Thursday 19 January 2012

Implan (Gigi)


Latar belakang

Implan merupakan rawatan alternatif untuk mengganti gigi yang hilang. Implan boleh mengubah cara hidup seseorang dengan memberikan keselesaan dan keyakinan untuk makan, bercakap dan menikmati kehidupan seharian.


Satu skru ditanamkan di rahang.

Kenapa perlu mengganti gigi yang hilang?
Kehilangan gigi perlu diganti untuk:

  • mengelak gigi berhampiran tersesar atau bergerak mengisi ruang gigi yang hilang.
  • memastikan pertuturan tidak terganggu.
  • mengekalkan keselesaan mengunyah.
  • memperbaiki paras rupa.

Apa fungsi implan gigi ?
Implan gigi digunakan untuk:

  • menggantikan sebatang gigi yang hilang dengan korona.
  • menggantikan beberapa gigi yang hilang dengan jejambat.
  • menggantikan kesemua gigi atas atau gigi bawah dengan gigi palsu (dentur).

Apakah bahan yang digunakan untuk membuat implan?

Implan diperbuat daripada bahan yang bersesuaian dengan tulang dan tisu manusia (contoh : titanium).

Adakah semua orang boleh menerima implan gigi?

Tidak semua orang boleh menerima implan gigi. Untuk memastikan keberkesanan jangka panjang menggunakan implan, kriteria-kriteria berikut adalah perlu :

  • Gusi yang sihat.
  • Rahang yang sesuai untuk menampung implan.
  • Tidak merokok.
  • Kebersihan mulut dan gigi yang baik.
  • Kesihatan yang baik. Sebarang masalah kesihatan (contoh kencing manis) adalah dalam keadaan terkawal.

Bagaimana rawatan implan dilakukan?

Prosedur ini memerlukan pembedahan kecil dan mungkin memakan masa hingga satu tahun. Tulang rahang akan digerudi; dan implan akan ditanam ke dalam tulang. Ianya akan dibiarkan sehingga sembuh sebelum korona atau jejambat dipasangkan.

Panduan penjagaan implan

  • Amalkan penjagaan gigi dan mulut yang baik;
    • Berus gigi
    • Gunakan flos
    • Berkumur-kumur
    • Dapatkan pemeriksaan pergigian secara berkala
  • Dari menggigit benda-benda yang keras.
  • Tidak merokok.

Berminat?

Lawati klinik pergigian untuk mendapatkan maklumat lanjut dan untuk menentukan adakah anda sesuai untuk menerima rawatan implan gigi.

Soalan-soalan yang kerap ditanya

  1. Mengapa rawatan implan gagal?
    Jawapan: Rawatan implan mungkin gagal kerana:
      • Jangkitan
      • Kebersihan mulut dan gigi yang tidak baik
      • Perokok yang tegar
      • Kegagalan implan bersatu dengan tulang rahang
  2. Berapakah kos rawatan implan?
    Jawapan: Bahan Titanium digunakan untuk implan dan ianya diketahui sangat mahal; kos rawatan bergantung kepada bilangan implan dan biaya rawatan sehingga selesai.


Semakan akhir : 28 Mac 2007

No comments:

Post a Comment