Friday 13 January 2012

Masalah pembesaran Payudara berlebihan




pix_gal0
Saiz besar juga undang masalah

WANITA lazimnya dikatakan mudah terpikat pada raut wajah jejaka yang dikatakan agak maskulin. Biarpun lelaki itu tidak bertubuh sasa, apa yang penting dia memiliki saiz pinggang yang runcing, bidang dada lebar, tinggi dan memaparkan sikap kelelakian.

Berbeza lelaki, kajian menunjukkan wanita yang bertubuh mantap, payudara atau buah dada besar, montok dan segar, potongan pinggang ramping dengan punggung yang lentik menjadi tarikan dan tumpuan jejaka. Raut wajah seksi dengan sikap yang menyeronokkan juga mampu membuatkan lelaki terpikat.

Paparan televisyen dan majalah terutama dari Barat juga jelas asyik mengetengahkan model atau selebriti berbuah dada besar untuk menarik perhatian penonton atau pembaca. Ini secara tidak langsung meletakkan definisi bahawa saiz buah dada memainkan pengaruh dalam kehidupan harian.

Lihat saja, begitu ramai selebriti Hollywood sanggup melaburkan ribuan ringgit demi mendapatkan saiz payudara impian mereka dan perkara itu tidak kurangnya menarik minat selebriti tempatan. Bahkan, pembedahan membesarkan buah dada juga dilihat semakin terkenal kepada remaja yang ingin tampil seksi dan menggoda.

Namun, di sebalik keghairahan untuk tampil dengan posisi buah dada tertonjol, masih ramai wanita sanggup melabur wang ringgit mendapatkan saiz payudara sederhana agar penampilan mereka lebih normal dan seimbang. Seperti selebriti Barat, Heidi Montag yang didakwa terdesak untuk mengecilkan kembali payudara selepas sembilan bulan menjalani pembedahan pembesaran saiz bahagian itu.

Malangnya, dalam mempersoalkan saiz buah dada idaman lelaki, ramai wanita yang tidak mempunyai dada yang menarik menyangka mereka yang dikurniakan dengan buah dada besar adalah bertuah.

Namun, tahukah anda, buah dada yang besar juga sebenarnya membawa masalah kepada empunya diri hingga ramai di antara mereka yang sanggup melabur ribuan ringgit untuk menjalani pembedahan demi mengurangkan bebanan dipikul.

Pakar Sakit Puan dan Kecantikan Klinik Dr Alice, Dr Alice Prethima, berkata punca pembentukan payu dara wanita adalah bergantung kepada beberapa faktor dan antaranya adalah pengaruh keturunan dan perubahan hormon dan budaya pembesaran iaitu pemakanan dan sebagainya.

Perubahan dan bentuk saiz payudara juga berubah mengikut peredaran usia serta fizikal tubuh memandangkan kandungan lemak dalam buah dada boleh berkurangan atau sebaliknya menambah.

"Payudara lelaki dan wanita berbeza. Wanita mempunyai tisu dan pembentukan atau saiz buah dada adalah bergantung kepada jumlah kandungan lemak. Selain itu, pengaruh genetik juga memainkan peranan penting dalam pembentukan payudara bersaiz besar atau kecil.

"Tidak hanya itu, perubahan hormon juga boleh menyebabkan perubahan saiz buah dada bergantung kepada perubahan kandungan estrogen," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Dr Alice memberitahu, walaupun ramai yang melihat memiliki payudara besar adalah seksi dan mampu menarik perhatian, tetapi di sebalik andaian itu sebenarnya membawa kesukaran buat mereka yang dianugerahkan dengan saiz idaman seperti yang didakwa.

"Memiliki payudara yang besar memang tidak dinafikan menjadi tumpuan ramai terutama lelaki. Tapi di sebalik nikmat pandangan itu, sebenarnya tersirat pelbagai masalah antaranya sakit belakang dan leher yang teruk dan juga kesukaran untuk melakukan aktiviti jasmani.

"Masalah kebesaran buah dada juga boleh menyebabkan individu itu mengalami masalah keyakinan diri. Bahkan ia membuatkan mereka segan melakukan aktiviti sosial dan dalam soal pemilihan baju dalam wanita ini juga perlu lebih terperinci dalam soal pemilihan baju dalam memandangkan jika tersilap, ia boleh mengakibatkan luka pada kulit bahu.

"Jika pembesaran payudara berlaku di awal usia kanak-kanak, ia juga boleh menyebabkan anak gadis menjadi tidak selesa terhadap perubahan fizikal itu hingga menyebabkan mereka membongkok atau enggan bermain dengan rakan sebaya kerana takut diusik, " jelasnya.

Menyambung penjelasannya, Dr Alice memberitahu menerusi kemodenan dunia kecantikan dan kesihatan masa kini, masalah itu dapat diselesaikan dengan mudah tanpa memberikan kesan parut atau risiko berbahaya jika dilakukan dengan betul mengikut syarat yang ditetapkan.

