Thursday 12 January 2012

Risau gemuk, tua


Oleh Suzan Ahmad
suzan@bharian.com.my
2011/07/31

Keyakinan terhadap kesihatan merosot bila cecah usia 65 tahun

KAJIAN Indeks Kesihatan dan Kesejahteraan Philips mendapati rakyat Malaysia berpuas hati dengan tahap kesihatan mereka tetapi golongan tua berasa kurang kawalan ke atas aspek itu.
Keputusan diperoleh hasil kajian Royal Philips Electronics menerusi tinjauan tanggapan dan tingkah laku warga Malaysia dewasa dalam usia 18 tahun dan ke atas terhadap penjagaan kesihatan dan kesejahteraan mereka.
Kajian Indeks Philips: Laporan Kesihatan & Kesejahteraan Malaysia 2010 menunjukkan rakyat kita umumnya berpuas hati dengan tahap kesihatan dan kesejahteraan mereka dan mencatat skor Indeks Philips sebanyak 71 peratus, tertinggi di Asia Pasifik. Bagaimanapun, perasaan itu mula merosot apabila mereka mencapai usia 65 tahun dan ke atas.

Warga tua, terutama dalam kategori usia 65 tahun dan ke atas menarafkan perasaan mereka secara keseluruhan terhadap tahap kesihatan dan kesejahteraan lebih rendah berbanding kumpulan usia lain dan lebih cenderung untuk mempercayai mereka tiada kawalan ke atas kesihatan sendiri.

Laporan itu juga menunjukkan kebimbangan utama rakyat negara kita terhadap tahap kesihatan untuk jangka masa terdekat kebanyakannya berkaitan dengan kenaikan berat badan dan penuaan.

Mereka menganggap tahap penglihatan yang merosot, kolesterol tinggi, sakit sendi atau arthritis, kencing manis dan kurang pendengaran sebagai punca utama boleh mengancam kesihatan mereka dalam tempoh lima tahun akan datang. Langkah pencegahan pula diberi keutamaan rendah.
Satu pertiga daripada rakyat Malaysia hanya sesekali atau tidak pernah langsung berjumpa doktor untuk pemeriksaan kesihatan. Hanya 31 peratus menjalani ujian perubatan mengikut saranan disyorkan. Kegagalan mengambil langkah pencegahan akan mengakibatkan kelewatan diagnosis dan rawatan, seterusnya meningkatkan kos penjagaan kesihatan.

Mengikut laporan Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Asia dan Pasifik (ESCAP), jumlah warga tua di negara ini meningkat dua kali ganda kepada hampir 1.4 juta orang dan perkembangan itu turut memburukkan lagi keadaan.

Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Philips Malaysia, Lee Weng Siong, berkata kajian itu dijalankan untuk memahami tanggapan dan tingkah laku berkaitan kesihatan orang ramai bagi membolehkan kerajaan, masyarakat dan organisasi penjagaan kesihatan di negara ini mendapatkan pandangan kolektif mengenai status semasa dan keperluan pesakit.

Ia juga, katanya, bagi membolehkan pembekal perkhidmatan penjagaan kesihatan menjana saranan penyelesaian yang mampu menangani cabaran dalam bentuk penjagaan kesihatan.

“Untuk menilai tahap kesihatan dan kesejahteraan secara lebih khusus, 17 perkara ditekankan seperti pekerjaan, pendapatan dan juga tekanan dalam pengiraan Indeks Philips serta mendarabkan kepentingan setiap perkara kepada kesihatan dan kesejahteraan seseorang.

“Indeks Philips adalah sebahagian daripada inisiatif global yang dijalankan di lebih 30 negara di seluruh dunia. Ia juga berperanan sebagai kayu pengukur sosial yang membantu Philips memahami lebih mendalam perasaan orang ramai terhadap tahap kesihatan dan kesejahteraan mereka,” katanya.

Katanya, ia membolehkan Philips memahami tanggapan dan tingkah laku pengguna berkaitan kesihatan dan menggalakkan dialog, perbincangan bagi mengatasi rintangan dalam kaedah penjagaan kesihatan selain menggalakkan institusi lain memainkan peranan penting yang mampu memberikan kesan terhadap kesihatan dan kesejahteraan masyarakat dunia.

Meskipun masalah kesihatan berkaitan berat badan dianggap ancaman, hanya satu daripada tiga rakyat Malaysia beranggapan mereka mempunyai berat badan berlebihan dan tidak menghiraukan usaha menurunkannya walaupun usia semakin meningkat.

Menurut laporan berkenaan, tiga perempat daripada rakyat Malaysia berusia 55 tahun dan ke atas langsung tidak mencuba untuk menurunkan berat badan, menunjukkan perbezaan jurang di antara tanggapan dan kenyataan sebenar di mana data menunjukkan kegemukan adalah masalah yang semakin membimbangkan di negara ini.

INFO: Laporan Indeks Kesihatan & Kesejahteraan Philips 2010

  • Rakyat Malaysia puas hati dengan tahap kesihatan menjelang usia persaraan tetapi mula mengalami kemerosotan kesihatan dan kesejahteraan selepas usia 65 tahun.

  • Kumpulan sama lebih cenderung mempercayai mereka tiada kawalan ke atas kesihatan mereka

  • Meskipun kebanyakan rakyat Malaysia khuatir diserang penyakit berkaitan usia lanjut dan degeneratif, tidak ramai mengamalkan penjagaan menerusi langkah pencegahan untuk memastikan kesihatan lebih baik pada tahun mendatang.
  • No comments:

    Post a Comment