemungkinan wujud gejala-gejala lain.

Pilihan kedua, saudari boleh terus memilih untuk membuang terus ketulan ini. Ada sebilangan wanita khuatir jika ketulan ini tidak dibuang, ia boleh tumbuh semula. Oleh itu, saya cadangkan saudari pergilah berjumpa doktor untuk pengesahan sebenar dan rawatan.

Jawapan disediakan oleh; Dr Suhaimi Isa,

No comments:

Post a Comment