Thursday 12 January 2012

Ketumbit Bukan penyebab buta


Oleh HIDAYATUL AKMAL AHMAD

KETIKA kecil dulu, sesiapa yang ada ketumbit pada mata pasti menjadi bahan usikan kerana ia sering dikaitkan dengan tabiat buruk mengintai orang.

Jika ketumbit itu kecil, tidak mengapa kerana tidak ramai yang akan perasan, tetapi ia jadi masalah jika benjolan seperti jerawat di tepi mata itu besar sehingga menyebabkan rasa sakit selain malu.

Sebenarnya, ketumbit tiada kaitan langsung dengan tabiat mengintai kerana ia sejenis keradangan pada kelopak mata disebabkan oleh jangkitan kuman. Biasanya bakteria ini membiak di akar bulu mata sebelum menimbulkan masalah.

Ketumbit disebabkan kelenjar minyak yang terletak berhampiran kelopak mata menjadi tersumbat. Kelenjar minyak yang tersumbat biasanya dijangkiti bakteria seperti staphylococcus aureus.

Penghasilan atau pengumpulan minyak yang berlebihan menyediakan keadaan sesuai untuk pembiakan bakteria.


Perunding Pakar Bedah Mata, Ketua Pusat Mata dan Lasik, Pusat Perubatan Prince Court, Prof Dr Muhaya Mohamad berkata, ketumbit tidak berbahaya dan tidak menyebabkan mata menjadi buta.

“Ketumbit bukan menyerang dalam mata tapi ia tumbuh di kulit mata. Cara rawatan juga mudah iaitu hanya menyapukan ubat antibiotik dan tuam dengan tuala hangat supaya ia mengecut.

“Namun jika tidak sembuh dalam masa seminggu, ia perlu dirujuk kepada doktor. Biasanya doktor mengesyorkan pembedahan tetapi ia tidak berbahaya dan tidak berisiko,” katanya.


Simptom

  • Mata berair
  • Mata terasa gatal jika ada habuk
  • Mata menjadi sensitif terhadap cahaya
  • Kelopak mata menjadi bengkak dan merah
  • Kelopak mata terasa sakit apabila disentuh
  • Bengkak di sekeliling kelopak mata


    Adakah ketumbit serius?

    Ketumbit biasanya tidak serius dan boleh dirawat di rumah.

    Info yang anda perlu tahu mengenai ketumbit:

  • Ketumbit tidak menyebabkan buta kerana ia hanya membabitkan kelopak mata

  • Fungsi melihat bergantung kepada kesihatan biji mata dan kesihatan mata tidak terganggu apabila ada ketumbit

  • Ketumbit boleh menyebabkan sedikit gangguan penglihatan jika ia menjadi terlalu besar dan menekan pada bahagian tengah mata, di mana ia menyebabkan astigmatisme

  • Anak yang sering mendapat ketumbit bukan bermakna dia kurang sihat. Sebenarnya ia cuma jangkitan kuman dan boleh berlaku pada sesiapa saja

  • Ketumbit tidak berjangkit kepada orang lain kerana ia berlaku disebabkan penyumbatan pada kelenjar tarsal mata pesakit


    Rawatan

  • Pembedahan kalazion untuk golongan dewasa dan kanak-kanak juga berbeza dan hanya dilakukan jika perlu

  • Untuk orang dewasa, selalunya ia dilakukan dengan pembedahan menggunakan bius setempat dan tidak menyakitkan
  • No comments:

    Post a Comment