Thursday 19 January 2012

Buang fibroid

SAYA genap 51 tahun bulan lalu dan disahkan mempunyai fibroid sekitar awal 2009. Pada pemeriksaan pertama, fibroid itu berukuran 7 sentimeter.

Doktor mengesyorkan saya menjalani pembedahan tapi saya minta tempoh untuk berubat secara intensif. Dalam tempoh itu sudah empat kali saya buat pemantauan melalui imbasan. Pada saya, saiznya mengecil sedikit tetapi doktor menafikannya.

Baru-baru ini saya membuat imbasan lagi dan saya ingin mencuba kalau ada ubat yang boleh membantu pengecutan fibroid ini. Saya ada bertanyakan pendapat doktor lain dan dimaklumkan saya boleh cuba tetapi tidak pasti pengecutan berlaku.

Mereka memberi saya LADOGAL 100MG CAP yang menyebabkan haid saya hanya sedikit. Adakah saya perlu meneruskan pengambilan ubat itu dan apakah dakah ia akan menyebabkan komplikasi kepada kesihatan?
AISHAH

JAWAPAN


PUAN Aisyah, rawatan ketumbuhan fibroid dalam rahim bergantung kepada beberapa perkara. Fibroid secara keseluruhannya tidak mempunyai simptom atau komplikasi dan biasa dijumpai ketika imbasan ultrasound.

Kebiasaannya simptom atau komplikasi terjadi jika fibroid ini terlalu besar atau berada di dalam rongga rahim. Komplikasi yang biasa berlaku adalah tumpah darah semasa haid sehingga menyebabkan anemia yang teruk atau tekanan pada pundi kencing atau rektum.

Jika pundi kencing ditekan oleh fibroid, kita kerap sangat hendak terkencing tetapi tiada kencing yang keluar. Tekanan pada rektum menyebabkan seseorang akan berasa sentiasa ingin buang air besar.

Umur pesakit dan perancangan masa depan wanita itu seperti ingin hamil lagi atau berkahwin. Semua ini diambil kira sebelum apa-apa rawatan diberi.

Memandangkan Puan Aisyah berumur 51 tahun dan tidak lama lagi puan akan putus haid, maka alternatif pembedahan adalah rawatan secara konservatif. Ini bermakna puan hanya menggunakan kaedah rawatan hormon bagi mengawal haid atau tidak mengunakan apa-apa sehinggalah puan putus haid.

Semasa putus haid, fibroid hanya akan mengecut kepada separuh dari saiznya sekarang dan bukannya hilang. Selagi puan mengalami haid maka saiz fibroid tetap akan membesar kerana ia bergantung kepada hormon estrogen untuk membesar. Oleh itu, segala percubaan untuk mengurangkan saiznya akan gagal kecuali kita boleh membuat seseorang itu menjadi putus haid.

Ubat yang puan ambil sekarang bertujuan memberhentikan haid dan menyebabkan puan berada dalam keadaan ‘putus haid’ sementara. Ini boleh mengecutkan fibroid untuk sementara waktu selama puan mengambil Ladagol. Ia mempunyai banyak kesan sampingan seperti darah haid datang sedikit dan berhenti, kejang di betis, sakit payudara, jerawat, muka berminyak dan kenaikan berat badan.

Saya biasa menggunakan suntikan hormon gonadotrophin yang lebih efektif dan kesannya juga tahan lebih lama. Kesan sampingan suntikan ini adalah simptom-simptom menopaus. Namun kedua-dua rawatan adalah bersifat sementara saja. Pada pendapat saya, puan tidak perlu mengambil apa-apa rawatan dan lebih baik putus haid ini berlaku dengan sendiri.

Jika puan membuat pilihan untuk melakukan pembedahan iaitu pembuangan rahim dan fibroid berserta ovari dan pintu rahim. Kebaikan jangka masa panjang ialah puan tidak perlu risau tentang kanser ovari, rahim dan juga pintu rahim.

Puan cuma perlu khuatir mengenai kanser payudara saja. Walaupun semasa putus haid fibroid akan mengecut tetapi ia tetap akan memberi kesan kepada pundi kencing dan rektum. Maka puan akan sentiasa mengalami perasaan mahu kencing selalu dan menyusahkan kehidupan puan bila putus haid nanti. Jadi perlu beri pertimbangan di antara dua aliran rawatan fibroid puan yang besar ini. Saya berpendapat pembedahan masih satu alternatif yang baik.

Jawapan disediakan oleh Dr Suhaimi Isa

3 comments:

  1. apakah risiko pembedahan pembuangan fibroid jika ia (pembedahan ini) merupakan pembedahan k4 yang melibatkan rahim?

    ReplyDelete
  2. saya ada fibroid sebesar 7cm, apakah saya patut buang . apakah risikonya, saya dah berkahwin tapi sedang berusahan mendapatkan anak, saya umur 30 tahun, baru2 ini saya ada berjumpa doktor doktor nasihatkan saya untuk makan ubat untuk kejutkan fibroid terdahulu.
    jikalau saya mahu buat pembedahan secara cyst apaka kesannya selepas pembedahan. tq

    ReplyDelete