Thursday 19 January 2012

Impetigo (Penyakit Kulit Berjangkit)


Apa itu impetigo?
Impetigo adalah jangkitan pada kulit yang disebabkan oleh bakteria tertentu (Streptococcus atau Staphylococcus). Bakteria tersebut memasuki bahagian kulit yang rosak disebabkan menggaru, luka atau lain-lain masalah kulit. Ia biasa berlaku pada bayi dan kanak-kanak. Ia juga mudah tersebar kepada orang lain.

Bagaimana ia berlaku?
Ia bermula dengan gelembung-gelembung kecil dan akhirnya pecah dan mengeluarkan cecair. Cecair tersebut akan kering dah menghasilkan kulit keras yang berwarna coklat kekuningan. Penyakit ini sangat gatal.

Bahagian badan manakah ia berlaku?
Ia selalu dilihat pada bahagian muka di sekeliling mulut dan hidung. Bagaimanapun ia juga boleh terjadi pada bahagian lain badan terutamanya bahagian yang terdedah.

Contoh impetigo :

http://www.myhealth.gov.my/myhealth/bm/$public/story_images/child/Impeti3.jpg http://www.myhealth.gov.my/myhealth/bm/$public/story_images/child/Impeti4.jpg

Bagaimana ia berjangkit?
Penyakit ini mudah berjangkit melalui beberapa cara :

  • Bersentuhan badan dengan orang yang dijangkiti penyakit ini
  • Berkongsi pakaian, tuala atau tempat tidur dengan orang yang dijangkiti. Ia juga boleh merebak daripada satu bahagian badan kepada bahagian lain.

Komplikasi

  1. Kadang-kadang, jangkitan bakteria Streptococcus ini boleh membawa kepada penyakit buah pinggang yang serius dipanggil Glomerulonephritis.
  2. Pada bayi, penyakit ini lebih tersebar luas dan lebih teruk.

Apakah yang patut anda lakukan apabila anak anda mengalami impetigo?

  1. Bawa anak anda berjumpa doktor
  2. Rawatan dengan ubat sapu mungkin diperlukan
  3. Antibiotik melalui mulut mungkin diperlukan jika penyakit ini tersebar luas dan lebih teruk

Tindakan lain :

  • Basuh dengan cermat bahagian kulit yang keras dengan sabun / larutan antiseptik dan air 3 – 4 kali sehari
  • Menahan diri daripada menggaru bahagian tersebut untuk mengelakkan ia merebak ke bahagian lain

Bagaimana jangkitan ini dapat dielakkan?

  • Jauhkan kanak-kanak daripada sekolah atau pusat jagaan sehingga ia kering
  • Elakkan berkongsi tuala, pakaian dan cadar
  • Basuh tangan dengan bersih menggunakan sabun dan air selepas bersentuhan dengan kulit yang berjangkit
  • Pastikan kuku sentiasa pendek dan bersih
  • Pastikan ubat diambil mengikut preskripsi doktor

No comments:

Post a Comment