Thursday 19 January 2012

Obesiti jejas kesuburan, Masalah kegemukan boleh ganggu kitaran haid

Masalah kegemukan boleh ganggu kitaran haid

SOALAN
Saya berkahwin tahun lalu dan baru saja disahkan mengandung enam minggu. Untuk pengetahuan doktor, saya berusia 28 tahun dan mempunyai susuk tubuh yang besar atau gemuk. Hasil ujian Indeks Jisim Tubuh (BMI) saya baru-baru ini menunjukkan bacaan lebih 30 iaitu secara amnya dalam kategori individu yang obesiti. Apakah risiko yang saya hadapi dan bolehkan keadaan ini dikawal pada awal kehamilan?SALMI, KLUANG

JAWAPAN

Puan Salmi, masalah obesiti boleh memberi kesan kepada kesuburan seseorang kerana ia mengganggu perjalanan atau kitaran haid. Ada beberapa perkara yang dikaitkan dengan obesiti dan risiko hamil.

Risiko pertama, diabetes dan darah tinggi semasa mengandung. Diabetes ketika mengandung sukar dipastikan kecuali ujian darah dilakukan. Selain berat badan, sejarah keluarga yang mempunyai risiko diabetes, umur melebihi 35 tahun adalah di antara beberapa ciri-ciri yang kami cari untuk ujian darah.

Ujian darah ini paling sesuai dilakukan ketika usia kandungan mencecah 26 hingga 28 minggu. Ujian ini membabitkan pengambilan darah selepas berpuasa semalaman dan selepas pengambilan air glukos.

Darah tinggi juga mempunyai risiko bagi yang obes ketika mengandung. Semasa lawatan atau pemeriksaan antenatal, tekanan darah ibu atau bakal ibu itu akan diperiksa. Darah tinggi ketika hamil ada banyak risiko jika tidak dikawal. Ini termasuk boleh menyebabkan sawan dan menyebabkan pertumbuhan terbantut.

Selain itu, ibu-ibu yang obes juga mempunyai risiko melahirkan bayi besar.
Bayi yang terlalu besar mungkin memerlukan pembedahan caesarean dan kalau lahir secara biasa mempunyai risiko bahu bayi tersangkut atau ‘shoulder dystocia.’

Sekiranya ibu yang obes memerlukan suntikan epidural semasa bersalin atau caesarean, ia sebaliknya menjadi agak sukar disebabkan masalah obesiti.

Bagi mengawal semua keadaan yang disebutkan tadi juga sukar kerana ibu memang sentiasa lapar dan makan banyak sewaktu mengandung.

Saya syorkan puan lakukan pemeriksaan secara tetap dan patuhi semua arahan doktor seperti ujian diabetes, pemeriksaan darah tinggi dan ujian ultrasound bagi melihat pembesaran bayi puan. Langkah mengambil rawatan awal adalah yang terbaik sekiranya timbul sebarang masalah-berita harian

No comments:

Post a Comment