Thursday 19 January 2012

Deruan Jantung (“murmur”)


Mengapakah deruan jantung (“murmur”) boleh terjadi?

Deruan jantung (“murmur”) ialah bunyi bising yang dapat didengar apabila darah mengalir melalui jantung. Kebanyakan deruan jantung ini dikatakan “innocent” (tidak merbahaya) atau “functional”, yang bermaksud jantung anak anda tidak bermasalah. Bunyi jantung ini boleh wujud sekali sekala sepanjang zaman kanak-kanak, dan boleh bertambah kuat atau perlahan bergantung kepada denyutan jantung anak anda. Kebanyakannya akan semakin sukar untuk didengar apabila anak anda semakin membesar dan lama-kelamaan akan hilang dengan sendirinya. Kadangkala bunyi jantung (“murmur”) ini boleh menjadi tanda penyakit jantung contohnya

  • jantung berlubang
  • injap jantung yang bocor
  • injap jantung yang sempit

Sekurang-kurangnya 30% kanak-kanak akan ada deruan jantung ini pada satu masa yang tertentu dalam hidup mereka.

Bagaimanakah ia dikesan

  • Jika tiada tanda-tanda atau gejala yang lain, deruan jantung (“murmur”) ini biasanya dikesan apabila kanak-kanak datang berjumpa doktor untuk pemeriksaan kesihatan atau imunisasi. Deruan jantung ini mungkin adalah “innocent”(tidak merbahaya) atau mungkin boleh dikaitkan dengan penyakit jantung.
  • Jika ada masalah sakit jantung, anak anda mungkin akan mengalami :
    1. sesak nafas ketika bermain atau menyusu
    2. denyutan jantung yang laju
    3. warna lidah dan kuku yang kebiruan
    4. pembesaran terbantut

Perlukah saya risau jika anak saya mempunyai masalah ini

Anak anda tidak akan bermasalah jika deruan jantung (“murmur”) ini adalah “innocent”(tidak merbahaya). Jika ada masalah sakit jantung yang lain, ia bergantung kepada jenis masalahnya. Sila dapatkan nasihat doktor.

Adakah ia perlukan rawatan

  • Tiada rawatan diperlukan untuk deruan jantung ("murmur" yang "innocent"(tidak merbahaya).
  • Jika anak anda mempunyai penyakit jantung, rujukan perlu dibuat ke hospital pakar. Ubatan mungkin diperlukan untuk prosedur tertentu (contohnya cabut gigi) atau sekiranya anak anda mengalami lemah jantung.
  • Pembedahan kadangkala diperlukan untuk merawat penyakit jantung yang tertentu.

Bolehkah penyakit jantung dikesan pada peringkat awal
Beberapa penyakit jantung boleh dikesan semasa bayi berada dalam kandungan melalui imbasan ultrasound yang terperinci. Ini seterusnya akan menentukan samada bayi anda perlu dilahirkan di hospital yang menyediakan kepakaran jantung supaya rawatan kecemasan dapat diberikan jika perlu.

1 comment:

  1. jantung sy sentiasa berasa sakit.kadangkala jantung sy terasa amat sakit.apabila jantung sy sakit secara tiba2 ia membuatkan saya rasa hendak pengsan dan menangis.disebabkan jantung sy berlubang dan tersa sakit menyebabkan sy tidak boleh bekerja lagi.krana jantung sy sering sakit.

    ReplyDelete