Friday 13 January 2012

Haid Dan Ubat Herba

(Beres)Soalan

SAYA berumur 26 tahun dan belum berkahwin, berat badan 48 kilogram dan tinggi 153 sentimeter. Sejak remaja, saya mempunyai masalah haid tidak teratur, tapi selepas mengamalkan produk Paramaria Plus HPA dengan berdisiplin, haid mula teratur. Namun jika saya tidak mengambil produk itu, haid tidak akan datang.

Soalan saya, adakah haid saya bergantung kepada produk berkenaan. Apakah cara lain boleh doktor sarankan kepada saya untuk mengatasi masalah ini kerana ia merunsingkan. Saya juga pernah berjumpa doktor tapi bukan pakar sakit puan dan diberikan pil perancang untuk mengembalikan haid, tapi saya tidak makan pil itu. Saya mengalami senggugut, ada kala teruk sehingga mual, tapi kadangkala tiada senggugut langsung. Tempoh haid saya tiga hingga tujuh hari, adakah masalah ini menjejaskan peluang untuk hamil kelak.
Jawapan

JIKA saya ditanya mengenai produk herba, jujurnya saya amat kurang arif dari segi kebaikan atau kesan sampingannya. Produk herba ini dikategorikan sebagai rawatan tradisional yang tidak memerlukan kaji selidik bagi membuktikan keberkesanan atau keburukannya.

Daripada apa yang saya baca di internet yang bersumberkan pengeluarnya, ia dapat merawat pelbagai masalah wanita, tapi tidak pula menyatakan kesan sampingan. Apa yang saya faham, ia kombinasi herba yang boleh memulihkan kitaran haid. Semua herba yang berasal daripada tumbuhan mempunyai phytoestrogen iaitu hormon estrogen yang fungsi dan kesan sampingannya adalah sama seperti hormon estrogen berasal daripada haiwan.

Oleh kerana itu, saya berpendapat phytoestrogen ini dapat membantu kitaran haid saudari dengan baik apabila saudari mengambilnya. Hormon ini juga terdapat dalam pil perancang yang diberi oleh doktor saudari sebelum ini. Jadi kalau saudari mengambil pil perancang itu, kitaran haid saudari juga akan pulih. Terdapat beberapa kelebihan pil perancang ini seperti dapat mengurangkan senggugut dan wajah akan bertambah cantik.

Pendapat saya, jika saudari berasa sesuai dengan pil herba ini, teruskan saja pengambilannya untuk beberapa bulan, kemudian cuba berhenti dan tunggu sama ada haid pulih semula atau tidak. Bagaimanapun saya agak curiga mengenai kesan sampingan herba ini yang tidak diketahui. Kalau ia betul mempunyai estrogen, maka saudari perlu berhati-hati jika mengambilnya dalam tempoh yang panjang.

Alternatif lain adalah saudari mengambil pil perancang yang mana senggugut akan berkurangan atau hilang. Haid yang tidak betul ini berpunca daripada fungsi ovari yang tidak normal. Terdapat segelintir wanita yang ovari mereka mengambil masa untuk matang dan berfungsi seperti biasa. Berat badan juga mempengaruhi haid. Jika terlalu gemuk atau kurus, boleh menjejaskan haid.

Kalau saudari belum ada perancangan untuk berkahwin, tidak perlu memikirkan sangat hal ini. Sememangnya betul haid yang normal penting untuk meningkatkan peluang mengandung, tapi ia bukan wajib. Maknanya saudari masih boleh hamil walaupun mempunyai haid yang tidak teratur.

Oleh Suzan Ahmad

No comments:

Post a Comment