Friday 13 January 2012

HPV bukan bermakna kanser servik

>SOALAN

ASSALAMUALAIKUM doktor, saya berusia 29 tahun dan disahkan hamil sembilan minggu.
Baru-baru ini, doktor mengesahkan saya menghidap Human Papilloma Virus (HPV) selepas Ujian Pap Smear menunjukkan keputihan yang abnormal. Minggu depan saya dijadual menjalani ujian Colposcopy. Saya sangat tertekan kerana masih belum pasti sama ada ia bersifat kanser atau tidak.

Antara kemusykilan saya ialah:

1. Adakah HPV akan menjejaskan kandungan seperti risiko keguguran, lahir pra-matang dan komplikasi lain.

2. Adakah virus ini akan dipindah kepada bayi saya.

3. Adakah benar, kelahiran melalui pembedahan lebih kurang risikonya berbanding normal
Rosmah, Kota Tinggi

JAWAPAN


UJIAN Pap smear bertujuan mencari bukti awal yang sel di pintu servik mempunyai potensi untuk merubah ke arah sel kanser. Tetapi dari ujian Pap smear ini, kadangkala ada tanda-tanda sel ini sudah dijangkiti virus Human Papilloma Virus atau HPV. HPV adalah penyebab utama sel normal menjadi sel kanser.

Bagi memastikan sama ada seseorang dijangkiti virus ini, maka ujian khas yang dikenali Ujian DNA HPV boleh dilakukan. Keputusan dari ujian DNA ini dapat memberitahu kita ‘sub-type’ HPV yang ada pada pintu servik.

Sub-type HPV 16 dan 18 adalah paling berisiko tinggi. Ada sub-type lain yang mempunyai risiko sederhana. Ada juga sub-type HPV 11 yang menyebabkan ketuat genital (genital warts) pada bahagian kemaluan biasanya.

Puan, jika puan disahkan pengidap HPV, ia bukan bermakna puan mempunyai kanser servik. Seperti jangkitan virus lain seperti HIV, ia bukan bererti seseorang mempunyai AIDS.

Virus HIV, HPV mahupun Hepatitis B boleh dibawa atau dihidapi oleh semua orang tetapi hanya sebahagian kecil pengidap virus-virus ini akan berkembang menjadi penyakit serius. Contohnya pengidap HIV akan berkembang kepada AIDS, HPV akan berkembang kepada kanser servik dan Hepatitis B kepada kanser hati.

Oleh itu, jika ujian DNA HPV ini positif, maka kami akan tekankan kepada pesakit bahawa mereka tidak boleh ponteng ujian Pap smear. Ini kerana kami tidak tahu bila sel yang dijangkiti HPV ini akan terus berkembang kepada sel kanser. Pemantauan ini amat penting bagi wanita yang mengidap HPV.

Ada juga doktor yang melakukan kolposkopi bagi melihat dengan lebih jelas dan tepat kawasan di pintu yang tidak normal. Kawasan ini perlu diambil biopsy sekiranya perlu. Bagi saya, pemantauan dengan Pap smear sudah cukup sehingga wujud bukti suatu hari nanti ia menyebabkan sel-sel ini berubah kepada fasa pra kanser.

Tambahan pula puan sedang hamil, mungkin kurang sesuai jika dilakukan biopsy.

Perdarahan boleh berlaku dan jika perlu, elok dilakukan selepas bersalin. Apa yang puan bimbangkan mengenai masalah yang boleh timbul seperti keguguran dan kelahiran pra matang adalah tidak benar. HPV juga tidak menyebabkan kecacatan pada bayi puan. Sekiranya HPV ini boleh menjangkiti bayi puan ketika proses kelahiran berlaku, kesannya pada bayi puan amat kecil sekali.

Kebiasaannya, bayi puan dapat dapat menghasilkan sendiri antibodi untuk melawan HPV ini. Jika ada HPV Subtype 11, maka ia boleh menyebabkan ketuat dalam kod vokal si bayi tetapi ini amat jarang berlaku. Masalahnya kini, kami tidak mempunyai apa-apa rawatan untuk HPV kecuali puan mempunyai ketuat genital tadi.

Oleh kerana kebarangkalian bayi ini dijangkiti HPV adalah terlalu rendah dan kesan sampingan adalah minimal dan terlalu kecil, maka kami membenarkan kelahiran secara normal berlaku. Ini berlainan dengan jangkitan HIV di mana kebarangkalian pembedahan adalah tinggi bagi mengelak HIV menjangkiti bayi.
Itupun bergantung kepada jumlah HIV yang ada dalam pesakit. Jika jumlahnya kecil, maka maka mereka ini boleh melahirkan secara normal.

Saya harap penjelasan ini tidak mengelirukan puan kerana terma saintifik perlu digunakan bagi menjelaskan keadaan puan. Secara amnya, puan tidak perlu khuatir apa-apa dan teruskan saja kehamilan ini.

Bersama Dr Suhaimi Isa

No comments:

Post a Comment