Penyakit Kaki, Tangan dan  Mulut (HFMD)
           
                        Penyakit   Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) adalah penyakit jangkitan kanak-kanak  bawah 10  tahun di mana lepuhan berisi air muncul di tangan, kaki dan  dalam mulut. Tekak  dan tonsil membentuk ulser kecil manakala tangan,  kaki dan kawasan diaper  (lampin) dijangkiti ruam dengan ciri-ciri  vesikel (lepuhan kecil). Biasanya  penyakit ini sederhana dan ruam  sembuh dalam masa 5-7 hari.
                       
                          HFMD disebabkan oleh virus (kumpulan  enterovirus). HFMD merebak dari individu  ke individu dengan kontak  secara langsung melalui lelehan hingus, air liur,  najis dan cecair ruam  dari mereka yang dijangkiti.Sama ada orang dewasa mahupun  kanak-kanak  boleh dijangkiti, tetapi kanak-kanak di bawah 5 tahun adalah paling   mudah dijangkitinya.
                         
                          HFMD selalunya terjadi dalam kelompok  kanak-kanak yang ditempatkan bersama. Ia  merebak melalui tangan yang  tidak dicuci bersih selepas melakukan penukaran  lampin atau tersentuh  air liur (drool) yang mana membolehkan virus berpindah  daripada satu  kanak-kanak ke kanak-kanak lain.
                        
Tanda dan Gejala 
                    
Ciri-ciri klinikal termasuk:
- Demam
 - Sakit Tekak
 - Ulser pada tekak, mulut dan lidah
 - Ruam dengan vesikel (lepuhan kecil 3 - 7 mm) pada tangan, kaki dan kawasan diaper (lampin). Vesikel lazimnya pada tapak tangan dan tumit kaki dan ia antara ciri-ciri kemunculannya
 - Sakit kepala
 - Hilang selera makan
 
Komplikasi
- Biasanya tidak serius tetapi sebilangan kecil kes didapati merbahaya bila melibatkan sistem saraf dan jantung
 
Rawatan 
                    
Diagnosis  dibuat oleh  kebanyakan pengamal perubatan berdasarkan ciri-ciri unik munculnya   lepuhan pada mulut, tangan dan kaki bagi kanak-kanak yang kelihatan  sihat.  Tiada rawatan khusus bagi jangkitan selain dari rawatan  mengurangkan  gejala-gejala. Rawatan menggunakan antibiotik tidak  berkesan dan tidak  diperlukan. Acetaminophen boleh digunakan bagi  merawat demam.
                       
                    Aspirin tidak seharusnya digunakan pada kanak-kanak  bawah 12 tahun semasa demam  disebabkan virus. Air garam bagi membilas  mulut (1/2 sudu garam bagi 1 gelas  air suam) boleh melegakan  kanak-kanak sekiranya mereka berupaya membilas mulut  tanpa menelannya  kerana tertelan air garam boleh menyakitkan.
                   
                    Nasihat kepada Ibu Bapa / Penjaga
                   
                    Ibu bapa / penjaga adalah diminta mendapatkan  nasihat daripada doktor  secepatnya jika anak mereka mendapat  tanda-tanda HFMD. Mereka seharusnya peka  kepada sebarang perubahan  tingkahlaku anak-anak mereka seperti kerengsaan dan  mengantuk. Jika  mereka tidak mahu minum atau makan, muntah berterusan, atau  mengantuk,  ibu bapa / penjaga hendaklah segera membawa anak mereka ke hospital.   Elakkan menghantar anak yang mempunyai gejala seperti di atas ke  sekolah, pra  sekolah atau nurseri. Sapu dan bersihkan hidung serta  mulut anak dengan tisu  dan buang tisu yang telah digunakan dengan  sempurna.
                   
                Pencegahan 
                    
Pencegahan melibatkan penjagaan kebersihan yang sepenuhnya. Ahli keluarga dinasihatkan supaya dapat mematuhi amalan kebersihan yang sempurna termasuk kerap mencuci tangan supaya dapat mengawal rebakan jangkitan.
- Amalkan mencuci tangan secara konsisten menggunakan air bersih dan sabun sebelum menyediakan makanan, selepas keluar tandas, selepas menukar lampin dan mencuci najis.
 - Menutup mulut dan hidung bila batuk dan bersin.
 - Tidak menggalakkan berkongsi pakaian, tuala, perkakas makanan dan minuman serta mainan.
 - Ibu bapa / penjaga hendaklah memastikan diri mereka bersih terlebih dahulu sebelum menguruskan anak atau bayi mereka.
 - Bersihkan mainan, kerusi dan meja yang tercemar dengan air liur anak.
 - Anak-anak hendaklah dijauhkan daripada tempat awam yang sesak (seperti sekolah, pra sekolah, tempat mainan, pasar dan pengangkutan awam) sekiranya mereka mempunyai tanda-tanda jangkitan.
 
                    Semakan  Akhir : 22 April 2008
No comments:
Post a Comment