Thursday 19 January 2012

Anti Kemurungan

Anti Kemurungan

Pengenalan
Ubat antikemurungan (antidepresi) ialah ubat yang digunakan untuk melegakan tanda-tanda kemurungan. Ia juga mempunyai kesan penenang. Terdapat empat jenis ubat anti kemurungan iaitu:

  • Trisiklik (Tricyclic)
  • RIMAs (Reversible Inhibitors of Monoamine Oxidase type A)
  • SSRIs (Selective Serotonin Reuptake Inhibitors)
  • SNRIs (Serotonin and Noradrenaline Reuptake Inhibitors)

Bagaimana ia bertindak?

Kemungkinan besar ubat ini menambah aktiviti bahan kimia di dalam otak yang dikenali sebagai pemancar neuro. Pemancar neuro menghantar isyarat dari satu sel otak kepada sel otak yang lain. Bahan kimia yang terbabit dengan kemurungan dikenali sebagai Serotonin dan Noradrenalin.

Bagaimana anda mengambil ubat ini?

  • Ambil ubat setiap hari seperti yang diarahkan. Jangan ubah dos ubat sendiri.
  • Kesan terapeutik ubat hanya boleh dilihat selepas dua minggu, jadi menunggu adalah penting.
  • Kesan sampingan ubat akan berkurangan setelah beberapa lama diambil.
  • Rujuk kepada doktor anda sekiranya kesan sampingan tidak disenangi. Doktor mungkin mencadangkan ubat dari jenis yang lain.

Kesan Mudarat

Trisiklik

Kesan sampingan ubat trisiklik yang biasa adalah kering mulut, menggeletar, peningkatan degupan jantung, sembelit, mengantuk dan kenaikan berat badan. Di kalangan warga emas, ubat ini mungkin menyebabkan kekeliruan, kesukaran untuk membuang air kecil, rasa hendak pitam dan jatuh. Elak dari menggunakan trisiklik sekiranya anda mempunyai masalah jantung. Bagi kaum lelaki, mereka mungkin mengalami mati pucuk atau ejakulasi yang lambat.

RIMAS
Elakkan mengambil ubat RIMAs dengan makanan yang mengandungi Tyramine (contoh: keju, minuman beralkohol, cokelat, dadih, sos soya) kerana ia boleh menyebabkan tekanan darah tinggi. Jika anda mengambil ubat RIMA, doktor atau ahli farmasi akan memberikan anda senarai makanan yang perlu dielakkan.

SSRIs
Kesan sampingan pada perut adalah biasa dan ianya berkait rapat dengan dos ubat. Ini termasuklah rasa mual, muntah, perut tidak selesa (dyspepsia), sakit perut, cirit birit, sembelit, tiada selera makan dan kehilangan berat badan. Terdapat juga kesan sampingan lain yang berkaitan dengan ubat ini.
Sekiranya anda rasa kesan sampingan ini adalah disebabkan oleh SSRI yang anda ambil, sila sahkan dengan doktor atau ahli farmasi.

SNRIs
Kesan sampingan ubat ini adalah serupa dengan SSRIs.

Langkah Berjaga-jaga

  1. Memandu atau menggunakan jentera

Terdapat ubat antikemurungan yang menyebabkan kesan mengantuk dan melambatkan tindakbalas anda. Sila rujuk kepada doktor anda sekiranya pekerjaan anda melibatkan pengendalian mesin atau pemanduan.

  1. Gejala gian

Ubat antikemurungan selalunya tidak menyebabkan ketagihan tetapi sesetengah orang mungkin mengalami gejala gian apabila mereka berhenti menggunakan ubat SSRIs or SNRIs. Kesannya termasuklah perut tidak selesa, gejala selsema, keresahan, pening, mimpi ngeri pada waktu malam dan mengalami sensasi seperti terkena kejutan elektrik. Bagi mengurangkan kesan sampingan ubat ini, doktor akan menurunkan dos ubat secara berkala. Jangan berhenti mengambil ubat ini secara mendadak.

  1. Golongan remaja

Jika mendapat preskripsi doktor, Ubat SSRIs boleh diambil oleh golongan yang berumur di bawah 18 tahun, tetapi dengan lebih berhati-hati.

  1. Kehamilan

Elakkan daripada menggunakan sebarang jenis ubat antikemurungan sewaktu hamil, terutamanya dalam tempoh 3 bulan pertama kehamilan kerana ia menyebabkan risiko kecacatan pada bayi yang bakal dilahirkan. Pada kebiasaannya rawatan alternatif akan dipertimbangkan kecuali dalam keadaan kemurungan yang teruk dan boleh mengancam nyawa ibu atau anak, penggunaan ubat anti kemurungan tidak dapat dielakkan.

Kaedah Penyimpanan
Simpan ubat anda di dalam bekas asal dan ditutup ketat. Simpan pada suhu bilik dan jauhkan daripada kanak-kanak, keadaan panas dan kelembapan yang melampau.

Semakan Akhir: 05 Jun 2008

No comments:

Post a Comment