Friday 13 January 2012

Kanser payudara bunuh wanita

KUALA LUMPUR: Kanser payudara menjadi penyerang utama rakyat negara ini berbanding empat jenis barah utama lain, termasuk usus dan paru-paru.

Mengikut statistik Kementerian Kesihatan bagi tahun ini, kes barah payudara adalah 18.1 peratus berbanding kanser usus (12.3 peratus), paru-paru (10.2 peratus) nasofarinks (5.2 peratus) dan servik (4.6 peratus).

Apa yang membimbangkan, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, barah payudara menjadi pembunuh utama wanita negara ini dengan anggaran 29 bagi setiap 100,000 wanita menghidapnya.
Barah payudara adalah pembunuh utama wanita kita iaitu 32.1 peratus berbanding barah usus (10 peratus), servik (8.4 peratus), ovari (6.5 peratus) dan paru-paru (5.4 peratus).

Berdasarkan bilangan penghidap barah payudara yang sudah dikenal pasti, 21 peratus adalah tahap pertama.

Sejumlah 37 peratus adalah tahap kedua manakala bagi tahap terakhir iaitu tahap ketiga sebanyak 24 peratus dan tahap keempat 18 peratus.

Kesedaran wanita itu sendiri amat penting bagi mencegah penyakit berkenaan sedari awal dengan melakukan pemeriksaan setiap tahun terutama yang berusia lebih 40 tahun. Namun, wanita muda juga tidak terkecuali menghidapnya, katanya selepas merasmikan kempen Kesedaran Barah Payudara Softlan 2011, di sini semalam.

Hadir sama, Pengarah Urusan Colgate-Palmolive Marketing Sdn Bhd, Issam Bachaalani; Pengarah Perdagangan GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd, Ian Cruddas dan Pengurus Besar Majlis Kanser Nasional (MAKNA), Farahida Farid.

Kutipan sebanyak RM75,000 disasarkan menerusi sumbangan 10 sen bagi jualan setiap pek amal produknya yang akan didermakan kepada MAKNA, Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (NCSM) dan Persatuan Kebajikan Kanser Payudara (BCWA).

Pemeriksaan payudara secara percuma turut diadakan di sembilan lokasi termasuk di pasaraya Giant Kota Damansara, Selangor mulai semalam hingga 6 November ini.


Oleh Suzalina Halid

No comments:

Post a Comment