Jelasnya, sebelum pembedahan dilakukan, rekod perubatan pesakit akan diteliti dulu dan proses seperti pengukuran saiz, bentuk dan jenis kulit pesakit akan dicatatkan begitu juga dengan keadaan puting dan kedudukannya. Lalu, barulah proses pembedahan dapat dijalankan selepas mendapat rundingan sepenuhnya antara pesakit dengan pakar perubatan.

"Sepanjang proses pembedahan itu, segelintir bahagian lemak akan dibuang daripada kawasan bawah dan atas buah dada bergantung kepada jumlah kandungan lemak. Bagaimanapun, sejumlah kecil lemak akan ditinggalkan bagi tujuan keselamatan. Selepas itu, pembentukan dan pemindahan kedudukan puting dilakukan memandangkan kulit menjadi kendur selepas pembuangan lemak.

"Hasilnya, buah dada bukan saja berada dalam kedudukan ideal bahkan anda tidak lagi perlu berhadapan dengan pelbagai tekanan untuk membawa bebanan. Penampilan anda juga akan jauh lebih memukau dan berkeyakinan,” jelasnya.

Terdahulu, ketika ditanya bagaimana untuk menilai sama ada individu itu mengalami masalah saiz payudara, beliau menjelaskan buah dada yang berlebihan saiz lazimnya akan kelihatan tidak seimbang dengan bentuk tubuh badan, sering sakit belakang, kesan melecet bawah buah dada dan garisan hitam sekitar kawasan tali baju dalam.

Jelasnya, pembedahan itu boleh dilakukan seawal usia 18 tahun sejurus pembentukan lemak bermula dan ia tidak memberikan kesan selepas pembedahan termasuk proses penyusuan buat ibu yang pernah menjalani proses itu.

"Lazimnya, individu yang membawa buah dada berlebihan saiz akan mengalami beberapa masalah ketara termasuk kesakitan bahagian leher dan belakang yang teruk. Ada juga yang sering diserang migrain akibat tekanan dikenakan terhadap bahagian tubuh. Keadaan sedemikian boleh berlarutan jika tiada langkah pencegahan diambil.

"Pembedahan pembuangan lemak ini juga boleh dilakukan semua sama ada lelaki atau perempuan asalkan mereka sudah masuk ke peringkat pembesaran sepenuhnya. Ia juga selamat buat ibu yang menyusukan bayi memandangkan bahagian tisu buah dada tidak diganggu," katanya.

Dr Alice juga memberitahu selepas menjalani pembedahan, lazimnya pesakit akan dinasihatkan berehat dan apabila keadaan sudah semakin pulih, mereka tidak dibenar melakukan aktiviti berat atau kerap bergerak termasuk menggeliat, membongkok, mengangkat barang dikhuatiri boleh mengakibatkan bengkak atau pendarahan dalaman.

"Selepas pembedahan, pesakit dinasihatkan berehat dan tidak melakukan banyak pergerakan yang boleh mengakibatkan kecederaan dalaman termasuk pendarahan atau bengkak. Jika perkara itu berlaku, anda perlu berjumpa doktor untuk rawatan lanjut.

"Kesan ketidakselesaan sementara di bahagian puting juga akan berlaku dan ia bergantung kepada individu untuk kembali pulih sepenuhnya dan ada yang mengambil masa selama beberapa bulan untuk mendapat kembali deria di kawasan itu.

"Bagaimanapun, secara keseluruhannya anda sudah boleh menjalankan rutin kerjaya selepas beberapa hari menjalani pembedahan cuma dinasihatkan sekali lagi untuk elak daripada lakukan tindakan atau aktiviti berat," jelasnya tegas.

Sambung beliau, pembedahan pembuangan lemak itu juga boleh bertahan lama asalkan pesakit mengamalkan gaya hidup sihat di samping disiplin dalam mengekalkan bentuk tubuh badan memandangkan lemak yang terkandung dalam payudara boleh mengembang dengan cepat jika tidak diberikan penjagaan rapi.

"Jika ingin mengekalkan keindahan yang dikecapi anda perlulah lebih serius dalam soal penjagaan diri, ia bukan saja memberikan kebaikan kepada hasil pembedahan, bahkan seluruh anggota tubuh. Elak mengambil makanan yang berlemak, merokok, alkohol dan banyakkan bersenam dan gunakan bekas yang bebas kimia untuk membungkus makanan harian anda," jelasnya.

Info:

Masalah pembesaran Payudara berlebihan boleh mengakibatkan ketidakselesaan kepada wanita. Bahkan, mereka juga cenderung untuk mengalami masalah seperti berikut:

* Masalah sakit belakang, leher dan bahu yang kronik.
* Keadaan kesihatan seperti arthritis, fibromyalgia dan masalah tulang belakang.
* Sakit kepala atau migrain.
* Kedudukan tubuh yang lemah.
* Sesak nafas.
* Jangkitan bakteria dan ruam di bawah atau di antara buah dada.
* Kekenduran buah dada.
* Tanda di bahagian tali baju dalam dan boleh menyebabkan kulit melecet.
* Masalah tidur yang tidak selesa.
* Kebas atau mencucuk.
* Membataskan pergerakan aktiviti atau bersenam.

Oleh Fatin Hafizah Mohd Shahar

No comments:

Post a Comment