Thursday 19 January 2012

Kesihatan mental Pekerja

Pencegahan

Apa yang anda perlu buat untuk mencapai cara kerja yang sihat?

Untuk mencapai cara bekerja yang sihat, seseorang perlu mengenali diri sendiri dan berminat dengan kerjanya melalui :

Mengenali punca tekanan.

  • Dalam meningkatkan kesihatan mental di kalangan orang yang bekerja, adalah penting untuk memahami bahawa tekanan psikologi yang dialami di tempat kerja berkait rapat dengan kekuatan dan kelemahan beliau dan juga latar belakang keluarga beliau.
  • Menyedari bahawa diri mengalami tekanan adalah langkah pertama mengendali tekanan.
  • Kenalpasti simptom-simptom tekanan lebih awal dan kenalpasti faktor yang menyumbang kepada tekanan tersebut untuk membolehkan anda mengambil tindakan sewajarnya untuk mengatasi punca tekanan tersebut.

Mempunyai penilaian diri yang tepat (fahami diri sendiri).

  • Seorang dewasa yang bekerja haruslah secara jujur menilai kebolehan, minat, personaliti dan keutamaan hidup sendiri.
  • Apabila beliau menyedari kebolehan, kekuatan dan kelemahan sendiri, beliau akan menjadi lebih realistik terhadap apa yang boleh dicapainya dalam pekerjaan dan hidup.
    Apabila beliau menetapkan matlamat yang tidak munasabah,beliau akan merasa kecewa, kegagalan dan tertekan.
    Maka, menetapkan matlamat yang wajar adalah langkah penting untuk mengendali tekanan
  • Anda perlu juga menilai personaliti dan minat sendiri dan adakah bersesuaian dengan peranan kerja anda.
    Melakukan sesuatu yang tidak diminati membuat seseorang itu kecewa, marah, tiada motivasi dan semua ini menyebabkan tekanan.
  • Dengan mengetahui minat sendiri, anda patut mencari peluang pekerjaan atau memilih untuk menukar peranan kerja di dalam syarikat tempat anda bekerja.
  • Anda perlu jelas tentang keutamaan hidup dan memenuhi tanggungjawab kerja dan keluarga.
    Menilai moral dan tujuan hidup sendiri membantu seseorang menentukan masa dan tenaga yang diluang untuk keluarga, kerja dan lain-lain tanggungjawab dan menjalani hidup yang lebih seimbang.

Mewujudkan sikap positif terhadap diri sendiri

  • Anda harus mewujudkan sikap positif terhadap diri sendiri dan menerima kenyataan bahawa manusia mempunyai kekuatan dan kelemahan.
    Kelemahan boleh diimbangi dan diperbaiki
  • Kepercayaan negatif terhadap diri sendiri seperti melabel (saya seorang yang gagal), kepercayaan yang kekal (saya tidak mungkin berubah), menyalahkan diri sendiri (semua ini salah saya), akan mencetuskan lebih banyak kekecewaan dan rasa tidak berupaya yang akan melemahkan usaha seseorang untuk memperbaiki keadaan
    Anda harus mengenali beberapa kepercayaan yang salah dan menukarkan kepada yang lebih membina. Beberapa kepercayaan yang membina adalah :-


    • Jangan jadikan masalah terlalu peribadi - sedari bahawa kegagalan adalah akibat dari kurang kemahiran. Kesilapan dalam tindakan bukan bermakna anda seorang yang gagal.
    • Sedari bahawa kegagalan bersifat sementara - ketahui bahawa kesilapan dan kelemahan tidak kekal. Tabiat boleh diubah, kemahiran boleh dipelajari dan keadaan boleh diperbaiki.
    • Bertanggungjawab dengan tidak menyalahkan diri sendiri - pikul tanggungjawab sewajarnya, menilai masalah secara rasional dan tidak tenggelam dengan menyalahkan diri sendiri.

Mewujudkan persepsi yang tepat terhadap sesuatu peristiwa.

