Thursday 12 January 2012

Tip bersih kediaman elak anak alami alahan

Tip bersih kediaman elak si kecil alami alahan

ALAHAN adalah masalah kesihatan lazim yang dihadapi semua golongan tanpa mengira usia. Namun, tidak semua orang terdedah atau berisiko mengalami alahan. Pemerhatian menunjukkan, jika ibu bapa mengalami alahan, anak-anak lebih berisiko tinggi untuk menghadapi situasi sama.
Perunding Pediatrik DEMC Specialist Hospital, Shah Alam, Dr Iftikhar Ahmad Mohamed Akup berkata, allergic rhinitis atau alahan adalah radang yang biasanya berlaku di sekitar hidung akibat terdedah kepada faktor alergen terutama alam sekitar seperti debunga, hama, debu, habuk, kulapuk dan haiwan.
Dalam hal ini, adalah mustahil untuk mengelak anak-anak dari terdedah kepada faktor alergen. Ini kerana penyumbang ini ada di mana-mana. Namun, pelbagai cara boleh dilakukan bagi menyediakan persekitaran baik dan sihat bagi mengelak berlakunya masalah alahan. Langkah pertama ialah dengan mengenalpasti faktor alergen itu terlebih dulu.

Ini disusuli langkah membasmi atau mengurangkan risiko terdedah kepada faktor alergen bermula dari rumah.

Ibu bapa boleh mula melakukannya dengan memperbaiki kualiti udara dalam rumah. Antara langkah yang boleh diambil ialah menjadikan rumah sebagai zon larangan merokok; mengelak pembakaran kayu api dan jangan gunakan penyegar udara, sabun atau penyembur serangga berbau wangi. Selain itu, anda digalakkan untuk memasang penghawa dingin dan menukar penapisnya secara berkala.

Jika langkah itu tidak mencukupi, anda boleh memasang penapis udara di bilik anak-anak atau bilik permainan mereka.
Perlu diingatkan, habuk dan hama adalah satu lagi faktor lazim yang menyebabkan alahan di rumah. Hama adalah pepijat bersaiz mikroskopik yang hidup dengan memakan sel kulit mati manusia dalam habuk di serata kediaman. Ini terutamanya pada perabot, cadar, tilam dan karpet. Hama lazimnya banyak ditemui di bilik tidur.

Bagi mengurangkan hama, bersihkan rumah terutama bilik anak anda secara kerap dengan vakum seminggu sekali. Kesat habuk dengan kain lembap supaya ia tidak melayang. Elak bantal kekabu atau bulu, sebaliknya pilih batal diperbuat daripada sintetik.

Selain itu, cuci cadar anak-anak seminggu sekali dengan air panas. Alihkan karpet dan tanggalkan dari dinding bilik anak anda dan ruang permainan mereka. Pastikan hamparan di rumah mudah dibasuh dan dibersihkan dengan air panas.

Anda juga dinasihat menyimpan koleksi buku anak-anak di bilik lain. Ini kerana ia boleh menjadi perangkap habuk. Permainan anak-anak yang boleh memerangkap habuk dan hama perlu disimpan dalam beg plastik berasingan. Bagi permainan kegemaran, basuhlah ia sekerap mungkin.

Selain itu, kulapuk dan kulat pula boleh membiak di permukaan lembap seperti bilik mandi dan bilik bawah tanah. Seperti debunga, kulapuk membiak dengan melepaskan debunga di udara. Dalam hal ini, kanak-kanak yang sensitif dengan debunga kulapuk, boleh mendapat alahan termasuk lelah.

Sehubungan itu, pastikan bilik air mempunyai peredaran udara yang baik dengan kebocoran dan kerosakan diperbaiki segera. Selain itu, tanggalkan kertas dinding dan karpet dinding di bilik air dan bilik bawah tanah; elak pokok hiasan; ganti atau cuci langsir pancuran; tukar marmar yang sudah berkulat di siling dan periksa paip bocor yang menyebabkan kehadiran kulat.

Seperkara lagi, haiwan juga boleh menjadi punca alahan. Kajian menunjukkan kira-kira 30 peratus daripada mereka yang menghidap lelah, alah kepada haiwan. Ini kerana tubuh memberi tindak balas protein tertentu terhadap air liur, air kencing atau sel mati haiwan terbabit.

Bulu haiwan bagaimanapun tidak menyebabkan alahan, tetapi ia memerangkap hama, debunga dan kulapuk. Haiwan yang dikurung seperti burung akan menghasilkan najis yang menarik kulapuk dan habuk.

Jika anda memiliki haiwan peliharaan di rumah dan anak-anda alah kepadanya, saranan terbaik ialah mendapatkan kediaman baru untuk haiwan terbabit.

INFO: Lima langkah mudah kurangkan risiko alahan
  • Alas semua tilam anak anda dengan cadar bersih
  • Simpan semua permaidani
  • Kurangkan habuk
  • Hapuskan serangan haiwan perosak
  • Jadikan kediaman zon bebas merokok.

  • No comments:

    Post a Comment