Friday, 20 January 2012

Hepatitis B dan Kehamilan

Hepatitis B dan Kehamilan

Apa itu Hepatitis B?

Penyakit Hepatitis B seperti juga Hepatitis A merupakan sejenis jangkitan dari kuman virus yang menyebabkan keradangan pada organ hati atau hepar. Selalunya ia tidak menunjukkan sebarang gejala yang jelas. Dengan kata lainnya, anda tidak merasakan yang anda sedang sakit. Kebanyakan gejala yang wujud semasa jangkitan di peringkat akut adalah tidak spesifik, hanya terasa seperti terkena selesema, terasa sengal-sengal badan, hilang selera makan, loya serta muntah. Kadangkala terdapat sakit-sakit sendi dan ruam di badan.

Seseorang yang dijangkiti sama ada diketahui ataupun tidak akan sembuh sepenuhnya dari gejala-gejala yang timbul, waluapun sesetengah dari mereka mengambil masa berbulan-bulan. Jarang sekali keadaan ini membawa kepada masalah kegagalan hati yang boleh membawa maut. Ia hanya berlaku kurang separuh dari kes-kes ini. Walau bagaimanapun, tumpuan sebenar mengenai penyakit Hepatitis B ini, ialah peranannya sebagai penyebab utama penyakit hati seperti Kronik Hepatitis dan Kanser Hati Pimer.

Selepas dijangkiti seseorang itu akan sembuh sepenuhnya dan ia akan mendapat imuniti atau keimunan terhadap jangkitan seterusnya. Walau bagaimanupun, terdapat sesetengah dari pesakit akan membawa kuman virus di dalam badannya dengan ataupun tanpa menunjukan gejala-gejala tertentu. Mereka merupakan pembawa yang kronik iaitu sumber penyebaran kuman virus. Seorang ibu yang menjadi pembawa kuman ini boleh menyebarkan virus kepada anak dalam kandungannya. Keadaan ini juga boleh berlaku ketika di peringkat jangkitan awal atau akut, terutamanya dalam masa 3 bulan terakhir sebelum kelahiran.

Penyakit ini merebak melalui darah atau produk darah. Perebakan juga boleh berlaku melalui aktiviti-aktiviti seksual terutamanya bagi amalan-amalan seks yang tidak selamat. Ia juga boleh merebak melalui ibu kepada anak semasa mengandung. Jangkitan akut yang berlaku di peringkat akhir kehamilan iaitu di sekitar masa kelahiran merupakan jangkitan dari ibu kepada anak sebelum atau semasa kelahiran.

Penyakit ini lebih biasa dan banyak berlaku di dunia sebelah sini dan peluang untuk merebak dari ibu kepada anak adalah lebih tinggi. Kementerian Kesihatan Malaysia telah melancarkan satu program aktif yang melibatkan saringan ibu-ibu mengandung. Rawatan-rawatan tertentu akan diberi kepada bayi yang ibunya dikenalpasti merupakan pembawa kuman virus atau telah mendapat jangkitan semasa mengandung. Ini dilakukan untuk mencegah perebakan penyakit dari ibu kepada bayi.

Faktor - faktor risiko ?
  • Penyalahgunaan dadah melalui suntikan - sekarang atau di masa yang lalu.
  • Mengamalkan kegiatan seks yang tidak selamat seperti mempunyai berbilang pasangan.
  • Penerima pemindahan darah atau produk darah
  • Mempunyai sejarah penyakit hati yang akut atau kronik
  • Seringkali terdedah kepada darah atau prosedur pergigian dalam sesuatu pekerjaan.
  • Ditolak sebagai penderma darah.
  • Mempunyai sejarah dijangkiti penyakit kelamin
  • Menghidap masalah gangguan pada tindak balas sistem imun.
  • Mempunyai hubungan dengan pembawa Hepatitis B yang disyaki.

Individu-individu yang memiliki risiko di atas perlu disaring untuk Virus Hepatitis B (HBV) sebaik sahaja mereka mengandung. Ataupun lebih baik lagi, sebelum mereka merancang untuk mendapatkan anak. Bagi mereka yang masih mempunyai faktor-faktor risiko dan yang menunjukkan tanda-tanda atau gejala dijangkiti kuman HBV, ujian ulangan perlu dilakukan walaupun ujian awalnya untuk Hepatitis B adalah negatif.

Mengenal pasti individu-individu yang memiliki faktor-faktor risiko di atas akan membantu mengurangkan penyakit ini dari merebak. Mereka yang terdedah kepada faktor-faktor risiko ini boleh diberikan suntikan jika mereka masih belum dijangkiti atau belum memiliki imuniti. Begitu juga dengan pasangan individu yang dijangkiti yang masih belum memiliki imuniti boleh diberikan suntikan untuk mengurangkan perebakan penyakit. Bayi yang dilahirkan dari ibu yang dijangkiti dan pembawa yang kronik boleh diberikan rawatan yang berkaitan untuk mencegah penyakit itu dari berlaku kepada mereka. Risiko bayi-bayi ini menjadi pembawa yang kronik adalah lebih tingi berbanding dengan golongan dewasa.