  • Tahap tekanan seseorang bergantung rapat dengan persepsi beliau terhadap sesuatu peristiwa.
  • Mereka yang berfikir secara negatif akan merasa tiada keupayaan dan putus asa
  • Orang yang mempunyai persepsi positif akan bermotivasi untuk mencari penyelesaian dan memperbaiki keadaan.
  • Seorang dewasa yang bekerja harus memandang sesuatu peristiwa dengan cara yang lebih membina seperti berikut :-
    • Terima hakikat bahawa dalam hidup ini tekanan tidak dapat dielakkan. Matlamat utama bukan untuk menghapuskan tekanan tetapi belajar mengendalinya dan mendapat manfaat darinya
    • Kenali pelbagai punca masalah secara wajar tanpa menyalahkan orang lain, pihak atasan atau diri sendiri secara berlebihan.
    • Terima hakikat bahawa ada perkara yang boleh diubah dan ada perkara di luar kawalan kita.
    • Bersikap positif terhadap sesuatu peristiwa.
    • Tumpukan perhatian terhadap cara mengubah keadaan dan jangan menyalahkan orang lain
    • Mewujudkan kemahiran pengurusan masa.
    • Mempelajari kemahiran relaksasi.
    • Mengekalkan cara hidup sihat dan seimbang. Mereka perlu mengekalkan cara hidup sihat dengan bersenam, makan makanan seimbang, mempunyai tidur yang cukup, jangan merokok, minum alkohol, minum kopi secara berlebihan atau bahan rangsangan.
    • Mempunyai badan yang sihat dapat meningkatkan prestasi kerja. Untuk memperolehi cara hidup yang seimbang, seseorang perlu meluangkan masa melakukan hobi atau aktiviti rekreasi. Dengan berbuat demikian beliau dapat mengalih fikiran beliau terhadap kerisauan dan mendapat persepsi baru untuk menyelesaikan masalah.
    • Memiliki kemahiran-kemahiran menyelesaikan masalah.
      Melibatkan diri dalam hal-hal keagamaan
    • Seseorang yang mempunyai tujuan hidup biasanya dapat mengendali tekanan dengan baik.
    • Mereka yang bekerja digalakkan melibatkan diri dalam hal-hal kerohanian kerana ia memberi mereka perspektif yang betul tentang kehidupan dan pekerjaan
    • Agama memberi sumber harapan atau pegangan kepada seseorang apabila diperlukan.

Bagaimana untuk seronok bekerja?

Untuk seronok bekerja, seorang dewasa bekerja perlu mengurus keluarga dengan baik melalui :

Menggalakkan sokongan sosial di kalangan keluarga dan rakan-rakan yang dapat menunjukkan dan menerima kasih sayang , mengakui harga diri seseorang, mendengar dan menerima seseorang tanpa menghukum, memberi cadangan membina dan sedia membantu apabila ada masalah fizikal
Sokongan sosial tidak hanya bermakna mempunyai ramai kawan, tetapi juga mengambil kira aspek emosi dan psikologi yang baik dan berkesan Kemahiran keibubapaan .

Untuk keseronokan bekerja, seorang dewasa bekerja perlu mengendalikan kerjanya dengan baik. Menguruskan tempat kerja dengan baik dengan

  • Cuba jadikan tempat kerja selesa dan teratur sebaik mungkin seperti suhu yang bersesuaian, kurangkan gangguan, tidak sesak.
  • Dapatkan cukup peralatan dan ruang untuk kegunaan sendiri.
  • Sedari bahawa setiap orang yang bekerja mempunyai hak untuk bebas dari gangguan dan pilih kasih semasa bekerja.

Bersikap positif dalam suasana yang negatif

Suasana kerja menjadi satu sebab untuk tidak seronok semasa bekerja dan ini mengurangkan produktiviti di samping timbulnya konflik dalam perhubungan.Bagaimanapun faktor-faktor ini boleh dihindari.
Sentiasa bersikap positif dalam suasana kerja yang negatif bukannya mudah.Walaubagaimanapun semua orang mesti mengendalikan masalah tersebut tanpa mengira keadaan sekiranya ingin mencapai matlamat kerjaya.

Terdapat tiga cabaran dalam perhubungan manusia yang utama :

    • Belajar bekerja dengan orang yang bersikap negatif tanpa anda menjadi seperti mereka.
    • Pastikan hubungan sentiasa sihat sebaik mungkin terutama dengan pihak atasan anda (penyelia).
    • Baiki hubungan yang rosak secepat mungkin.

Ingat bahawa hubungan antara manusia akan meningkatkan produktiviti seseorang di samping membantu yang lain bekerjasama untuk menyelesaikan sesuatu kerja.Imej diri anda di syarikat/tempat kerja akan menjadi lebih positif. Pengurangan konflik peribadi akan membuat anda menjadi seorang lebih berharga. Kemahiran berkomunikasi yang baik. Dewasa bekerja perlu mempelajari cara mengurus masa dan kerja.

