Thursday 12 January 2012

Susu ibu perisai kesihatan terbaik | Khasiat susu

Susu ibu perisai kesihatan terbaik



SETIAP ibu bapa tentu akan bimbang, gundah dan tidak dapat tidur nyenyak apabila anak kecil mereka diserang demam dan selesema malah, lebih buruk jika sehingga perlu ditahan di hospital.

Bagi mereka, kesihatan si kecil menjadi keutamaan melebihi segala-galanya. Namun, tidak ramai ibu bapa yang menyedari bahawa kesihatan anak mereka juga boleh terjejas gara-gara kemerosotan imuniti tubuh berpunca daripada nutrisi yang tidak mencukupi.

Nutrisi merujuk kepada pemakanan baik yang membina kesihatan tubuh bagi seseorang.

“Makanan adalah punca tenaga bagi tubuh badan yang membina dan membaikpulih semua bahagian badan kita daripada rambut, kulit, otot dan kuku. Tidak ketinggalan juga untuk organ dalaman seperti jantung, ginjal dan hati.

“Unsur nutrisi dibahagikan kepada yang utama iaitu protein, lemak dan karbohidrat yang diperlukan dengan jumlah yang banyak diikuti dengan vitamin-vitamin A,B, C, D, E, K dan unsur-unsur lain seperti zat besi, zink, kalsium, selenium dan sebagainya,” kata Pakar Perunding Pediatrik dan Kardiologi Hospital Tawakal Kuala Lumpur, Dr. Zarin Ikmal Zan Mohd. Zain.

Imuniti si kecil

Dalam pada itu, imuniti pula merujuk kepada pertahanan semula jadi yang dijana oleh badan terhadap penyakit. Pertahanan terhadap penyakit bagi seorang bayi bermula ketika bayi berada di dalam rahim ibu lagi.


DR. ZARIN IKMAL ZAN (kanan) berbincang dengan stafnya mengenai nutrisi dan imuniti dalam diri kanak-kanak.


Ketika dalam rahim, antibodi daripada darah ibu dibekalkan kepada bayi melalui tali pusat. Antibodi daripada ibu akan melindungi seseorang itu untuk jangka masa enam bulan pertama hidupnya selepas lahir. Kemudian bayi tersebut akan mula menjana antibodinya sendiri.

“Ini menjelaskan mengapa seorang bayi itu lebih terlindung daripada penyakit pada enam bulan pertama hidupnya dan mudah mendapat jangkitan kuman selepas umur enam bulan.

“Bagaimanapun, sudah tentu seorang bayi terdedah kepada bermacam-macam jenis kuman selepas dilahirkan berpunca daripada keadaan dan individu sekelilingnya. Walaupun dibekalkan antibodi daripada ibunya, bayi akan masih sakit sekiranya pendedahan kuman terlalu banyak. Contohnya apabila kerap dicium oleh adik-beradik lain yang kebetulan menghidapi selesema dan batuk,” ujarnya.

Jelas Zarin Ikmal Zan lagi, imuniti yang dihasilkan oleh badan merupakan tindakbalas terhadap pendedahan yang berterusan seorang kanak-kanak itu sepanjang tumbesarannya.

Berjuta jenis virus dan bakteria wujud di udara, air mahupun di kulit badan sendiri dan sistem imun di dalam badan seseorang sentiasa bekerja keras menghasilkan antibodi untuk setiap jenis kuman yang diterima badan.

“Sungguhpun begitu, bukan semua kuman itu sama kerana ada kuman yang lebih kuat sehingga boleh menembusi dan melemahkan sistem pertahanan badan manusia.

“Kerana inilah anak-anak kita akan jatuh sakit dan kadang-kadang pulih dengan sendiri tetapi adakalanya memerlukan ubat,” jelasnya.

Dengan adanya ilmu perubatan moden, saintis telah mencipta dan menghasilkan ribuan jenis ubatan untuk melawan kuman-kuman yang merbahaya itu malah, ada yang dianggap sudah lupus di dunia contohnya penyakit polio. Namun, berjuta-juta kuman baru muncul setiap masa dan setiap.

Selain itu, salah satu penghasilan perubatan moden yang telah menyelamatkan berjuta nyawa dan melindungi kanak-kanak daripada mengalami kecacatan berkekalan ialah vaksin.

Proses imunisasi adalah satu kaedah memasukkan suatu komponen kuman yang diketahui ke dalam badan manusia untuk merangsang sistem imun manusia menjana antibodi yang spesifik kepada kuman tersebut tanpa menyebabkan penyakit kepada penerima.

Apabila antibodi telah dihasilkan secukupnya, maka individu tersebut akan terlindung daripada penyakit itu hampir 100 peratus.

“Sudah tentu seorang kanak-kanak yang menerima nutrisi yang seimbang akan membesar dengan baik serta menghasilkan antibodi yang mencukupi untuk melindungi dirinya daripada penyakit.

