Thursday 12 January 2012

Injap jantung sempit | aortik sempit (‘aortic stenosis’)

SELAIN masalah injap jantung bocor yang dibincang dua minggu lalu, injap pada jantung juga boleh menjadi sempit. Walaupun keempat-empat injap jantung (aortik, mitral, pulmonari dan trikuspid) boleh terbabit, injap aortik dan mitral lebih kerap dikaitkan dengan masalah ini.

Injap aortik sempit (‘aortic stenosis’)

Injap aortik yang sempit menyebabkan darah daripada ventrikel kiri sukar dipam keluar ke seluruh badan. Akibatnya, organ di dalam badan tidak mendapat cukup oksigen dan nutrien.

Ini lebih ketara pada organ penting seperti jantung dan otak dan ketika bekerja atau bersenam. Simptom masalah injap aortik sempit ialah sakit dada atau pengsan, terutama ketika bersenam.

Click Here


Penyebab masalah ini ialah:


  • Umur — injap disaluti kalsium dan menjadi keras dan tegar (rigid)
  • Penyakit jantung reumatik
  • Kongenital — sejak lahir dinamakan ‘bicuspid valve’

    Diagnosis masalah ini biasanya dilakukan dengan ujian ekokardiogram. Ujian lain yang boleh dilakukan ialah imbasan MRI. Melalui ujian ini, tahap kesempitan injap dikenal pasti dan jika serius, pembedahan tukar injap disyorkan kepada pesakit.


    Injap mitral sempit (‘mitral stenosis’)

    Masalah injap ini menyebabkan darah sukar mengalir dari atrium kiri ke ventrikel kiri. Ini menyebabkan tekanan di atrium kiri menjadi tinggi dan seterusnya meninggikan tekanan di dalam salur darah pulmonari (paru-paru) dan akan membabitkan bahagian kanan jantung.

    Simptom yang timbul daripada masalah injap ialah:

  • penat atau susah bernafas
  • rasa berdebar-debar
  • batuk berdarah


    Penyebab masalah injap mitral sempit biasanya ialah penyakit jantung reumatik. Pesakit yang mengalami masalah ini biasanya berusia 20 hingga 30-an.
    Ujian ekokardiogram biasanya digunakan untuk mengesan penyakit ini.

    Rawatan masalah ini boleh dibahagi kepada dua:

  • rawatan valvulosplaty – tanpa pembedahan di mana belon digunakan untuk membuka injap sempit

  • pembedahan tukar injap


    Menerusi ujian ekokardiogram yang dilakukan melalui salur makanan (Tranesophageal echocardiogram), injap mitral dinilai dengan lebih teliti untuk menentukan rawatan lebih sesuai.

    Antara komplikasi masalah ini ialah denyutan jantung tidak seragam (atrial fibrillation) berikutan atrium menjadi bengkak. Pesakit biasanya disyorkan mengambil ubat bagi mencairkan darah untuk mengelak darah membeku yang boleh terjadi disebabkan masalah jantung tidak seragam.


    Injap pulmonari sempit (pulmonary stenosis)

    Ini adalah masalah sejak lahir atau kongenital. Masalah ini menyebabkan darah sukar mengalir dari ventrikel kanan ke salur darah pulmonari.

    Akibatnya, ventrikel kanan menjadi bengkak dan simptom masalah ini termasuk bengkak di abdomen dan kaki. Biasanya pesakit masih di peringkat bayi atau kanak- kanak dan rawatannya ialah menerusi pembedahan atau ‘balloon valvuloplasty’.
  • No comments:

    Post a Comment