Thursday 19 January 2012

Periksa kesuburan, Ujian hormon dan ovari bantu selidik punca sukar hamil

Soalan:
SAYA sudah lama berkahwin tetapi masih belum hamil. Saya pernah disahkan hamil pada 2009, tetapi anak dalam kandungan saya tidak membesar biarpun sudah berusia tiga bulan. Ketika itu, doktor menyarankan saya melakukan prosedur D & C (Dilatation and Curettage) dan itulah yang saya lakukan. Tetapi, sehingga kini saya belum hamil. Apa yang harus saya lakukan? MEERA
Jawapan:

PERMASALAHAN mengenai kesuburan, mudah hamil atau sukar mengandung sememangnya meluas dan ia amat panjang untuk diperincikan di sini. Sudah pasti, banyak yang perlu diselidiki oleh doktor untuk menjejaki punca ketidaksuburan seseorang wanita itu. Oleh itu, amat penting bagi Puan untuk berjumpa doktor pakar bagi mengesan apa puncanya.

Bagaimanapun, bagi pengetahuan Puan, ada dua faktor utama yang perlu diperiksa ke atas wanita jika membabitkan permasalahan ini:

1. Adakah ovari puan menghasilkan ovum-ovum dan apakah ovulasi berlaku setiap bulan?
2. Mungkinkah saluran atau tiub falopian tersumbat?

Bagi soalan pertama, secara amnya jika seseorang wanita itu mempunyai kitaran haid normal setiap bulan, maka kita boleh anggapkan bahawa wanita itu subur. Haid akan teratur jika ovulasi berlaku setiap bulan. Bagaimanapun, ia juga bukan 100 peratus betul dan ujian hormon, darah dan kencing boleh membantu jika kita mahu mengetahui tahap kesuburan. Selain itu, ujian sonografi pada ovari pada hari ke 8,10,12 dan 14 pula dapat memantau pertumbuhan ovum.

Bagi soalan kedua, amat jarang sekali tiub falopian boleh tersumbat. Jika ada pun, antara lain puncanya terjadi adalah jangkitan bakteria sama ada daripada vagina atau selepas D & C. Untuk mengetahui masalah tiub tersumbat puan boleh melakukan ujian histerosalfingogram atau laparaskopi.

Kebanyakan wanita selepas berkahwin dan mengandung mereka mengalami masalah berat badan. Obesiti sememangnya mengganggu atau menjejaskan kesuburan seseorang wanita itu.

Manakala bagi lelaki pula, faktor utama adalah sama ada sperma mereka adalah normal dari segi kuantiti, kualiti dan aktiviti. Mereka hanya perlu memberikan air mani untuk ujian sperma.

Apakah puncanya puan susah untuk mengandung kali kedua? Jika sebelum ini puan pernah mengandung tetapi mengalami keguguran, maka pada saya ini adalah suatu petanda yang baik kerana ini membuktikan puan dan suami adalah subur.

Namun, andaian saya, Puan tidak mempunyai masalah berat badan dan haid adalah normal maka berkemungkinan tiub falopian bermasalah. Jika Puan mengalami kenaikan berat badan yang banyak, cuba kurangkan ke tahap yang mana menyaksikan Puan hamil sebelum ini.

Jadi, saya berasa puan masih banyak peluang untuk mendapat zuriat memandang usia puan masih muda dan pernah mengandung pada masa dulu. Saya nasihatkan puan pergi berjumpa pakar untuk rawatan selanjutnya.

Jawapan disediakan
Dr Suhaimi Isa,

No comments:

Post a Comment