Thursday 19 January 2012

Hepatitis B

Apakah maksud Hepatitis B

Hepatitis B adalah disebabkan oleh virus Hepatitis B, HBV. Virus ini boleh didapati di dalam darah dan cecair badan orang yang telah dijangkiti dan boleh merebak jika anda terdedah kepada darah, cecair darah(serum) atau cecair dari alat kelamin mereka. Ini boleh berlaku jika anda berkongsi jarum dan picagari atau melalui hubungan kelamin. Wanita yang dijangkiti boleh menyebabkan bayi mereka terdedah kepada virus ini.

Bagaimanakah seseorang itu tahu bahawa dia telah dijangkiti Hepatitis B?

Anda akan mengalami tanda-tanda penyakit ini dalam masa 45-160 hari dari hari anda mula dijangkiti. Jika dijangkiti, orang dewasa adalah lebih cenderung untuk mengalami tanda-tanda dan gejala penyakit ini jika berbanding dengan kanak-kanak. Tanda-tanda awal dijangkiti Hepatitis B adalah :

* Penat
* Sakit kuning
* Gatal-gatal
* Hilang selera makan
* Hilang berat badan
* Sakit perut
* Sakit-sakit sendi

Apakah perjalanan semulajadi jangkitan kuman ini?

Kebanyakan orang yang telah dijangkiti akan pulih sepenuhnya. Sebilangan kecil akan menjadi lebih teruk dan boleh menyebabkan kegagalan fungsi hati yang boleh membawa maut. Ada juga yang akan menjadi pembawa virus Hepatitis B yang kronik selepas pulih dari jangkitan awal Hepatitis B.

Pembawa virus hepatitis B yang kronik adalah berisiko tinggi untuk mengalami komplikasi seperti berikut:

* Radang hati yang kronik (Chronic hepatitis)
* Cirrhosis hati (Liver cirrhosis)
* Kegagalan fungsi hati (Liver failure)
* Barah hati

Adakah jangkitan Hepatitis B boleh dirawat?

Tiada rawatan khusus untuk jangkitan awal hepatitis B. Langkah-langkah yang boleh diambil termasuk:

* Rehat yang secukupnya dan minum air dengan banyak
* Diet rendah lemak dan dan kurang perisa/tawar
* Elakkan arak/alkohol
* Dapatkan nasihat doktor mengenai ubat-ubat yang diambil untuk penyakit kronik yang lain

Pesakit radang hati yang kronik (chronic hepatitis) mungkin boleh dibantu dengan ubat interferon atau lamivudine.

Apakah langkah yang boleh diambil untuk mengelakkan dari dijangkiti hepatitis B?

1. Hepatitis B boleh dielakkan dengan :
* Menghindarkan aktiviti berisiko tinggi contohnya menagih dadah secara suntikan dan seks secara rambang
* Menghindarkan berkongsi barang-barang persendirian (contohnya pisau pencukur)
* Mengecualikan pembawa virus Hepatitis B sebagai penderma darah

2. Hepatitis B boleh dicegah dengan efektif melalui vaksin Hepatitis B. Di Malaysia, semua bayi diberi pelalian untuk HBV.

Pelalian Hepatitis B juga digalakkan untuk kumpulan umur dan populasi masyarakat yang tertentu. Contohnya:

* Mereka yang belum pernah mendapat pelalian hepatitis sebelum ini
* Mereka yang terdedah kepada orang yang dijangkiti dengan Hepatitis B di rumah atau secara seksual
* Mereka yang terdedah kepada darah atau produk darah
* Kakitangan kesihatan
* Pesakit-pesakit dialisis

Untuk ibu mengandung yang dijangkiti hepatitis B, anak anda perlu diberi immunoglobulin Hepatitis B secepat mungkin setelah lahir dan ini diikuti dengan pelalian vaksin.

No comments:

Post a Comment