Thursday 19 January 2012

Ibu Mengandung dan Kesihatan Pergigian

Pengenalan
Tiada bukti yang mengesahkan mitos kehilangan gigi akan terjadi setiap kali mengandung. Gigi sebenarnya boleh kekal sepanjang hayat sekiranya penjagaan kesihatan pergigian yang baik diamalkan.

Bagaimana Kehamilan menjejaskan Gigi Dan Gusi Anda?
Mengidam makanan manis dan alahan semasa hamil, boleh mengakibatkan kerosakan gigi dan penyakit gusi lebih mudah terjadi.

Bakteria dalam plak bertindak balas dengan makanan menghasilkan asid, menyerang gigi dan menyebabkan berlakunya kerosakan gigi. Plak juga boleh merengsakan gusi menjadi merah, sakit dan mudah berdarah.

Kebiasaan nya kehilangan gigi yang berlaku semasa hamil adalah berpunca dari kerosakan gigi atau penyakit gusi.

Apakah Ketumbuhan Semasa Kehamilan?
Ia merupakan keradangan gusi, dan ketumbuhan bukan kanser yang terjadi akibat tindak balas keterlaluan rengsakan kepada gusi. Ketumbuhan ini biasanya tidak sakit dan akan hilang selepas bersalin.

Pentingnya Penjagaan Mulut Semasa Kehamilan
Penjagaan mulut semasa hamil adalah penting kerana terdapat kajian yang mengaitkan keradangan gusi dengan kelahiran bayi pra matang dan kurang berat badan.
Oleh itu, penjagaan mulut yang baik adalah penting semasa kehamilan. Ia bukan sahaja mengatasi masalah pergigian ibu mengandung malah ia membantu perkembangan kesihatan bayi.

Bagaimana Anda Boleh Mengelakkan Kerosakan Gigi dan Penyakit Gusi?
Panduan di bawah dapat menjaga kesihatan pergigian dan mengekalkan senyuman menarik anda sepanjang kehamilan:

  • Berus gigi dengan bristel lembut terutama di leher gigi setiap hari.
  • Guna ubat gigi berfluorida.
  • Gunakan flos untuk mengeluarkan sisa makanan yang melekat di celah-celah gigi.
  • Makan secara sihat. Elakkan pengambilan kerap makanan ringan yang manis. Sebaliknya, pilihlah makanan yang rendah gula, lemak dan garam seperti buah-buahan, sayur-sayuran, dan kekacang.
  • Dapatkan pemeriksaan pergigian secara berkala.

Rawatan Pergigian Semasa Kehamilan
Dapatkan pemeriksaan pergigian di awal kehamilan.

Beritahu doktor pergigian yang anda hamil.

Rawatan pergigian pada umumnya boleh dilakukan dengan selamat. Sesetengah ubat dan bius boleh digunakan semasa rawatan pergigian supaya anda lebih selesa. Walau bagaimanapun anda dinasihatkan untuk mengelakkan rawatan tertentu semasa tiga bulan pertama kehamilan.

No comments:

Post a Comment