Friday 20 January 2012

Saringan untuk Darah Tinggi (Hipertensi)


Apakah penyakit Darah Tinggi atau Hipertensi?

Darah Tinggi atau Hipertensi adalah satu keadaan apabila tekanan darah anda sentiasa tinggi dari keadaan biasa.

Bagaimana saya boleh mengetahui saya mengalami darah tinggi?

Periksa tekanan darah anda dengan menggunakan alat "BP set" atau sfigmomanometer.

http://www.myhealth.gov.my/myhealth/bm/$public/story_images/adult/BloodPressure.gif
Apakah tekanan darah?

Tekanan darah sistolik adalah tekanan semasa jantung menguncup. Tekanan darah diastolik pula adalah tekanan semasa jantung relaks.
Tekanan darah ditulis dengan dua bacaan:

  • Bacaan atas menunjukkan tekanan sistolik.
  • Bacaan bawah menunjukkan tekanan diastolik.

Sekiranya tekanan darah ditulis sebagai 120/80 mmHg, ini menunjukkan tekanan sistolik anda 120 mmHg dan tekanan diastolik anda 80 mmHg. MmHg ialah bacaan millimeter Raksa/Merkuri.

Mengapa perlu mengukur tekanan darah secara berkala?

Ia adalah mustahak untuk menentukan sama ada anda mengalami darah tinggi atau tidak. 90% daripada orang yang mengalami darah tinggi tidak mempunyai gejala; hanya 10% sahaja yang menunjukkan gejala.
Mengawal tekanan darah boleh mencegah kematian disebabkan serangan jantung, strok (angin ahmar), kerosakan ginjal (buah pinggang) dan kebutaan. Serangan jantung dan strok (angin ahmar) adalah antara penyebab utama kematian di Malaysia.

Adakah saya mengalami darah tinggi?

Tekanan darah normal ialah apabila tekanan darah sistolik di antara 120 dan 139 mmHg dan tekanan diastolik 80 ke 89 mmHg.
Jika satu atau dua bacaan tersebut adalah sentiasa melebihi nilai tersebut, anda mungkin mengalami darah tinggi atau hipertensi.

Bilakah saya perlu memeriksa tekanan darah?

Anda digalakkan untuk memeriksa tekanan darah sekurang-kurangnya sekali dalam setahun atau setiap kali anda pergi ke klinik kesihatan.

Dimanakah saya boleh memeriksa tekanan darah?

Anda boleh memeriksa tekanan darah di mana-mana klinik atau hospital kerajaan dan swasta.

Apakah harus saya buat sekiranya tekanan darah saya tinggi?
Sila rujuk doktor anda atau pergi ke klinik kesihatan berhampiran. Doktor akan memeriksa tekanan darah anda beberapa kali sebelum mengesahkan anda mengalami penyakit darah tinggi atau hipertensi.

Bagaimana cara untuk mengekalkan tekanan darah yang normal?

Amalkan cara hidup sihat:

  • Kurangkan berat badan, jika berat badan anda berlebihan.
  • Makan secara sihat - kurangkan garam dalam makanan.
  • Sentiasa aktif - mulakan senaman secara tetap.
  • Tidak merokok - berhenti jika anda merokok.
  • Belajar menangani tekanan.

Maklumat lanjut
Clinical Practice Guidelines on the Management of Hypertension, Malaysia, 2002.

Kumpulan sokongan
Malaysian Society of Hypertension

Semakan Akhir : 28 April 2008

No comments:

Post a Comment