Thursday 19 January 2012

Risau masih belum hamil

Segera rujuk doktor pakar bincang masalah keguguran

Saya ingin bertanya dan berkongsi masalah keputihan yang dihadapi. Saya sudah berkahwin dan pernah mengalami keguguran tetapi tidak melalui proses D&C. Pertama kali keguguran, keluar satu ketulan darah saya andaikan janin saya. Saya dan suami berkahwin pada usia muda, jadi kami kurang pengetahuan mengenai perlunya berpantang selepas keguguran.

Kami melakukan hubungan kelamin selepas sebulan saya keguguran dan dua bulan selepas itu, saya mengalami pendarahan tetapi tidak pasti adakah ia kesan daripada keguguran sebelum itu atau berlaku satu lagi keguguran kerana tiada ketulan darah yang keluar. Sakitnya sama seperti keguguran kali pertama.

Saya mengalami jangkitan trichomonas selepas pendarahan berikutan keguguran di mana keluar lendir hijau dan berbau hamis dari vagina, namun saya sangka ia biasa saja. Saya tidak mendapatkan nasihat doktor di klinik kerana malu dan hanya menggunakan tuala wanita nipis herba untuk cuba mengurangkan jangkitan itu.

Sekarang saya cuma mengalami bacterial vaginosis di mana lendir berwarna putih pekat. Kini sudah dua tahun berlalu, tapi saya masih tidak hamil, semakin lama haid juga kurang teratur, kadangkala lewat empat hari, kadangkala awal dari tarikh sepatutnya.

Pada pendapat doktor, adakah saya mandul atau masih ada peluang untuk hamil berdasarkan kes ini. Adakah saya keguguran dua kali dan jika gugur dua kali tanpa melakukan proses D&C, apa kesan pada rahim saya. - Aznie

Jawapan

Puan Aznie, persoalannya adakah puan pernah mengalami keguguran. Apabila seseorang mempunyai kitaran haid tidak menentu seperti lewat sampai seminggu dua, mereka berperasaan mereka hamil kerana gejala kehamilan seperti loya dan payu dara bengkak boleh terjadi. Bila haid terjadi, mereka beranggapan mengalami keguguran, tambahan pula kadangkala terdapat tisu seperti janin akan keluar bersama darah.

Tisu berbentuk janin ini adalah dinding rahim yang luruh berbentuk seperti 'daging'. Bagi pakar perubatan, jika seseorang itu sah mengandung, dia mestilah mempunyai bukti seperti ujian air kencing, ujian ultrasound dan ujian histology selepas D&C dilakukan.

Sekiranya tiada bukti itu, sukar saya mengatakan puan mengalami masalah keguguran dua kali dan mungkin ia adalah kelewatan haid saja. Andai itu keadaannya, puan tidak perlu melakukan D&C. Keguguran sebenar, majoritinya memerlukan D&C kerana dalam kebanyakan kes keguguran, bekas janin tidak habis keluar semuanya.

Oleh itu puan tidak mengalami apa-apa masalah walaupun D&C tidak dilakukan. Dari sudut ini, saya berpendapat puan ada mempunyai masalah kesuburan.
Sebaliknya jika puan pernah hamil dua kali dan keguguran itu lengkap, maka D&C tidak diperlukan dan ini tidak memberi apa-apa kemudaratan kepada puan.

Punca keguguran sukar dibuktikan. Lebih daripada 50 peratus disebabkan masalah genetik pada janin itu. Punca lain adalah jangkitan dan majoritinya masih tidak diketahui. Masalah kedua yang saya berpendapat penting adalah jangkitan faraj yang kronik dari trichomas sehinggalah ke bacterial vaginosis.

Saya rasa ia memerlukan siasatan lebih tepat punca kenapa puan mengalami masalah seperti ini. Ini termasuklah pemeriksaan kencing manis dan keputihan, sama ada betul atau tidak. Antibiotik yang tepat diperlukan untuk memastikan ia tidak berulang lagi.

Saya cadangkan puan berjumpa doktor pakar berhubung masalah kesuburan puan, masalah haid dan juga masalah keputihan. Puan tidak perlu tunggu lama kerana haid mula bermasalah. Puan masih berpeluang untuk mengandung-Suzan Ahmad

No comments:

Post a Comment