Thursday 12 January 2012

Setiap usia berisiko kena kanser payudara

Oleh HIDAYATUL AKMAL AHMAD

WANITA sememangnya sinonim dengan kecantikan dan berketrampilan menarik. Jika tiada solekan di muka, baju baru atau aksesori menarik, pasti tidak lengkap diari kehidupan kaum Hawa ini.

Sampaikan mereka lupa ada ‘barang’ lebih penting yang memerlukan perhatian untuk dijaga. Apa guna cantik di luar jika dalaman mereka sakit dan tidak dipeduli.

Sehingga kini, kanser payudara masih menduduki carta teratas sebagai pembunuh nombor satu wanita. Sungguhpun banyak pendedahan diberikan menerusi media massa, lazimnya masih ramai wanita tidak mempedulikannya.

Walaupun pelbagai usaha dilakukan seperti promosi dan memperkenalkan agensi yang membantu merawat penyakit berkenaan, ramai yang masih kurang kesedaran untuk menjalankan pemeriksaan awal.



Menyokong usaha ke arah meningkatkan kesedaran awam terhadap pengesanan awal kanser payudara, Pusat Perubatan Prince Court menganjurkan bengkel ‘Mencegah Kanser Payudara’ bersama media di pusat perubatan itu, baru-baru ini.


Ia dihadiri tiga ahli panel berpengalaman, iaitu Perunding Radiologi, Dr Sumithra Ranganathan; Pakar Perunding Onkologi Klinikal, Dr Muhammad Azrif Ahmad Annuar dan Pakar Bedah Payudara, Dr Harjit Kaur.

Dr Sumithra berkata, setiap tahun kes kanser payudara meningkat, sekali gus menunjukkan ramai kurang peka terhadap penyakit berbahaya itu.

Katanya, kini bukan hanya lingkungan usia 40-an dan ke atas yang diserang penyakit itu tetapi, dengan kehidupan dan gaya hidup zaman sekarang, semua wanita tanpa mengira usia turut berisiko.

“Kanser payudara boleh menyerang semua wanita tanpa mengira kaum. Walaupun ada yang tidak terfikir akan menghidap penyakit berkenaan, sekurang-kurangnya program kesedaran itu dapat menggalakkan wanita membuat pemeriksaan, seperti kata pepatah ‘mencegah lebih baik daripada merawat’.

“Ramai wanita kurang mengambil berat, terutama golongan muda, disebabkan mereka rasa selamat kerana beranggapan hanya yang berusia mendapat penyakit ini,” katanya.

Beliau berkata, ramai wanita boleh mencegah penyakit ini dengan melakukan ujian saringan awal yang dapat mengenal pasti tahap serta apa perlu dilakukan jika diserang kanser payudara.

“Banyak kaedah disediakan kini untuk menjalani ujian saringan, misalnya mamogram, ultra bunyi, biopsi dan pemeriksaan fizikal. Dengan kaedah ini juga, tiada alasan mereka tidak dapat menjalankan ujian saringan awal,” katanya.

Dr Muhammad Azrif pula berkata, risiko serangan kanser payudara meningkat bagi mereka yang mempunyai sejarah keluarga selain faktor usia dan melahirkan anak pada usia lewat.

“Faktor di atas banyak mempengaruhi serangan penyakit kanser ini. Jangan hanya mementingkan aspek luaran tapi lupa menjaga yang lebih penting yang turut memerlukan perhatian.

“Lakukan pemeriksaan terhadap payudara anda kerana ia boleh dicegah. Jika berasa ada benjolan, sama ada kecil atau besar, segera berjumpa doktor bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.


Soalan biasa mengenai kanser payudara

  • Apakah kanser payudara?

    Kanser payudara adalah kanser paling tinggi kejadiannya dan penyebab utama kematian di kalangan wanita di Malaysia. Ia berpunca daripada sel dalam tisu payudara yang berkembang dalam keadaan tidak terkawal. Jika tidak dikesan dan dirawat secepat mungkin, kanser payudara boleh merebak ke kelenjar limfa dan bahagian badan lain seperti tulang, paru-paru dan hati.


  • Apa yang menyebabkan kanser payudara?

    Penyebab sebenar kanser payudara tidak diketahui. Setiap wanita berusia 20 tahun ke atas berisiko untuk menghidap kanser payudara.


    Faktor berikut mungkin menambahkan risiko wanita menghidap kanser payudara:

  • Usia meningkat

  • Mempunyai ahli keluarga yang menghidap kanser payudara

  • Sudah mendapat kanser pada sebelah payudara

  • Mula datang haid awal (sebelum umur 12 tahun) atau putus haid lewat (selepas umur 50 tahun)

  • Tidak pernah melahirkan anak atau melahirkan anak pertama pada umur melebihi 30 tahun

  • Mengambil jenis makanan yang mengandungi banyak lemak haiwan


    Apa yang anda boleh lakukan untuk mencegah kanser payudara? Kanser payudara boleh dicegah jika dikesan dan dirawat awal. Kanser payudara adalah kanser paling mudah dikesan.

    Pengesanan boleh dilakukan dengan pemeriksaan payudara. Semua wanita berusia 20 tahun dan lebih perlu melakukan Pemeriksaan Sendiri Payudara (PSP) setiap bulan sepanjang hayat mereka.

    Bagi wanita yang melebihi 30 tahun, mereka perlu juga mendapatkan pemeriksaan payudara oleh doktor atau kakitangan perubatan lain setiap tahun.

    Pemeriksaan payudara secara tetap akan membolehkan seseorang wanita mengesan kanser payudara pada peringkat awal di mana rawatan adalah lebih berkesan.
  • No comments:

    Post a Comment