Telah terbukti bahawa pelaksanaan program yang menjalankan aktiviti-aktiviti untuk mengenal pasti individu yang mempunyai faktor-faktor risiko, melakukan usaha-usaha ke arah mencegah perebakan dan menjalankan kempen suntikan di kalangan mereka yang berisiko telah menunjukkan kejayaan. Antaranya, ia dapat mengurangkan kejadian atau insidens penyakit dan prevalens pembawa yang konik seperti yang dijalankan di bahagian Barat Amerika Syarikat.

Apa yang perlu saya lakukan jika ujian saya adalah positif?

Anda tidak perlu bimbang. Bantuan sentiasa ada. Doktor anda boleh membantu, menasihati dan merangkakan satu pelan pengurusan jangka panjang untuk anda dan keluarga anda. Dengan mengamalkan gaya hidup sihat serta menjalani pemeriksaan secara berkala, anda akan dapat menjalani kehidupan sihat yang berpanjangan tanpa menghadapi apa-apa komplikasi. Walaupun HBV sering dikaitkan dengan penyakit hati, mereka yang didiagnoskan sebagai pembawa tidak seharusnya merasa terganggu. Kehidupan mereka akan terus sihat dan berpanjangan.

Di sini dikemukakan beberapa saranan untuk mereka yang dikatakan pembawa kuman HBV tetapi sihat sejahtera:

  1. Mintalah doktor anda berunding dengan pakar penyakit hati, jika beliau bukan doktor pakar tersebut, bagi merangkakan satu pelan pengurusan jangka panjang atau merujuk anda kepada pakar tersebut.

  2. Dapatkan pemeriksaan berkala yang termasuk pemeriksaan untuk mengesan penyakit hati seperti kanser hati dan sirosis. Ia mungkin setahun sekali atau setiap 6 bulan atau lebih kerap lagi bergantung kepada apa yang anda dan doktor anda telah persetujui.

  3. Jika anda mengandung , kuman HBV akan menular dari ibu yang merupakan pembawa, kepada anak baru lahir semasa kelahiran. Pastikan doktor anda tahu kedudukan anda yang sebenar dan membuat sesuatu untuk melindungi bayi anda dari jangkitan kuman HBV apabila dilahirkan nanti. Dengan ini ia akan melindungi bayi anda dari dijangkiti kuman HBV.

  4. Pastikan ahli keluarga dan mereka yang sering mendampingi anda diberi imunisasi menentang penyakit ini, jika mereka belum lagi mendapatkannya.

  5. Berhati-hati supaya anda tidak menyebarkan darah anda kepada orang lain:

    • Balut semua luka dengan pembalut

    • Buangkan tampon dan lampin wanita yang telah dipakai dengan cermat.

    • Jangan menderma darah atau organ

    • Elak dari melakukan hubungan seks yang tidak selamat dengan pasangan yang tidak diimunisasikan.

    • Amalkan kebersihan diri yang baik dan jangan berkongsi peralatan peribadi yang boleh menyebarkan darah kepada orang lain seperti berus gigi, alat pengetip kuku, subang bercucuk, jarum suntikan dan pisau cukur.

    • JANGAN MEMINUM ALKOHOL. Ia sangat merbahaya kepada hati anda.

    • Elakkan dari toksin-toksin hati

Cendawan dari nasi basi, roti atau kacang tanah yang lama adalah merbahaya kepada hati anda.

Elak memakan makanan dari laut yang mentah kerana ia mempunyai risiko jangkitan kuman bakteria vibrio.

Jangan menyedut terlalu banyak wasap dari cat, bahan penipis cat, gam, dan bahan-bahan pencuci. Sebahagian dari bahan-bahan ini mengandungi fenol, iaitu bahan kimia yang boleh menjadi toksik kepada hati.

  • Dapatkan nasihat doktor sebelum mengambil sebarang ubat
Jangkitan HBV semasa mengandung

Jangkitan kuman virus Hepatitis B (HBV) yang berlaku di penghujung waktu kehamilan dan di peringkat masa hendak bersalin kemungkinan besar boleh merebak kepada bayi sebelum dan di sekitar waktu bersalin. Risiko di waktu 3 bulan pertama kehamilan adalah kecil dan kira-kira 6% dalam 3 bulan kedua kehamilan. Penyakit ini akan melalui peringkat-peringkat yang sama seperti ketika tidak mengandung. Kebanyakannya akan sembuh sepenuhnya dan membentuk keimunan (imuniti) atau daya ketahanan badan. Sebahagian kecil dari mereka akan menjadi pembawa kuman yang kronik.

