Thursday, 19 January 2012

Sakit perut yang berulang


(RECURRENT ABDOMINAL PAIN – RAP)

Bilakah kanak-kanak dianggap mengalami sakit perut yang berulang-ulang (RAP) ?

Pengenalan
Kanak-kanak sentiasa mengadu sakit perut. Sakit perut bukan satu penyakit tetapi ia adalah petanda masalah kesihatan/penyakit yang lain. Jika anak anda sering mengalami sakit perut dia mungkin sedang menderita RAP.

Definisi

  • Sakit perut yang berulang-ulang (RAP)
  • 3 atau lebih kejadian sakit perut dalam masa 3 bulan.
  • Sakit perut sekurang-kurangnya sekali dalam sebulan.
  • Sakit yang amat sangat sehingga memberi kesan kepada kegiatan harian kanak-kanak
  • Kebiasaannya melibatkan kanak kanak yang berumur 4 – 16 tahun

Adakah masalah RAP ini serius ?
Insiden

  • Melibatkan 10 – 15% kanak kanak
  • Peringkat 1 : pada umur 5 – 7 tahun, kanak-kanak lelaki dan perempuan mempunyai risiko yang sama.
  • Peringkat 2 : pada umur 8 – 12 tahun, kanak-kanak perempuan lebih cenderung untuk mengalami masalah ini.
  • 80 – 90% berpunca dari gangguan fungsi organ atau psikologikal.

Kenapakah kanak-kanak mendapat RAP?
Sebab-sebabnya boleh diklasifikasikan kepada :

Psikologi
Dalam kes ini, sakit perut tidak disebabkan oleh penyakit organ di dalam perut. Sakit dipercayai berpunca dari tekanan, kerisauan dan kemurungan. Mekanisma sebenar bagaimana ini keadaan boleh terjadi tidak diketahui.

Recurrent abdominal pain


Gangguan fungsi organ
Dalam kes ini, organ di dalam perut yang terlibat tidak berpenyakit tetapi fungsi organ ini menjadi tidak normal atau telah berubah disebabkan oleh interaksi di antara tubuh badan dan persekitaran.
Contohnya:

  • Alahan laktosa
  • Senggugut
  • Sembelit

Organik
Sakit perut ini adalah berpunca dari sesuatu penyakit.
Contohnya :

  • Radang usus (Inflammatory bowel disease)
  • Ulser perut (peptic ulcer) – lebih 50 % melibatkan kuman Helicobacter pylori
  • Jangkitan cacing
  • Radang di kawasan pelvis (pelvic inflammatory disease)
  • Ketumbuhan ovari

Apakah ciri-ciri RAP dan bagaimana diagnosa dibuat?
Adalah penting untuk memeriksa kanak-kanak dengan teliti dan tanda-tanda penyakit ini bergantung kepada jenis RAP.

Jenis psikologi
Sakit terjadi sekali sehari atau kurang dari itu ( sekali dalam seminggu atau sebulan)

  • Sakit selalunya tidak melebihi satu jam.
  • Ia adalah sakit yang tidak spesifik, kadangkala rasa memulas atau kembung.
  • Sakit selalunya di sekeliling pusat (periumbilical)
  • Gejala yang tidak berpanjangan
  • Gejala tidak berkait dengan pemakanan, aktiviti hidup atau keadaan najis
  • Awas: Jika ada perubahan tempat atau corak kesakitan ini mungkin menandakan adanya penyakit yang lain.

Jenis gangguan fungsi organ

  • Sakit selalunya berkaitan dengan diet, cara makan atau tabiat membuang air besar.
  • Rasa memulas atau kembung perut
  • Lokasi kesakitan di perut bergantung kepada organ yang terlibat.

Jenis organik

  • Ciri ciri kesakitan bergantung kepada penyakit itu sendiri.
  • Demam, penurunan berat badan, pedih hati, cirit - birit dan lain-lain boleh menjadi tanda-tanda sakit perut organik.

Tanda-tanda lain:
Sakit kepala, pening, berpeluh-peluh, dan pucat biasanya lebih berkait dengan jenis RAP psikologikal.
Tanda-tanda di bawah pula biasanya lebih berkait dengan jenis RAP disebabkan oleh punca organik atau gangguan fungsi organ :

  • Letih
  • Tiada selera makan
  • Loya
  • Muntah
  • Cirit-birit
  • Sembelit
  • Sakit anggota kaki/tangan.

