Thursday 19 January 2012

Risiko ambil pil perancang

Kawal kehamilan guna hormon tingkat tekanan darah

Soalan:
SAYA berusia 35 tahun dan mempunyai empat anak. Saya bercadang mengambil pil perancang kerana bilangan anak sudah cukup tetapi masih menyusukan anak berusia setahun dan mengalami tekanan darah tinggi. Bacaannya sekitar 150/80. Setiap kali mengandung sejak anak pertama hingga keempat, saya memang ada darah tinggi tetapi terkawal, bersalin normal dan darah tinggi akan hilang.

Tetapi selepas anak keempat, tekanan darah tinggi tak hilang. Saya ingin bertanya, pil perancang apakah yang sesuai dengan keadaan saya sekarang dan perlukah saya mengambil ubat darah tinggi dan apakah yang sesuai untuk saya? Saya juga tidak datang haid seperti biasa selagi saya menyusukan anak seperti anak ketiga dulu, dua tahun saya tidak datang haid.. adakah ia normal? LISA
Jawapan

Puan Lisa, pada pendapat saya, cara merancang yang paling baik bagi puan ialah merancang tanpa menggunakan sebarang hormon kerana hormon yang diambil boleh meningkat tekanan darah puan. Maknanya seseorang yang mempunyai tekanan darah tinggi tidak digalakkan mengambil hormon tidak kira untuk merancang keluarga atau selepas menopaus.

Ini bukan bermakna puan tidak boleh langsung mengambil pil perancang tetapi kalau ada alternatif lain yang tidak menggunakan hormon adalah digalakkan. Ada beberapa cara yang tidak menggunakan hormon iaitu alat dalam rahim/IUCD, mengikat saluran peranakan dan kondom.

Di antara tiga ini saya syorkan puan ikat saluran peranakan kerana puan adalah pesakit darah tinggi dan sudah mempunyai empat orang anak.

Saya rasa mungkin puan dan suami rasa ia mencukupi. Kaedah ini kekal buat selamanya. Pilihan lain adalah menggunakan alat dalam rahim. Ia boleh digunakan selama tiga tahun sebelum diganti baru. Ini bermakna puan memerlukan 4 hingga 5 gantian sebelum puan disahkan tidak boleh mengandung lagi. Kaedah ini bersifat sementara dan boleh dibuang bila-bila masa jika seseorang itu ingin mengandung lagi.

Saya tidak menggalakkan puan untuk mengandung lagi kerana masalah tekanan darah tinggi puan. Masalah darah darah tinggi semasa mengandung boleh membahayakan nyawa ibu dan juga bayi yang dikandung. Darah tinggi yang serius boleh membawa kematian. Sekiranya puan terpaksa mengambil hormon sebagai kaedah mengelakkan kehamilan, maka puan perlu mengambil ubat darah tinggi sekali.

Cara ini dapat mengurangkan tekanan darah. Saya nasihatkan puan berjumpa dengan doktor untuk rawatan darah tinggi puan dan disamping itu berbincang mengenai kaedah mencegah kehamilan. Terdapat pelbagai ubat darah tinggi dan doktor perlu dapatkan ubat yang tidak memberi masalah kepada bayi puan yang sedang menyusu.

Darah haid akan terhenti jika puan memberi susu badan sepenuhnya. Ini bergantung berapa kerap dan lama bayi puan menyusu. Sekiranya puan memberi bayi puan susu botol atau makanan, haid akan cepat datang kerana bayi puan akan kurang menyusu.

Kesannya sekiranya haid tidak datang dalam jangka masa yang lama puan akan mengalami osteoporosis. Ini adalah sementara dan selepas haid datang semula, osteoporosis akan pulih. Selain itu kulit akan selalu kekeringan terutama bila bersama suami.

No comments:

Post a Comment