Sunday 15 January 2012

Perbezaan Air Mani dan Mazi

Beza air mani, mazi
Soalan:

SAYA berusia 23 tahun. Saya ingin mendapat penjelasan mengenai perbezaan antara air mani dan air mazi. Melalui maklumat yang saya peroleh, air mazi dikatakan akan keluar terlebih dulu sebelum air mani.
Saya tidak pernah mengalami keadaan di mana air mazi keluar dari alat sulit. Apakah saya sebenarnya berpenyakit? Apakah alat kelamin saya dapat berfungsi normal jika saya tidak mengeluarkan air mazi? Apa langkah yang boleh saya ambil dalam menangani keadaan ini. Musykil

Jawapan:

MEMANG benar air mazi akan keluar terlebih dulu sebelum air mani. Air mazi akan mula keluar apabila seseorang lelaki itu merasa ghairah manakala air mani akan keluar apabila seseorang lelaki mencapai orgasm.

Warna air mazi adalah jernih manakala air mani pula putih kekuningan. Air mazi dirembeskan oleh kelenjar cowper. Ia adalah cecair jernih, melekit dan tidak mempunyai bau. Fungsi utama air mazi ialah sebagai cecair pelincir untuk membantu seseorang lelaki melakukan proses penetrasi.
Kebanyakan lelaki akan mengeluarkan air mazi apabila merasa ghairah. Namun, kuantitinya berbeza mengikut individu. Namun begitu, ada sebahagian kecil dari lelaki tidak mengeluarkan air mazi langsung seperti yang dialami oleh saudara.

Namun begitu, saudara usah bimbang. Masalah tidak mengeluarkan air mazi bukan disebabkan oleh penyakit. Cuma kelenjar cowper tidak boleh berfungsi dengan sempurna dan ia tidak berkaitan dengan penyakit serius atau akan membawa apa-apa kemudaratan.

Zakar boleh berfungsi seperti biasa dan penetrasi masih boleh dilakukan. Ini kerana ketika hubungan seks, pasangan wanita juga akan mengeluarkan cecair pelincir dari vagina. Ini akan membantu proses penetrasi.

Jika masalah tidak cukup lubrikasi terjadi, saudara boleh menggunakan cecair pelincir yang boleh dibeli di farmasi seperti KY Jelly. Pastikan saudara menggunakan pelincir yang larut air (water base) dan bukannya oil base.

Bersama Pakar Urologi Prof Madya Dr Zulkifli Md Zainuddin, Ketua Unit Urologi, Pusat Perubatan UKM, Cheras.
tanyadrxy@bharian.com.my
2010/11/06

No comments:

Post a Comment