Thursday 19 January 2012

Kaunseling Ubat Methylphenidate

Pengenalan
Methylphenidate ialah sejenis perangsang yang mengaktifkan atau meningkatkan aktiviti sistem saraf pusat. Ia membantu kanak-kanak yang menghidap gangguan kurang tumpuan dengan hiperaktiviti (ADHD) menjadi tenang dan boleh menumpukan perhatian.

Kajian menunjukkan bahawa ketagihan kepada ubat perangsang sistem saraf pusat.tidak akan berlaku jika individu yang menghidap ADHD mengambil ubat mengikut dos dan sukatan yang diarahkan oleh doktor.

Kesan Sampingan

  1. Kemurungan, pening, mengantuk, sakit kepala, gangguan tidur.
  2. Perubahan pada tekanan darah atau degupan jantung.
  3. Kehilangan rambut, ruam.
  4. Pertumbuhan yang terbantut.
  5. Penglihatan yang kabur.
  6. Kehilangan berat badan, loya, muntah.

Kesan Tak Diingini
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat laporan tentang penyalahgunaan methylphenidate oleh sesetengah orang untuk mendapatkan kesan rangsangan yang dihasilkannya seperti mengurangkan selera makan, meningkatkan rasa sedar, meningkatkan daya tumpuan dan euphoria (kegembiraan yang melampau).

Sesetengah penyalahgunaan yang dilakukan adalah dengan melarutkan tablet ke dalam air dan menyuntik larutan itu ke dalam badan. Ini menyebabkan kesan mudarat terhadap diri mereka sendiri kerana tablet yang tidak larut akan menyebabkan salur darah yang kecil tersumbat.

Rawatan

  1. Makan ubat seperti yang diarahkan.
  2. Jangan ubah dos atau berhenti makan ubat tanpa nasihat doktor.
  3. Ubat mungkin mengambil masa untuk memberi kesan.
  4. Jangan hancurkan atau kunyah ubat tersebut.
  5. Tablet dan ubat tablet pelepasan terkawal (sustained release) harus diambil 30-45 minit sebelum makan.
  6. Sesetengah ubat mungkin diambil dengan cara yang berbeza. Sila baca arahan dengan betul.
  7. Minum air secukupnya kecuali jika anda diarahkan sebaliknya.
  8. Anda mungkin mengalami pengurangan selera makan atau penurunan berat badan. Ambil makanan di dalam kuantiti yang sedikit dengan lebih kerap. Ini boleh membantu memastikan keperluan zat makanan yang cukup di dalam badan.
  9. Ubat ini mungkin menyebabkan pening atau rasa gelisah, terutama pada peringkat awal rawatan. Elakkan memandu atau melakukan tugas yang memerlukan tumpuan semasa mengambil ubat ini.

Langkah Berjaga-jaga

  1. Pantau tekanan darah
    • Tekanan darah boleh meningkat.
  2. Jika ada sejarah menghidap epilepsi (sawan)
    • Maklumkan pada doktor jika sawan berlaku.
  3. Rawatan yang berpanjangan tanpa pemantauan akan menyebabkan tumbesaran terbantut.
    • Tinggi dan berat badan perlu dipantau
  4. Elakkan daripada memberhentikan ubat secara mendadak.

Maklumat Tambahan
Maklumkan pada doktor jika kesan ubat mula berkurangan pada sebelah malam.
Maklumkan pada doktor jika anda mempunyai masalah perubatan seperti darah tinggi, glaukoma atau hipertiroid.

Ubat ini tidak disarankan untuk wanita mengandung atau wanita yang menyusukan anak.
Ubat ini tidak disarankan kepada pesakit yang mempunyai sejarah penyalahgunaan ubat/dadah atau alkohol.

Kaedah Penyimpanan
Kaedah penyimpanan perlu diberi perhatian serius memandangkan ubat ini selalu disalahgunakan.
Jangan campurkan ubat ini dengan ubat lain. Simpan ubat di tempat yang sejuk dan kering, serta jauhkan daripada kanak-kanak.

Semakan Akhir : 05 Jun 2008

No comments:

Post a Comment