Jangkitan kuman HBV semasa mengandung setakat ini tidak pernah dikaitkan dengan sebarang kecacatan semasa kelahiran atau keabnormalan kongenital.

Tidak ada sebarang rawatan khusus untuk ibu yang terkena jangkitan ini, kerana kebanyakan gejala akan hilang dengan spontannya. Tumpuan utama adalah kepada bayi yang akan lahir dan .doktor anda perlu menyedari mengenai perkara ini. Persediaan hendaklah dibuat untuk memberi rawatan segera apabila bayi tersebut dilahirkan. Segala cairan buangan yang keluar ketika bersalin hendaklah diurus dan dibuang dengan cermat bagi mengelakkannya menjangkiti orang lain terutamanya anggota kesihatan yang mengendalikan kelahiran tersebut .

Bolehkah saya mendapat imunisasi semasa mengandung?

Walaupun pihak pengeluar vaksin tidak mengesyorkan imunisasi diberi ketika mengandung, tetapi dalam amalan perubatan tidak ada ketetapan dibuat untuk menidakkan kaedah ini dilakukan. Setakat ini tidak terdapat sebarang kesan sampingan yang timbul di kalangan mereka yang telah menerima imunisasi ini, kemudian menyedari yang mereka sebenarnya sedang mengandung.

Dinasihatkan wanita yang mengandung terutama mereka yang berisiko tinggi seperti anggota kesihatan dan perubatan yang terdedah kepada jangkitan ini perlu diberikan imunisasi. Vaksin ini tidak dibuat dari kuman virus yang lengkap dan terpaksa melalui beberapa peringkat prosedur yang ketat. Oleh itu vaksin tersebut dianggap selamat dan tidak berisiko untuk menyebabkan penyakit.

Imunisasi ini diberikan sebanyak 3 kali dalam masa 6 bulan mengikut jadualnya supaya perlindungan sepenuhnya dari jangkitan kuman HBV diperolehi. Vaksin ini telahpun digunakan di seluruh dunia dan amat sedikit sekali kesan sampingannya dilaporkan.

Memahami ujian darah untuk Hepatitis B

Sebelum dijelaskan mengenai ujian ini, di sini terdapat 2 istilah perubatan asas yang perlu difahami.

  1. Antigen (Ag): Ini merupakan sejenis bahan yang akan mencetuskan amaran bahaya dalam badan supaya melindungi dirinya (dalam kes ini, antigen ialah virus Hepatitis B).

  2. Antibodi (Ab): Ini dihasilkan oleh badan untuk melindungi dirinya dari bahan antigen. Antibodi ini akan mengikat kepada antigen dan menjadikannya tidak aktif lagi.

Ujian-ujian darah biasa yang dijalankan untuk jangkitan Hepatitis B

  1. HbsAg (antigen permukaan Hepatitis B) ini merupakan permukaan luar virus Hepatitis B (HBV) yang mencetuskan tindak balas antibodi. Jika Hbs

    Ag itu positif atau reaktif ianya bermaksud seseorang itu telah dijangkiti dengan kuman HBV dan berpotensi untuk menjangkiti orang lain yang sering berdamping dengannya.

  2. Anti-HBs (antibodi kepada antigen permukaan Hepatitis B) Kewujudan antibodi menandakan seseorang itu telahpun terdedah kepada kuman HBV, tetapi telah berjaya membersihkan virus tersebut dari badannya dan dianggap tidak lagi merbahaya kepada kepada orang lain. Antibodi tersebut melindungi tubuh dari sebarang pendedahan kepada jangkitan kuman HBV di masa hadapan. Seseorang itu telah "diimunisasikan secara semula jadi". Antibodi juga boleh dihasilkan dari beberapa siri vaksin HBV.

  3. Anti- HBc (antibodi kepada teras Hepatitis C) ujian ini bertujuan untuk mengenal pasti jangkitan kuman virus Hepatitis B (HBV) pada masa lalu dan masa kini. Ia dihasilkan semasa dan selepas jangkitan HBV yang akut. Antigen teras merupakan sebahagian dari HBV dan antibodi kepada antigen teras ini selalunya ada di dalam badan pembawa yang kronik. Walau bagaimanapun, jika ianya wujud bersama anti-HBs "yang positif" (antibodi perlindungan) ini menandakan seseorang itu telahpun sembuh dari jangkitan ini dan ia bukanlah pembawa. Tafsiran ujian ini bergantung kepada keputusan ujian pertama dan kedua tadi.


Apakah yang dapat difahami dari keputusan ujian-ujian tersebut?

