Thursday 19 January 2012

Juvenile Idiopathic Arthiritis

Apakah maksud JIA?

Juvenile Idiopathic Arthritis atau radang sendi kanak-kanak ialah penyakit yang melibatkan kanak-kanak dan remaja di bawah umur 16 tahun. Definisi JIA ialah radang yang melibatkan satu atau lebih sendi badan yang menyebabkan kesakitan, sendi merasa ketat dan bengkak selama sekurang-kurangnya 6 minggu.

Adakah JIA penyakit yang biasa?

Di Malaysia, bilangan kanak-kanak yang menghidap JIA tidak diketahui tetapi di dunia Barat, biasanya ia melibatkan 1 dalam 1000 kanak-kanak di bawah umur 16 tahun. Tiada sebab yang dapat dikenalpasti tetapi JIA tidak berjangkit, tidak disebabkan oleh makanan yang tertentu dan bukan penyakit keturunan.

Apakah tanda-tanda JIA?

  • Demam yang berpanjangan tanpa sebab yang diketahui
  • Satu atau lebih sendi badan yang sakit atau bengkak termasuklah sendi di leher dan rahang
  • Sendi merasa ketat terutamanya di waktu pagi atau selepas tidak bergerak buat masa yang lama contohnya duduk lama di dalam kereta.
  • Sukar untuk berjalan atau berjalan dengan tempang
  • Sukar untuk melakukan aktiviti harian seperti memakai baju, makan, menyikat rambut atau menggunakan tangan seperti biasa
  • Ruam mungkin boleh timbul ketika anak anda demam dan hilang setelah demam beransur pulih
  • Masalah penglihatan dan mata merah (jarang sekali berlaku)

Tanda-tanda ini juga boleh disebabkan oleh penyakit yang lain, oleh itu doktor anda perlu menjalankan pelbagai ujian sebelum diagnosa dapat ditentukan.

Apakah komplikasi JIA?
Jika tidak dirawat atau penyakit tidak dikawal dengan baik, JIA boleh menyebabkan pelbagai komplikasi :

  • Pembesaran yang tidak memuaskan (kerdil)
  • Perkembangan tulang yang tidak perlahan atau terlalu pantas disebabkan oleh radang sendi, ini menjadikan saiz dan panjang anggota badan tidak sekata
  • Sendi menjadi rosak dan seterusnya cacat
  • Buta (jika keradangan mata tidak dirawat)

Bagaimana untuk merawat JIA?
Rawatan yang menyeluruh melingkungi ubat-ubatan dan terapi pemulihan.

A : Ubat-ubatan

  1. Non-steroidal anti-inflammatory drug NSAIDs)
  2. Corticosteroids
  3. Diseases modifying anti-rheumatic drugs (DMARDs)
  4. Biologics

B : Terapi pemulihan

  1. Fisioterapi dan terapi pemulihan carakerja adalah aspek penting dalam rawatan JIA. Terapi-terapi ini dan penggunaan “splint” cuba untuk melegakan kesakitan, mencegah kecacatan sendi dan mengekalkan fungsi sendi yang normal.
  2. Senaman termasuk meregangkan badan (stretching) adalah sangat penting untuk memperbaiki stamina, mengekalkan otot yang sihat dan kuat, mengekalkan pergerakan sendi yang normal dan mengurangkan kesakitan. Hydroterapi atau senaman di dalam kolam air suam juga kadangkala boleh membantu.

C : Lain-lain
Diet : Pastikan diet anak anda terdiri dari pemakanan yang sihat dan seimbang. Anda tidak perlu mengelakkan makanan tertentu.Makanan yang mengandungi kalsium (contohnya susu dan keju) juga sangat penting terutamanya jika kanak-kanak ini mengambil ubat corticosteroids untuk mencegah tulang menjadi rapuh (osteoporosis). Kanak-kanak ini juga memerlukan Vitamin D. Sebilangan kanak-kanak terutamanya yang mengalami radang sendi menyeluruh (systemic arthritis) mungkin juga memerlukan zat besi tambahan

Adakah pembedahan boleh membantu?
Pembedahan selalunya tidak diperlukan untuk radang sendi kanak-kanak (childhood arthritis) melainkan masalah ini berlarutan selama beberapa tahun atau terlalu serius hingga menyebabkan kerosakan sendi (mungkin memerlukan pertukaran sendi) atau kaki yang tidak sama panjang.

No comments:

Post a Comment