Diagnosa

  • Diagnosis ini sukar dibuat, oleh itu anda perlu jumpa doktor untuk pemeriksaan selanjutnya.
  • Jika anak anda mengalami sakit perut yang berulang-ulang, sebaiknya anda membawa anak berjumpa doktor ketika dia dalam kesakitan.
  • Bagaimanapun , dalam kebanyakan kes, kanak - kanak dibawa berjumpa doktor apabila mereka tidak lagi sakit perut, ini menyebabkan penilaian yang tepat sukar dibuat.
  • RAP selalunya berpunca dari sebab psikologikal atau gangguan fungsi organ. Pengambilan sejarah kesihatan pesakit yang teliti dan pemeriksaan oleh doktor selalunya membolehkan sakit RAP organik dapat dikecualikan.
  • Kebanyakan ujian dan prosedur tidak digalakkan kerana ia boleh menyebabkan lebih tekanan kepada anak anda.

Adakah RAP di kalangan kanak kanak membawa kemudaratan?
Kadangakala ia boleh menyebabkan kesan yang tidak diingini.

Komplikasi RAP psikologikal

  1. Kesan Psikososial
    • Tidak pergi ke sekolah; mengganggu pelajaran
    • Menganggu hubungan persahabatan/ pergaulan
    • Mencegah anak untuk menghadiri aktiviti sekolah atau keluarga.
  1. Menyebabkan perubahan tingkah laku
    • Terlalu bergantung kepada ibubapa hingga tidak mampu berdikari contohnya
      • selalu dijemput pulang ke rumah dari sekolah kerana sakit perut
      • ingin duduk di rumah sepanjang masa
      • sentiasa mengharapkan perhatian dari ibu bapa
    • Mengambil pelbagai jenis ubat

Dalam kes RAP psikiologikal, sakit perut biasanya berlarutan selama sejam tetapi kanak-kanak akan pulih sepenuhnya selepas itu. Menjemput anak dari sekolah atau membiarkannya tidak pergi ke sekolah bukanlah cara yang baik untuk mengatasi masalah ini,

Komplikasi RAP disebabkan oleh punca organik atau gangguan fungsi organ:
Ini bergantung kepada masalah yang berkaitan

Bagaimana RAP dirawat?
Rawatan bergantung kepada jenis-jenis RAP.
Dalam kes RAP yang disebabkan oleh punca organik atau gangguan fungsi organ, doktor akan menggunakan pelbagai cara untuk menangani masalah ini termasuk saranan pemakanan yang seimbang atau ubat-ubatan.
Matlamat rawatan dalam RAP psikologikal:

  • Mengembalikan keadaan kepada normal dan mengurangkan kesakitan.

Strategi rawatan dalam RAP psikologikal

  • Menggalakkan anak berdikari
  • Tidak menggalakkan perangai yang negatif
  • Jangan membiarkan anak ponteng sekolah
  • Jangan menghalang anak dari mengambil bahagian dalam aktiviti sekolah/keluarga
  • Jangan terlalu memanjakan anak
  • Mengenalpasti punca tekanan dalam hidup anak anda, dan cuba kurangkan tekanan atau membantu anak menangani masalahnya.

Perkara-perkara yang perlu dilakukan ketika anak anda mengalami kesakitan

  • Cuba alihkan perhatian anak anda dari kesakitannya dengan aktiviti yang menarik contohnya bermain dengan patung
  • Kurangkan tekanan contohnya dengan menarik dan menghembus nafas perlahan-lahan

Ubat-ubatan selalunya tidak berkesan. Dapatkan nasihat doktor.

Rawatan RAP yang disebabkan oleh gangguan fungsi organ
Kenalpasti dan rawat masalah yang berkaitan.

  • Pendidikan
  • Tukar tabiat makan – contohnya cuba makanan yang tidak mengandungi laktosa jika anak anda alah laktosa atau makanan yang tinggi serat dalam kes sembelit, elakkan makanan yang mengandungi banyak lemak dan kafein.
  • Buang air besar dengan kerap
  • Ubat tahan sakit – contohnya gunakan Panadol untuk senggugut

Rawatan RAP organik
Ini bergantung kepada masalah berkaitan.

Adakah langkah yang boleh diambil untuk mengelakkan RAP yang psikologikal?
Anda patut mengenalpasti faktor-faktor yang boleh mempengaruhi tingkahlaku anak dan dapatkan bantuan pakar jika perlu. Faktor-faktor ini termasuk:

  • Anak anda mungkin anak tunggal atau bongsu
  • Anda mungkin terlalu melindungi atau terlalu risaukan anak anda sepanjang masa
  • Anda selalu terlibat dalam aktiviti anak anda
  • Mungkin ada ahli keluarga anda yang lain yang sedang menderita dari penyakit-penyakit kronik yang lain
  • Anak anda seringkali menunjukkan perangai yang tidak matang, terlalu bergantung dan selalu marah atau merajuk.

No comments:

Post a Comment