“Tetapi perkembangan seorang kanak-kanak itu bukan hanya dari segi fizikal malah, dari segi sosial dan mental juga. Seseorang kanak-kanak memerlukan nutrisi lengkap dengan pemakanan serta kasih sayang untuk menjadikannya seorang yang sihat secara keseluruhannya,” katanya.


IBU BAPA perlu pandai menyediakan pemakanan yang sihat dan seimbang bagi memastikan anak-anak mereka mendapat nutrisi yang secukupnya.


Khasiat susu

Nutrisi sangat penting terhadap kesihatan kanak-kanak. Susu ibu merupakan nutrisi terbaik untuk seorang bayi baru lahir sehingga umurnya lima hingga enam bulan yang memerlukan makanan tambahan kemudiannya.

Pemakanan tambahan selain susu ibu ialah dari unsur beras atau gandum akan ditambahkan lagi dengan sumber lain sehingga makanan diet yang terdiri daripada nasi, daging , sayuran dan buah-buahan menjadi lebih utama daripada susu.

“Sepanjang tumbesaran seorang kanak-kanak, keperluan pemakanannya berbeza dan bertambah. Enam bulan pertama hidupnya, susu badan ibu atau susu formula sudah cukup untuk membina dan menambahkan berat bayi.

“Susu mengandungi jumlah protein, lemak, karbohidrat yang tinggi serta vitamin dan elemen lain yang lengkap. Apabila seorang bayi mula merangkak, berdiri dan berjalan sudah tentu keperluan pemakanan bertambah bukan hanya untuk tulang dan otot malah, untuk tumbesaran otak serta organ dalaman badan,” ujarnya.

Katanya lagi, jumlah keperluan kalori, protein, lemak, vitamin serta elemen lain telah dikira secara saintifik bagi setiap individu dengan umur dan saiz berbeza. Dengan mengambil kira faktor tersebut, susu formula dihasilkan untuk menyumbang kepada pemakanan lengkap seorang kanak-kanak yang membesar.

Nutrisi yang lengkap kepada seorang kanak-kanak memberikan peluang baginya untuk mencapai status keupayaan mental dan fizikal yang baik.

Seorang kanak-kanak yang sihat tubuh badan boleh menghadiri sekolah setiap hari, bersenam dan beriadah bersama ibu bapa.

“Apabila nutrisi berkurangan, peluang kanak-kanak itu berbeza daripada kanak-kanak lain tetapi keupayaan mental dan fizikal juga datangnya daripada kegigihan, semangat, asas agama dan keluarga yang baik,” terangnya.


IBU BAPA perlu bijak dalam menyediakan pemakanan yang mempunyai nutrisi yang lengkap dan seimbang bagi mengelakkan anak-anak mereka menghadapi masalah kekurangan nutrisi mahupun obesiti.


Faktor lain

Terdapat empat tonggak dalam memelihara kesihatan anak-anak iaitu nutrisi, persekitaran, ubat-ubatan dan imunisasi.

“Selain nutrisi, persekitaran juga merupakan faktor penting yang mempengaruhi tahap kesihatan kanak-kanak yang sedang membesar.

“Persekitaran taska, tadika, pengasuh dan adik-beradik yang ramai menyebabkan jangkitan virus yang berterusan dan berubah-ubah merupakan punca kanak-kanak yang berada dalam persekitaran tersebut kerap menghidapi jangkitan kuman walaupun menerima nutrisi yang lengkap,” katanya.

Oleh itu, bagi mengatasi masalah tersebut, ibu bapa perlu berani merawat anak-anak mereka sendiri pada tahap awal penyakit termasuk mempunyai stok ubatan mudah seperti ubat demam, selesema dan cirit-birit. Dengan rawatan awal, anak berpeluang untuk pulih lebih cepat.

Akhir sekali, imunisasi perlu diberikan untuk melindungi anak-anak daripada penyakit berjangkit yang boleh menyebabkan kematian atau kecacatan kekal.

“Sekiranya suatu kelompok masyarakat memilih untuk tidak mendapatkannya (imunisasi), maka mereka akan mudah dijangkiti penyakit tersebut dan akan mengancam nyawa anak-anak kecil lain yang belum sempat mengambilnya.

“Pemahaman terhadap isu vaksinasi ini amat penting. Penghasilan antibodi secara semula jadi telah dibuktikan secara perubatan tidak cukup untuk penyakit tertentu dan inilah sebabnya vaksin itu dihasilkan,” ujarnya.

Bagi ibu bapa yang mahu bertanyakan pelbagai soalan mengenai masalah kesihatan anak-anak mereka, boleh berbuat demikian menerusi Facebook Dr. Zarin Ikmal Zan di http://facebook.com/zarin.zain.

No comments:

Post a Comment