Mengendalikan orang bawahan dengan baik

  • Mulakan komunikasi terbuka dengan orang bawahan anda.
  • Alu-alukan maklumbalas yang membina dalam kaedah pengurusan anda dan beban kerja mereka
  • Berikan orang bawahan anda penerangan apa yang diharapkan dari mereka dengan jelas.
  • Peka terhadap kelebihan dan kekurangan mereka dan berikan tugas yang sewajarnya.
  • Elakkan tabiat kerja yang buruk dengan berbincang bersama mereka secara persendirian.
  • Cuba dapatkan pendapat setiap orang dalam membuat keputusan.

Hubungan baik dengan rakan sekerja

  • Galakkan komunikasi terbuka dengan rakan setugas.
  • Elakkan gosip, simpan sahaja sungutan-sungutan dalam diri sendiri.
  • Berkongsi maklumat dengan rakan sejawat.
    Dapatkan maklumbalas yang membina dari rakan sekerja.

Orang dewasa bekerja perlu mengendalikan hubungan baik dengan pihak atasan

  • Dapatkan penjelasan yang jelas tentang peranan dan tanggungjawab anda dari ketua.
  • Dapatkan penjelasan yang jelas mengenai jangkaan dan tempoh setiap tugasan dari ketua anda.
  • Bersikap realistik dengan kebolehan sendiri untuk menyelesaikan sesuatu dalam tempoh yang diberi.
  • Sesekali dapatkan maklumbalas dari ketua anda tentang perkembangan kerjaya anda.
  • Bersikap jujur dengan ketua anda tentang masalah-maslaah dan cuba dapatkan bantuan beliau.
  • Bersikap jujur dengan ketua anda tentang masalah-maslaah dan cuba dapatkan bantuan beliau.

Menggalakkan sokongan sosial di tempat kerja

  • Wujudkan persahabatan dengan rakan sekerja.
  • Berkongsi masalah dan perasaan dengan rakan yang boleh
  • Dapatkan perspektif yang berbeza terhadap sesuatu masalah atau sebaliknya.

Mengimbangi masa antara kerja dan rumahtangga

  • Untuk meningkatkan kesihatan mental yang baik, kita harus sedar tentang peranan ini dan mengimbangkan masa kita antara rumahtangga, tempat kerja dan kehidupan sosial
  • Kekeliruan peranan boleh mengakibatkan tekanan mental bukan hanya kepada individu tersebut tetapi juga kepada keluarga dan rakan sekerja.

Bagaimana sokongan sosial boleh mempengaruhi kesihatan mental?

Sokongan sosial meningkatkan harga diri seseorang.

  • Seseorang yang mempunyai sokongan sosial merasakan dirinya diterima sepertimana yang ada padanya.
  • Beliau boleh menerima kekuatan dan kelemahannya.
  • Beliau boleh merasa disayangi dan diambil berat.
  • Penerimaan diri sendiri membantu imej diri yang sihat.

Seseorang yang mempuyai penerimaan diri yang rendah selalu mengkritik diri sendiri, tidak gembira dengan apa yang berlaku di sekeliling beliau dan mengakibatkan kemurungan.
Sokongan sosial meningkatkan sokongan emosi seseorang.

  • Seseorang yang mempunyai sokongan sosial boleh berkongsi perasaannya dengan orang lain tanpa mengkritik.
  • Berbicara dengan orang lain membantu meluahkan perasaan dan emosi yang terpendam.

Seseorang yang tiada sokongan sosial selalunya memendam perasaannya dan menyebabkan banyak tekanan mental..
Sokongan sosial membantu seseorang membuat pertimbangan dan keputusan.

  • Seseorang yang mempunyai sokongan sosial dari kawan dan keluarga yang boleh memberikan cadangan dan maklumbalas yang ikhlas terhadap masalah boleh membantu seseorang itu membuat pertimbangan dan keputusan yang lebih baik.

Sokongan sosial meningkatkan kemahiran sosial.

  • Seseorang yang mempunyai sokongan sosial yang baik boleh mengamalkan kemahiran sosial mereka.
  • Mereka boleh menerima maklumbalas ikhlas dan mendapat manfaat dari maklumbalas yang diterima.

Sokongan sosial meningkatkan daya ketahanan diri apabila menghadapi peristiwa yang traumatik.

  • Seseorang yang menerima sokongan emosi dan fizikal dalam menghadapi peristiwa yang traumatik dalam hidupnya berupaya menangani masalah dengan tekanan yang rendah.
  • Menyedari hakikat bahawa ada orang yang bersedia memberi sokongan dan menawarkan cadangan yang ikhlas membolehkan seseorang itu menghadapi situasi dengan tenang dan dapat membuat keputusan dengan lebih baik.


Semakan akhir : 28 April 2008

No comments:

Post a Comment