Friday 20 January 2012

Rekahan Bibir dan Lelangit

Rekahan Bibir dan Lelangit

Pengenalan
Rekahan bibir dan lelangit merupakan kecacatan semasa lahir di mana tisu bahagian mulut dan bibir tidak terbentuk dengan sempurna semasa pembentukan fetus. Punca kecacatan masih tidak diketahui. Walau bagaimanapun, kecacatan ini boleh dirawat. Di Malaysia, rekahan bibir dan lelangit berlaku dalam 1 untuk 600 kelahiran.

Punca Kejadian
Para doktor tidak mengetahui punca sebenar rekahan bibir dan lelangit terjadi tetapi mereka percaya ianya adalah suatu kombinasi genetik (diwarisi) dengan faktor persekitaran (seperti pengambilan dadah, penyakit, dan penggunaan alkohol atau tembakau semasa kehamilan).

Komplikasi
Kanak-kanak yang mempunyai rekahan di bahagian mulut lebih mudah dijangkiti selesema, hilang deria pendengaran dan mempunyai masalah pertuturan. Masalah pergigian seperti kehilangan gigi, gigi berlebihan, bentuk gigi yang tidak sempurna, gigi tidak teratur dan karies gigi, sering berlaku di kalangan kanak-kanak yang mempunyai rekahan lelangit. Kecacatan ini juga sering melibatkan tulang alveolar. Tulang alveolar ialah bahagian tulang dalam mulut di mana pertumbuhan gigi berlaku. Kecacatan atau rekahan pada tulang alveolar menyebabkan gigi tumbuh tidak sempurna, tidak teratur, tersesar atau berputar. Kesukaran untuk menyusu boleh mengakibatkan penyusutan berat badan dan menghalang pembedahan awal membaik pulih.

Bagaimana Cara Anda Memberi Makan?
Penyusuan badan adalah baik dan amat digalakkan (Shaw at el,1999) tetapi terdapat banyak kes di mana ianya tidak berjaya. Oleh itu, penyusuan botol (diisi susu badan) merupakan cara yang terbaik.Doktor anda akan mencadangkan beberapa cara jika anda mempunyai masalah untuk memberi anak makan.

Cara yang berkesan ialah:

  1. Menggunakan botol yang boleh mampat dan mempunyai muncung yang panjang.
  2. Bayi diletakkan pada kedudukan tegak semasa makan untuk mengelak makanan keluar melalui hidung.
  3. Bayi yang mempunyai 2 rekahan penuh (bilateral complete clefts) dicadangkan guna pinggan khas.

Penjagaan Kesihatan Pergigian

Penjagaan pergigian perlu dimulakan dari awal kelahiran. Doktor pergigian akan menerangkan cara memberi makan dan menjaga kesihatan mulut anak. Kanak-kanak istimewa ini biasanya memerlukan penjagaan pergigian yang sama seperti kanak-kanak biasa. Lawatan awal ke klinik pergigian amat digalakkan, bermula dari umur 6 bulan.

Rawatan
Kanak-kanak yang mempunyai rekahan bibir atau lelangit biasanya memerlukan rawatan khusus oleh pasukan pelbagai disiplin termasuk pakar bedah plastik, pakar ortodontik, pakar pergigian pediatrik, ahli terapi pertuturan, pakar bedah mulut, pakar ENT, dan lain-lain.

Pengurusan bermula dari lahir dengan kaunseling diberikan kepada ibu bapa untuk meyakinkan mereka, menerangkan tentang keadaan yang sebenar dan memberikan nasihat tentang pemakanan yang praktikal. Selepas kanak-kanak itu boleh makan dengan baik dan beratnya bertambah, dia boleh menjalani pembedahan yang pertama.

Bibir akan dibaiki terlebih dahulu beberapa minggu atau beberapa bulan selepas kelahiran, diikuti dengan penutupan lelangit. Di Malaysia, kebanyakan rawatan dilakukan oleh Pakar Bedah Plastik.
Batas alveolus boleh dibaiki dengan meletakkan graft tulang ke dalam alveolus. Ia membolehkan gigi disusun secara ortodontik. Rawatan ini biasanya bermula pada kegigian campuran, iaitu pada usia 8 atau 9 tahun, dengan mengembangkan rahang atas untuk persediaan meletakkan graft tulang ke dalam batas alveolus bila berusia 10 tahun.

Apabila gigi kekal telah tumbuh, rawatan ortodontik yang seterusnya akan menggunakan aplians tetap. Lebih kurang 25% daripada kanak-kanak dengan rekahan lelangit sebelah, mengalami pertumbuhan rahang atas yang tidak sama dengan pertumbuhan rahang bawah. Jika ini berlaku, kanak-kanak tersebut mungkin memerlukan pembedahan orthognathic untuk menyusun gigi dan membolehkan rahang atas berkembang.

Untuk kanak-kanak ini, fasa kedua rawatan ortodontik mungkin melibatkan pembedahan yang dipanggil osteotomy yang menggerakan rahang atas ke depan dan ke bawah. Akhir sekali, kanak-kanak istimewa ini perlukan rawatan pemulihan untuk mengganti gigi yang hilang atau kecacatan lain, serta mengawal pergerakan gigi yang telah menjalani rawatan ortodontik.

Bagaimana Untuk Meningkatkan Hasil Rawatan?
Kejayaan sesuatu rawatan bergantung kepada penjagaan pergigian yang sihat sepanjang hayat. Kehilangan gigi akan menyebabkan rawatan seterusnya menjadi lebih sukar. Kanak-kanak ini mempunyai risiko tinggi kepada penyakit pergigian tetapi ia boleh dicegah dengan penjagaan mulut yang baik.
Mereka perlu dibawa berjumpa doktor pergigian setiap enam bulan untuk rawatan pencegahan, nasihat pemakanan, serta rawatan pemulihan.

Rawatan Susulan
Bawa anak anda untuk pemeriksaan pergigian secara berkala di klinik-klinik Pakar Pergigian Pediatrik di Malaysia bagi memastikan anak anda mendapat rawatan yang disediakan oleh pihak hospital.

Kumpulan Sokongan Berkaitan
CLAPPA

No comments:

Post a Comment