Pemutihan Gigi
Pengenalan
                      Rawatan  pemutihan gigi adalah satu cara yang  berkesan untuk mencerahkan warna asal gigi  tanpa memotongnya. Ia  mungkin tidak dapat menukarkan warna gigi tersebut  sepenuhnya tetapi,  mampu mencerahkan warna asal.
                     
                      Hydrogen peroxide atau carbamide peroxide merupakan bahan aktif  yang sering digunakan dalam produk pemutihan gigi.
Siapa yang memerlukan Pemutihan  Gigi?
                    Pemutihan  gigi sesuai bagi individu yang sihat,  tiada tampalan gigi dan tiada masalah  gusi. Rawatan ini berkesan untuk  gigi yang berwarna kuning dan gigi yang  mempunyai tanda kotoran (stain).
                    Doktor  pergigian akan memeriksa status kesihatan  pergigian anda terlebih dahulu  sebelum mengesyorkan rawatan ini.
Bagaimana Proses Pemutihan  dijalankan
                    Pemutihan  gigi biasanya menggunakan cara pelunturan.
                    Mula-mula  pelindung getah atau gel akan diletakkan  pada gusi untuk melindungi tisu lembut  mulut. Kemudian bahan pemutih  disapu terus pada gigi atau menggunakan tray khas yang sesuai dengan mulut anda. 
Lain-lain Prosedur Untuk  Mencerahkan Warna Gigi
                    Pada masa  ini terdapat penggunaan laser atau power whitening  untuk pemutihan gigi.  Cahaya atau laser dipancarkan ke permukaan gigi  untuk mengaktifkan bahan kimia.  Prosedur ini lebih cepat menghasilkan  perubahan warna gigi yang dikehendaki.
                   
                    Apakah Kesan Sampingan Rawatan  Ini?
                    Sesetengah  individu mungkin mengalami rasa ngilu  (sensitif) semasa atau selepas rawatan.  Ada juga yang mengalami rasa  tidak selesa pada gusi, sakit tekak atau mendapati  tompok-tompok putih  di pinggir gusi . Gejala ini adalah sementara sahaja dan  akan hilang  dalam beberapa hari selepas selesai rawatan.
                   
                    Dapatkan pemeriksaan doktor pergigian jika kesan sampingan ini berlarutan. 
Berapa Lama Prosedur Pemutihan  dijalankan?
                    Doktor  pergigian mengambil masa selama satu jam  sehingga beberapa kali lawatan  bergantung kepada warna gigi dan teknik  yang digunakan.
Berapa Kosnya?
                    Klinik  pergigian kerajaan tidak menawarkan rawatan  ini secara rutin. Ia dilakukan khas  untuk mereka yang amat  memerlukannya.
                   
                    Di klinik pergigian swasta, harganya bergantung  kepada cara dan teknik yang  digunakan. Bayaran untuk penggunaan Laser  atau power whitening adalah  lebih mahal berbanding pelunturan biasa.
                   
                    Anda dinasihatkan mendapat anggaran kos bertulis sebelum memulakan rawatan. 
Bagaimana Penggunaan Produk  Pemutih Gigi Di Rumah?
                    Terdapat  pelbagai jenis produk pemutih gigi yang  boleh digunakan di rumah, sama ada yang  dibekalkan oleh doktor  pergigian anda atau dibeli di kedai-kedai farmasi.
                   
                    Pemutihan gigi adalah satu prosedur yang rumit.  Dapatkan nasihat dan  pemeriksaan daripada doktor pergigian terlebih  dahulu sebelum menggunakan  produk ini.
Berapa Lama Gigi Akan Kekal  Cerah?
                Kesan  rawatan bergantung pada individu. Lazimnya, gigi  akan kekal cerah selama tiga  tahun. Kesannya akan menjadi lebih singkat  jika anda seorang perokok atau  mengambil makanan/minuman yang boleh  meninggalkan kesan pada warna gigi.
No comments:
Post a Comment