Friday 13 January 2012

Pening selepas buang rahim

Pening selepas buang rahim
(S)Pening selepas buang rahim
UNTUK pengetahuan doktor, setahun lalu saya ada menjalani pembedahan membuang ketumbuhan rahim. Berikutan itu, seluruh sistem peranakan daripada ovari sehinggalah rahim saya terpaksa dibuang. Namun, baru-baru ini, saya terjatuh secara tiba-tiba selepas berasa pening, hilang deria rasa dan keseimbangan di bahagian kaki.

Akibatnya, urat saya bengkak. Ini menyebabkan saya kesakitan dan mengalami masalah seperti pitam, waktu tidur pun berasa seperti di awangan. Selain itu, ada cecair dari faraj yang diiringi sakit perut.

Malah, masalah itu saya alami beberapa hari lamanya. Kesihatan saya benar-benar terganggu selepas terjatuh. Persoalannya, adakah kesemua masalah ini akibat jatuh dan apakah ia berkaitan pembuangan rahim dan ovari? Adakah ia merbahaya kepada saya kerana jatuh dua kali selepas menjalani pembuangan rahim itu?

Lyna, KL
JAWAPAN
Jawapan kepada permasalahan dan soalan puan boleh dilihat daripada dua sudut. Pertama, dari sudut ginekologi iaitu selepas seseorang itu membuat pembedahan membuang kedua-dua ovari dan rahimnya, maka mereka akan mengalami menopaus.

Ada orang akan mengalami gejala-gejala menopaus sebaik saja pembedahan dilakukan. Ini biasa dalam masa sebulan selepas pembedahan. Ada juga yang mengalami gejala menopaus lambat seperti setahun selepas pembedahan.

Gejala-gejala menopaus pula tidak khusus. Maksudnya gejala seperti cepat keletihan, tidak bertenaga dan lesu, cepat marah bukan eksklusif atau khusus sebagai gejala menopaus saja. Perasaan tidak sihat seperti saya sebutkan tadi semakin ketara setiap bulan. Cepat berasa pitam, pening mungkin antara beberapa gejala yang boleh berlaku.

Apabila puan berasa seperti terawang-awang dan dunia mula berpusing sebab itulah puan terjatuh. Sekiranya gejala-gejala ini disebabkan oleh menopaus maka pengambilan hormon gantian dapat membantu puan.

Keduanya, dari sudut perubatan pula ada beberapa sebab mengapa puan mudah pening dan pitam. Organ yang penting dalam menjamin kestabilan kita bila berjalan, bangun dan lain-lain adalah di dalam telinga. Ini bermakna jika puan mengalami masalah telinga contohnya bernanah, maka ada orang akan mengalami ketidakstabilan apabila berjalan. Justeru, puan perlu berjumpa doktor telinga untuk pemeriksaan.

Ada ramai warga emas mengalami masalah selalu pening dan pitam dan kadangkala tumbang. Apabila pemeriksaan termasuk ujian darah tinggi atau imbasan otak dilakukan, kami dapati mereka ini tidak menghidapi apa-apa masalah perubatan. Ini mungkin berpunca dari kurangnya aliran darah ke otak.

Selain itu, beberapa ujian lain seperti kencing manis perlu dilakukan kerana hipoglisemia iaitu kekurangan gula juga boleh menyebabkan pitam. Di sini saya cadangkan puan berjumpa doktor untuk pemeriksaan dan penyiasatan darah serta juga imbasan ultrasound dan imbasan otak.

Jika tidak ada apa-apa masalah, saya rasa ubat untuk membantu melancarkan perjalanan darah ke otak boleh digunakan. Ambil kesempatan untuk melakukan saringan kesihatan sepenuhnya pada waktu termasuklah pap smear, mammografi dan jantung.BH

No comments:

Post a Comment