  • HbsAg - negatif
  • Anti-HBc - negatif
  • Anti-Hbs - negatif

Anda adalah rentan atau mudah dijangkiti penyakit ini. Tidak terdapatnya virus atau antibodi di dalam badan anda. Jika anda tergolong di kalangan mereka yang berisiko tinggi, adalah dinasihatkan supaya anda mendapatkan imunisasi, walaupun anda kini sedang mengandung. Anda perlu diuji sekali lagi di akhir-akhir kehamilan anda sekiranya terdapat kemungkinan anda telah terdedah kepada jangkitan ini.

  • HbsAg - negatif
  • Anti-HBc - negatif atau positif
  • Anti-HBs - positif

Terdapatnya antibodi di dalam badan anda dan badan anda telah memiliki ketahanan terhadap jangkitan ini. Jika anda tidak pernah mendapat imunisasi, kemungkinan besar anda telah pernah dijangkiti penyakit ini sebelumnya.

  • HbsAg - positif
  • Anti-HBc - negatif atau positif
  • Anti-Hbs - negatif

Keputusan ini menunjukkan anda sedang menghidapi jangkitan ini ataupun anda merupakan seorang Pembawa. Memberi imunisasi ketika ini tidak akan memberi apa-apa faedah. Anda akan diberi bantuan perubatan dan nasihat. Jika anda sedang mengadung, ada beberapa cara yang boleh dilakukan bagi mengurangkan risiko penyakit ini menular kepada bayi anda.

  • HbsAg - negatif
  • Anti-HBc - positif
  • Anti-Hbs - negatif

Di sini terdapatnya beberapa kemungkinan:

  • Mungkin anda sedang sembuh dari jangkitan HBV yang akut
  • Mungkin telah wujudnya daya ketahanan dalam badan anda dan ujian yang dijalankan itu tidak begitu sensitif untuk mengesan paras anti HBs yang terlalu rendah dalam serum.
  • Mungkin rentan (mudah dijangkiti) dengan anti HBs positif yang palsu.
  • Mungkin terdapatnya paras HbsAg yang tidak dapat dikesan di dalam serum dan seseorang itu sebenarnya merupakan seorang pembawa.

Terdapat beberapa ujian lain yang dapat membantu menentukan sama ada penyakit ini sangat mudah berjangkit ataupun tidak tetapi ianya bukanlah merupakan ujian yang rutin.

Saringan Penyakit Hepatitis B semasa mengandung

KENAPA?

Terdapat bukti yang baik mengatakan bahawa pengesanan awal HbsAg (antigen/virus) di kalangan ibu mengandung boleh mencegah jangkitan ini kepada bayi baru lahir. Vaksin Hepatitis B dan gabungannya dengan imunoglobulin hepatitis B (Hblg) didapati berkesan untuk mencegah kejadian jangkitan virus Hepatitis B (HVB) di kalangan bayi-bayi yang dilahirkan oleh ibu-ibu yang didapati HbsAg positif.

BILA?

Saringan akan dilakukan semasa ibu membuat lawatan kali pertama ke klinik ibu mengandung. Jika ujian itu didapati negatif, tetapi ibu merasa kurang sihat yang menandakan ia berkemungkinan dijangkiti vius Heptitis B (HBV) terutama bagi mereka yang berisiko tinggi, maka ujian perlu dilakukan sekali kali lagi semasa 3 bulan terakhir kehamilan.

Mengesan jangkitan virus Hepatitis B sama ada yang akut atau kronik dianggap penting untuk mencegah perebakan kuman virus kepada orang lain selain dari bayi. Individu-individu yang dikesan boleh diberikan nasihat tentang bagaimana hendak mencegah perebakan kuman virus kepada orang lain terutama kepada yang disayangi.

Kita tidak perlu merasa cemas apabila seseorang itu didapati positif ujian HBVnya. Ini kerana kebanyakan pesakit akan menjalani kehidupan yang sihat seperti biasa dengan bantuan dan nasihat yang baik. Ia mungkin melibatkan rawatan dan penjagaan kesihatan yang berpanjangan tetapi ianya berbaloi.

DI MANA?

Objektif utama saringan adalah untuk mengurangkan kemungkinan berlakunya perebakan kuman Hepatitis B (HBV) kepada bayi dan orang lain. Dengan ini, ia dapat mengurangkan kejadian atau prevalens jangkitan kuman virus Hepatitis B. Ia merupakan satu ujian yang mudah yang boleh didapati di semua kemudahan perubatan dan kesihatan sama ada milik kerajaan atau swasta. Ianya didapati lebih berkesan jika dilakukan sebelum seseorang itu bercadang untuk memulakan sebuah keluarga. Imunisasi ini sentiasa ada, selamat dan berkesan untuk diberi kepada mereka yang belum lagi membentuk ketahanan badan terhadap kuman.

1 comment: