Thursday, 19 January 2012

Menghadapi kematian dan berkabung

Pengenalan
Setiap individu mungkin pernah menghadapi situasi kehilangan orang yang disayangi. Malah ia mungkin boleh dikategorikan sebagai pengalaman paling buruk dalam sejarah hidup seseorang itu. Kematian orang yang tersayang boleh menimbulkan pelbagai keadaan dan perasaan yang bercampur-baur. Reaksi kepada situasi ini dikenali sebagai berkabung.

Berkabung merupakan satu reaksi yang sihat dan semula jadi di dalam menghadapi kematian orang yang kita sayang. Setiap individu melalui saat berkabung dengan cara yang berbeza. Reaksi dalam proses berkabung dipengaruhi oleh:

  • Cara kematian itu terjadi-sama ada ianya secara mengejut atau selepas sakit yang berpanjangan.
  • Serapat mana perhubungan antara individu dengan si mati
  • Personaliti individu dan kemahiran menangani masalah/ situasi
  • Pengalaman hidup individu yang melalui saat kehilangan
  • Jalinan sokongan ahli keluarga dan orang sekeliling

Tanda-tanda dan gejala

Terdapat tiga fasa yang lazim dilalui semasa proses berkabung:

  • Kejutan-boleh berterusan dalam beberapa minit atau hari
    • Dalam fasa ini, individu biasanya berada di dalam keadaan seperti tidak percaya bahawa dia telah kehilangan orang yang disayanginya. Malah kehilangan waktu ini boleh mengganggu keupayaan individu tersebut untuk bekerja atau membuat sebarang keputusan.
  • Merana-boleh berterusan untuk beberapa minggu atau bulan
    • Dalam fasa ini pula individu boleh merasai gejala emosi seperti keliru, gelisah, marah pada diri sendiri atau orang di sekelilingnya, takut atau murung; gejala fizikal seperti susah untuk tidur, sering terjaga dari tidur pada awal pagi, kurang selera makan dan masalah tingkah laku seperti perasaan yang tidak stabil serta kurang tumpuan.
  • Penyembuhan
    • Individu akhirnya dapat menerima hakikat kehilangan orang tersayang dan mampu meneruskan kembali kehidupannya.

Tiada tempoh yang ditetapkan bagi masa berkabung yang normal.
Bagi kanak-kanak, reaksi berkabung boleh dilihat sebagai masalah kelakuan seperti sering menyendiri, memberontak, gagal menurut perintah, enggan ke sekolah atau prestasi pelajaran yang mula merosot.

Kesan dan akibat

Tempoh berkabung kadangkala mengambil masa panjang dan tidak pulih dengan sepenuhnya. Ini boleh mengganggu hubungan sosial dan fungsi individu berkenaan. Satu dalam setiap lima orang mungkin menghidapi komplikasi kemurungan semasa berkabung. Mereka yang mempunyai risiko terhadap komplikasi kemurungan ini terdiri dari individu yang pernah mempunyai sejarah penyakit kemurungan dan yang kurang mempunyai jalinan sokongan sosial. Gejala yang menunjukkan seseorang itu telah mengalami kemurungan adalah:

  • Perasaan bersalah yang melampau
  • Lembap di dalam pergerakan dan pemikiran.
  • Sering berfikir untuk membunuh diri
  • Merasa diri tidak berguna
  • Tidak berupaya untuk melakukan tugasan di tempat kerja
  • Hilang rasa seronok untuk melakukan aktiviti yang biasanya disukai
  • Halusinasi yang sering melibatkan si mati

Rawatan

Sokongan daripada ahli keluarga, rakan-rakan, masyarakat setempat merupakan faktor penting dalam menentukan pemulihan dari berkabung. Individu tidak digalakkan untuk menghadapi proses berkabung secara bersendirian.

Individu yang mendapat penyakit kemurungan semasa berkabung boleh dirawat dengan ubat-ubatan selain mendapat terapi sokongan psikologi daripada ahli psikologi klinikal, kaunselor terlatih atau pakar psikiatri.
Bagi kanak-kanak yang berkabung, penerangan dan perbualan mengenai isu berkaitan kematian dan si mati hendaklah dibuat dalam ayat yang mudah mereka fahami. Kanak-kanak ini perlu diberi masa dan perhatian untuk membolehkan mereka meluahkan perasaan yang dipendam.

Pencegahan

Bagi menghindari komplikasi berpanjangan akibat dari berkabung, langkah- langkah berikut boleh diambil:

  • Luahkan perasaan anda terhadap orang yang tersayang
  • Kekalkan gaya hidup yang sihat
  • Laluilah proses berkabung dalam situasi yang anda rasa sesuai dan selesa. Jangan membiarkan orang lain memberitahu bagaimana anda patut berperasaan atau memaksa diri anda untuk merasakan perasaan yang tidak wujud.
  • Rancang masa depan anda terutamanya dalam perkara atau aktiviti yang biasanya dilakukan bersama si mati

Kumpulan Sokongan

THE BEFRIENDERS
PERTUBUHAN KESIHATAN MENTAL MALAYSIA
Semakan akhir : 20 Mei 2008

No comments:

Post a Comment