Thursday 12 January 2012

Usah risau menopaus

Usah risau menopaus

Oleh NORAINON OTHMAN
norainon@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

LAMBAT atau cepat, wanita berusia pasti melalui fasa menopaus atau putus haid. Ia satu keadaan yang tidak boleh dielakkan oleh setiap wanita. Terhentinya kitaran haid seseorang wanita boleh berlaku sama ada ketika dia berusia 50 tahun, lebih awal atau selepas usia berkenaan.

Wanita lingkungan usia 45 hingga 55 tahun akan berdepan menopaus iaitu sarang telur atau ovari tidak berupaya mengeluarkan telur, yang menyebabkan mereka tidak lagi boleh hamil.

Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Prof Datuk Dr Nik Mohd Nasri Nik Ismail, berkata menopaus akan menyebabkan berlaku gejala tertentu yang membuatkan seseorang wanita itu kurang selesa bertahun-tahun.

Perasaan tidak menentu menyebabkan individu terbabit berasakan dirinya tidak berguna, sedangkan dia tidak menyedari dirinya melalui fasa menopaus.

Click Here


Antara gejala menopaus ialah kepanasan, iaitu bermula daripada dada, naik ke muka dan kepala, berpeluh pada waktu malam menyebabkan sukar tidur. Akibatnya, wanita terbabit pening dan murung, cepat marah dan sensitif pada keesokannya.


Individu terbabit juga mungkin mengalami kekeringan pada bahagian faraj, sakit badan, tulang dan sendi serta rasa sayu, mudah hendak menangis dan sendirian.

Walaupun semua gejala dialami, individu terbabit tidak mengalami sebarang penyakit dan apabila berjumpa doktor, mereka akan diberi ubat seperti paracetamol, ubat tahan sakit atau vitamin.

“Kajian pada 2005 mendapati hanya sembilan peratus doktor di negara ini yang boleh berbincang dengan baik mengenai menopaus.

“Doktor tidak akan berbincang mengenai menopaus atau memberi nasihat mengenainya, cuma memberikan ubat tertentu untuk melegakan ketidakselesaan pesakit,” katanya.

Gejala ketidaktentuan ketika melalui fasa kedatangan menopaus akan dialami selama empat atau lima tahun dan kebanyakannya berhenti selepas menopaus. Dalam sesetengah kes, gejala berkenaan berhenti selepas wanita terbabit berusia 60 tahun.

Selain gejala menopaus, wanita terbabit juga mengalami masalah lain. Antaranya:

  • Tulang rapuh

  • Kulit kering, berkedut dan gatal-gatal

  • Sukar mengawal pundi kencing, misalnya selalu terkencing ketika batuk

  • Masalah koronari jantung


    Untuk mengatasi semua itu, wanita yang mengalami menopaus akan menjalani rawatan terapi penggantian hormon (HRT).

    Di Malaysia, klinik menopaus dibuka pada 1991 dengan kerjasama Persatuan Perancang Keluarga Malaysia. Malah, klinik itu masih beroperasi di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

    “Dengan penggantian hormon pada peringkat awal menopaus, wanita terbabit akan kembali datang haid tetapi bagi yang lebih lanjut umur, misalnya 55 tahun, mereka diberi pilihan sama ada mahukan rawatan yang menyebabkan haid datang kembali atau sebaliknya.

    Dua jenis hormon yang akan diberi ialah estrogen dan progesteron. Ia penting kepada mereka yang masih mempunyai rahim atau uterus.

    Bagi wanita yang tiada uterus disebabkan pembedahan, mereka hanya memerlukan hormon estrogen. Kebanyakan rawatan estrogen adalah secara oral (makan ubat) tetapi ada rawatan menggunakan tampalan tetapi ia tidak popular di Malaysia selain rawatan jenis sapu (gel).

    Pada peringkat awal kewujudannya, klinik menopaus mendapat sambutan menggalakkan bukan saja daripada wanita di Lembah Klang, wanita di negeri lain turut dirujuk ke klinik itu.

    Beberapa klinik menopaus diwujudkan di hospital kerajaan tetapi kebanyakan pakar bertukar ke tempat lain, menyebabkan tiada doktor khusus mengendalikan klinik terbabit.

    “Tujuan rawatan dengan hormon ialah menjaga kesihatan dan kualiti hidup selepas menopaus supaya mereka dapat meneruskan berkhidmat serta berdikari.

    “Ada wanita Melayu berusia 77 tahun yang mampu berjalan tanpa bantuan tongkat serta menunaikan solat dengan berdiri.

    “Di Malaysia, jangka hayat hidup kini mencapai usia 78 tahun. Bermakna, 1/3 daripada wanita Malaysia akan melalui fasa menopaus. Penting bagi pengamal perubatan membantu wanita terbabit.

    “Wanita yang melalui fasa itu patut menyedari perubahan fisiologi mereka dan mendapatkan bantuan supaya memperoleh kualiti hidup lebih baik.

    “Antara gejala yang mudah dikesan ialah kedatangan haid yang tidak menentu iaitu kadangkala banyak dan kadangkala sedikit.

    “Gejala menopaus yang berpanjangan menyebabkan kehidupan terganggu dan kucar-kacir. Bagi wanita Muslim, keadaan kucar-kacir ini turut mengganggu mereka untuk melakukan amal ibadat.

    “Mungkin seseorang itu boleh mendapatkan nasihat dan pandangan ulama berhubung perkara itu,” katanya.

    Dalam kajian pada 2002, rawatan penggantian hormon dikatakan boleh membahayakan wanita dengan meninggikan risiko kanser payudara, koronari jantung dan strok.

    Bagaimanapun, katanya, penganalisisan semula pada 2007 mendapati risiko itu lebih dihadapi wanita yang memulakan rawatan penggantian hormon selepas usia 60 tahun.

    Wanita yang memulakan rawatan berkenaan sebelum usia 60 tahun mempunyai risiko sangat rendah untuk mendapat penyakit terbabit, di samping memperoleh banyak manfaat daripada rawatan itu.

    Mengikut Persatuan Menopaus Antarabangsa (IMS), rawatan penggantian hormon boleh digunakan tanpa had selagi wanita mendapat kebaikan dan memahami tujuan rawatan.

    Pemantauan oleh seorang pakar memainkan peranan penting dalam memastikan rawatan itu memberi faedah kepada wanita yang mengalami menopaus.

    Ada beberapa jenis rawatan penggantian hormon dan jenis yang sesuai harus dibincang dengan pengamal perubatan dan pusat rawatan yang berpengalaman supaya kualiti kehidupan wanita selepas menopaus akan terus terjamin.
  • No comments:

    Post a Comment