Thursday 19 January 2012

Chlamydia


Pengenalan

Chlamydia adalah jangkitan bakteria yang kerapkali didapati di Malaysia. Ia dikategorikan sebagai penyakit kelamin yang berjangkit melalui hubungan seks. Jika tidak dirawati ia boleh menyebabkan penyakit radangan pelvis atau pelvis inflammatory disease (PID), kemandulan dan masalah ketika mengandung. Chlamydia sangat mudah merebak melalui hubungan seks dengan pasangan yang telah dijangkiti.

Chlamydia berlaku empat kali ganda lebih kerap daripada penyakit gonorrhea. Wanita mengandung boleh menjangkiti bayi mereka semasa bersalin, dan boleh menyebabkan infeksi pada mata atau paru-paru (pneumonia) bayi.

Tanda dan Gejala

80% wanita dan 10% dari lelaki tidak menunjukan gejala. Walau bagaimanapun bagi mereka yang mempunyai gejala-gejala itu boleh menjelma pada hari ke 7-14 selepas jangkitan.

Untuk Lelaki :

  • Keluaran cecair dari zakar (penis)
  • Pedih/perik dan gatal semasa buang air kecil.

Gejala yang dialami mungkin dikesan awal tetapi hilang begitu sahaja. Walau bagaimanapun ianya akan muncul semula. Advanced Chlamydia boleh menyebabkan radangan pada salur epididymis dan kemandulan.

Untuk Wanita:

  • Gatal atau keluar lendiran pada faraj.
  • Sakit di bahagian abdomen
  • Perdarahan diantara kitaran haid
  • Demam

Penyakit ini boleh menyebabkan radangan pangkal rahim, rahim dan penyakit radangan pelvis (pelvic inflammatory disease ) yang boleh menyebabkan kemandulan.

Untuk Bayi:

  • Demam
  • Radang paru-paru (Pneumonia)
  • Sakit mata

Biasanya ia akan menunjukkan gejala dalam masa satu minggu hingga satu bulan selepas jangkitan.

Komplikasi

Chlamydia boleh menyebabkan kemandulan kepada lelaki dan wanita

Rawatan

Wanita boleh diperiksa melalui pengambilan swab ke dalam pangkal rahim semasa pemeriksaan pelvis, sementara lelaki boleh diperiksa dengan swab ke dalam hujung salur air kencing untuk mengambil spesimen. Pemeriksaan air kencing boleh juga dilakukan untuk kedua-dua jantina. Penyakit boleh sembuh dengan pemberian antibiotik selama seminggu.

Rawatan awal digalakkan. Ia boleh mengelak daripada masalah seperti penyakit radang pelvis (pelvic inflammatory disease) di samping kemandulan dan masalah mengandung. Rawatan mesti diberi sepenuhnya sehingga gejala Chlamydia hilang. Pesakit tidak digalakkan mengambil arak, susu dan lain-lain produk tenusu.
Dalam kes-kes Chlamydia melalui perhubungan seksual, kedua-dua pasangan perlu dirawat bersama. Aktiviti seks perlu dielakkan sehingga rawatan selesai. Rawatan susulan juga penting, kerana doktor perlu memastikan jangkitan penyakit sembuh sepenuhnya.

Pencegahan

Cara pencegahan Chlamydia yang terbaik adalah dengan memperbaiki tahap kebersihan diri dan amalan gaya hidup sihat. Seorang yang aktif dalam hubungan seks perlu menggunakan kondom atau diaphragms semasa perhubungan seks. Ini dapat mengurangkan jangkitan Chlamydia. Walau bagaimanapun mengelak dari melakukan hubungan seks adalah dicadangkan kepada yang dijangkiti dan diberi rawatan antibiotik.
Risiko untuk Chlamydia (atau lain-lain jangkitan penyakit seksual), akan meningkatkan dengan bertambahnya bilangan pasangan seksual.

Semakan akhir : 22 April 2008

No comments:

Post a Comment