Sunday 22 January 2012

Air mani cair, 6 bulan kahwin belum hamil

Soalan: SALAM doktor. Saya sudah enam bulan mendirikan rumah tangga, tapi belum hamil. Saya tiada masalah dengan haid, teratur dalam jangka 25 hingga 28 hari. Sewaktu hubungan intim juga tidak berasa sakit pada mana-mana bahagian, cuma air mani suami agak cair. Kami cuba makan barli dan brokoli, hasilnya belum dapat dilihat. Air mani masih juga cair dan selalu keluar dari vagina selepas hubungan intim. Mohon pandangan doktor. - Azlin
Jawapan: ASSALAMUALAIKUM Azlin. Kalau hendak dikatakan puan mengalami masalah kesuburan adalah terlalu awal. Dari sudut perubatan, seseorang itu mempunyai masalah kesuburan selepas 12 bulan bersama dan melakukan hubungan seksual secara normal.
Apa saya maksudkan di sini kekerapan hubungan seksual dalam dua hingga tiga kali seminggu. Jadi puan masih dianggap normal kerana baru enam bulan berkahwin. Adalah dianggarkan selepas setahun berkahwin, 80 hingga 90 peratus wanita berjaya hamil.

Masalah kesuburan ini adalah dalam anggaran 15 hingga 20 peratus dalam semua pasangan yang berkahwin. Sememangnya pasangan yang sudah berkahwin menginginkan anak secepat mungkin. Jika ia tidak berlaku, ada tekanan kepada pasangan ini terutama pada isteri. Tekanan dari keluarga, kawan malah juga suami.

Bayangkan manusia mempunyai peluang 12 kali setahun untuk mengandung dan telur serta sperma hanya mempunyai dua hingga tiga hari saja untuk bersatu. Bagi saya kitaran haid amat penting. Kitaran yang normal setiap bulan mempunyai peluang yang cerah untuk mengandung. Kitaran haid puan tiada masalah setakat ini.

Ada beberapa faktor lain yang penting untuk hamil. Misalnya jumlah dan kualiti sperma suami dan saluran fallopian mestilah tidak tersumbat. Jadi siapakah puncanya? Dari segi perubatan, punca ketidaksuburan adalah dari kedua-dua pihak iaitu sepertiga dari perempuan, sepertiga dari lelaki dan sepertiga lagi dikongsi bersama.
Bagi pihak lelaki tentu sekali sperma adalah penting. Selepas ejakulasi di dalam vagina, air mani akan terkumpul dan pintu servik akan dibasahi air mani ini. Pada permulaannya, air mani akan berkumpul (coagulate) dan ini penting untuk menghalang sperma dari ‘lari’ keluar selama 30 hingga 45 minit.

Sebenarnya dalam beberapa minit selepas ejakulasi, sperma di dalamnya sudah pun berada dalam saluran fallopian menunggu telur untuk persenyawaan. Jadi puan tidak perlu gusar air mani meleleh keluar selepas bersama suami kerana ia perkara biasa. Kalau ingin menambah peluang mengandung dengan menghalang air mani terkeluar, saya cadang letakkan bantal di bawah punggung selepas bersama. Ini dapat menaikkan punggung ke atas.

Satu perkara lagi, waktu subur seseorang wanita itu dari hari ke-11 hingga ke-17 setiap bulan. Hari pertama adalah hari mulanya haid puan. Kalau puan ingin membuat pemeriksaan, saya syorkan periksa suami dulu kerana ia amat mudah. Elok juga puan mula ambil asid folik dari sekarang. Seandainya puan masih sukar hamil selepas setahun berkahwin, berjumpalah doktor pakar.

Jawapan oleh Dr Suhaimi Isa
bminggu@bharian.com.my

1 comment:

  1. Dari Ika yang rungsing
    Salam 1 Malaysia Dr:
    Saya baru mendirikan rumah tangga pada bulan 12/2012. Setiap rumah tangga amat mengharapkan cahaya mata dalam perkahwinan,sama seperti saya dan suami. Saya mempunyai berat badan 92 kg dan juga turut mempunyai masalah sengugut setiap kali haid. Kalau nak di ikutkan kitaran haid saya dalam sebulan adalah 28 hari. Formula doktor untuk dapat tarikh subur adalah 28-14= 14 hari, maknanya tarikh subur saya adalah pada hari ke-14. Saya mempunyai 4 soalan iaitu:
    1) Adakah saya boleh hamil jika saya dan suami bersama bukan pada tarikh subur tersebut, ini kerana kami mengalami hubungan perkahwinan jarak jauh (PJJ) dan mungkin sukar untuk bersama pada tarikh subur tersebut.
    2) Bolehkan saya makan ubat clomit tanpa nasihat doktor.
    3) Adakah disebabkan berat badan yang berlebihan menyebabkan saya sukar hamil.
    4) Adakan disebakan masalah sengugut menyebabkan saya sukar hamil.

    Segala kerjasama saya dahulukan ucapan terima kasih.

    ReplyDelete