Thursday 12 January 2012

Kementerian Kesihatan Sahkan Susu KR1M Selamat

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan kandungan vitamin A dalam produk susu tumbesaran yang dijual di rangkaian Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) tidak melebihi had maksimum yang ditetapkan di bawah Peraturan Makanan 1985.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, hasil pemeriksaan KKM di kilang yang mengeluarkan produk berkenaan mendapati kandungan vitamin A dalam produk tersebut tidak melebihi had 5,000 I.U (unit antarabangsa) dalam setiap hidangan harian.

"Sebagai langkah tambahan, KKM juga telah menjalankan verifikasi ke atas produk akhir tersebut dengan mengambil dan menganalisis produk tersebut untuk vitamin A dan keputusan menunjukkan bahawa kandungan vitamin A adalah 3,240 I.U. bagi setiap 100 gram.

"Oleh itu dakwaan pihak tertentu bahawa susu tersebut mengandungi vitamin A berlebihan adalah tidak benar," katanya di lobi Parlimen di sini, Rabu.

Pengesahan tersebut sekaligus menafikan dakwaan Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua sebelum ini bahawa susu tumbesaran yang di jual di KR1M berbahaya kerana mengandungi lapan kali lebih banyak vitamin A daripada had yang dibenarkan.

Dakwa Pua, pengambilan vitamin A secara berlebihan boleh menyebabkan 'Hypervitaminosis A' yang antara lain boleh menyumbang kepada masalah hati, mengurangkan ketumpatan mineral tulang dan perubahan warna kulit.

Menjelas lanjut Liow berkata, susu tersebut digolongkan di bawah Peraturan 395 manakala susu rumusan bayi (infant formula) dan susu rumusan susulan (follow-up formula) mempunyai standard yang tersendiri di bawah Paeraturan Makanan 1985.

Dalam pada itu menurut Liow, pemeriksaan KKM di kilang pengeluar produk sos tiram yang dijual di KR1M mendapati bahawa kandungan protein dalam produk tersebut tidak mematuhi standard yang ditetapkan di bawah Peraturan 166A.

"Sebagai langkah tambahan, KKM juga telah menjalankan verifikasi ke atas produk akhir sos tiram dengan mengambil dan menganalisis dua sampel produk tersebut.

"Hasilnya mendapati kedua-duanya tidak mematuhi standard iaitu mengandungi 0.8 peratus protein dan 1.0 peratus protein berbanding standard untuk sos tiram iaitu tidak kurang daripada 2.5 peratus protein," katanya.

Jelas beliau pihaknya telah memaklumkan perkara tersebut kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk tindakan menarik balik produk tersebut di pasaran.

No comments:

Post a Comment