Pengenalan
                      Menangis  berterusan adalah masalah bayi yang  biasa kepada ibubapa atau penjaga bayi baru  lahir atau bayi berusia  kurang dari satu tahun. Menangis adalah satu cara bayi  berhubung untuk  menunjukkan mereka mempunyai masalah atau tidak selesa.
Tanda dan Gejala
                    Bayi  biasanya akan menangis apabila :
- Lapar dan dahaga.
 - Mengantuk atau letih.
 - Kesejukan atau basah.
 - Minta didukung.
 - Perlu ditukarkan lampin.
 - Dalam kesakitan atau tidak selesa.
 
Menangis berterusan boleh ditafsirkan sebagai :
- Menangis berterusan pada jangka masa yang lama.
 - Menangis meskipun semua keperluan dipenuhi
 - Menangis dengan nada yang berbeza dari tangisan biasa
 - Menangis disertai dengan pergerakan luar biasa seperti bayi menangis sambil mengangkat kedua-dua kaki ke atas.
 
Keadaan tertentu yang boleh menyebabkan bayi menangis berterusan:
- Perut memulas.
 - Penyakit.
 
Rawatan
                    Beri  perhatian dengan segera apabila bayi anda  menangis. Pengalaman dan masa  mengajar anda mengenali keperluan bayi  anda dan bertindaklah mengikut  keperluan.
- Bayi yang menangis akibat lewat diberi susu akan dapat diatasi dengan tidak melengahkan masa pemberian susu.
 - Bayi yang lampinnya basah akibat kencing atau berak hanya perlu ditukarkan lampin.
 - Bayi yang kesejukan akan selesa apabila dibalut dengan selimut atau pakaian yang dihangatkan terlebih dahulu.
 - Periksa seandainya ada keadaan yang boleh menyebabkan kesakitan, seperti pin lampin terbuka atau disengat serangga.
 - Memeluk rapat bayi anda dan menghayunkanya perlahan-lahan.
 - Urutan atau usapan lembut di belakang atau didada bayi.
 
Kadangkala bayi menangis berterusan meskipun segala usaha telah diambil untuk memujuknya. Anda mesti bertenang dan tidak tertekan kerana jika tidak perasaan bayi anda akan lebih terganggu. Jangan sesekali mengoncang bayi anda kerana ini boleh mengakibatkan kecederaan teruk kepada leher dan otak bayi anda. Sekiranya anda rasa tertekan / keletihan minta bantuan kawan atau ahli keluarga yang lain mengambil alih menjaga bayi anda sementara. Ambil masa anda untuk bertenang sebelum meneruskan penjagaan bayi anda.
Perut Memulas
                    Menangis  akibat perut memulas didefinisikan sebagai  tangisan berlebihan selama tiga jam  atau lebih (dalam sehari) dan  biasanya akan hilang dalam tempoh 3 bulan pertama  usia bayi. Sekiranya  bayi anda menangis sambil mengangkat kakinya ke atas dan  banyak  mengeluarkan angin ini menunjukkan bayi anda mengalami perut memulas.
                   
                    Cara menanganinya : 
- Pegang bayi anda duduk menegak semasa penyusuan dan sedawakan bayi selepas penyusuan. Dukung bayi anda berjalan-jalan dengan kedudukan bayi tegak di bahu anda atau goyang bayi anda dengan lembut boleh melegakannya.
 - Jika menangis berterusan, dapatkan rawatan segera.
 
Penyakit
                    
Sila ambil perhatian apabila bayi menangis berterusan ini adalah satu petanda penyakit yang teruk. Sekiranya bayi anda masih menangis berterusan meskipun semua cara di atas telah diambil untuk memujuk atau ada petanda selain disebutkan di atas, jangan ragu terus mendapatkan rawatan di hospital.
No comments:
Post a Comment