Friday, 20 January 2012

Tampalan Sewarna Gigi

Pengenalan
Pada masa kini, bahan pergigian dan teknik terbaru menawarkan banyak pilihan. Kajian telah dibuat untuk menghasilkan bahan-bahan pergigian yang lebih menarik dan mempunyai penampilan seperti gigi yang asal.

Hari ini, permintaan orang ramai untuk mendapatkan tampalan sewarna gigi, agar gigi kelihatan asli apabila mereka ketawa, bercakap atau tersenyum adalah tinggi.

Warna bahan tampalan ini sebati dengan warna enamel gigi. Doktor pergigian anda mungkin mengesyorkan penggunaan bahan sewarna gigi untuk tampalan gigi hadapan.

Jika lubang di gigi terlalu besar atau gigi tersebut menanggung beban pengunyahan, doktor anda mungkin cadangkan penggunaan bahan tampalan lain yang lebih sesuai.

Apakah Bahan Tampalan Sewarna Gigi?
Bahan tampalan sewarna gigi atau bahan tampalan berwarna putih lebih dikenali sebagai tampalan komposit. Ia adalah gabungan:-

  • Bahan kaca (glass particles)
  • Bahan resin tiruan (synthetic resin)
  • Bahan untuk mengeras (setting ingredient)

Tampalan ini mengembalikan warna asal gigi yang sebelum ini telah berlubang atau mempunyai tampalan. Bahan-bahan lain yang boleh menjadikan warna gigi seperti asal termasuklah composite inlays, porcelain inlays dan onlays. Bahan-bahan ini boleh membaiki gigi yang rosak teruk, gigi yang haus dan menjadikan tampalan gigi belakang kelihatan lebih menarik.

Adakah Rawatan Ini Sukar?

Rawatan ini tidak begitu sukar. Tempoh rawatan menggunakan bahan tampalan komposit mungkin mengambil masa yang lebih lama berbanding tampalan biasa. Selepas bahagian gigi yang rosak dibuang, gigi mesti dikeringkan. Bahan pelekat akan disapu ke atas permukaan gigi diikuti beberapa lapisan nipis bahan tampalan sewarna gigi (komposit). Kemudian bahan tampalan tersebut akan mengeras secara kimia atau dipanaskan mengguna cahaya yang khas selama kurang dari satu minit.

Apakah Kelebihan Bahan Tampalan Ini Berbanding Bahan Tampalan yang Lain?
Bahan tampalan ini tidak memerlukan banyak lapisan gigi yang sihat dibuang. Tampalan komposit melekat dengan permukaan gigi asal menggunakan bahan pelekat khas (adhesive material).

Kesan Sampingan Menggunakan Bahan Tampalan Ini
Sesetengah individu mengalami rasa ngilu (sensitif) bila terdedah pada benda sejuk di peringkat awal selepas rawatan. Jika rasa ngilu ini masih tidak beransur hilang selepas seminggu, anda dinasihatkan untuk berjumpa doktor pergigian semula.

Berapa Lama Tampalan Ini Boleh Bertahan?
Seperti bahan tampalan lain, tampalan sewarna gigi juga diganti sekiranya perlu. Jika bahagian tepi tampalan telah rosak, bakteria boleh masuk di celah antara tampalan dengan gigi dan menyebabkan kerosakan gigi. Kerosakan ini seterusnya boleh merebak ke bahagian lain gigi. Pemeriksaan pergigian secara berkala penting untuk mengesan kerosakan yang mungkin berlaku pada peringkat awal.

Harga untuk Rawatan Menggunakan Tampalan Sewarna Gigi

Rawatan tampalan sewarna gigi lebih mahal berbanding tampalan biasa. Namun kebanyakan pesakit menganggap bayaran dibuat itu berbaloi kerana mendapat tampalan yang seakan gigi asal.

Di klinik pergigian kerajaan, harga untuk rawatan menggunakan bahan tampalan sewarna gigi adalah RM2 bagi sebatang gigi. Walau bagaimanapun, harga rawatan ini adalah lebih tinggi di klinik-klinik pergigian swasta.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment