Thursday, 9 February 2012

Ujian MRI ketika hamil

SAYA kini hamil 23 minggu. Adakah sebarang kesan kepada bayi dalam kandungan sekiranya kita membuat ujian MRI ketika hamil?

AZZA,
Kuala Lumpur



Click Here

Sebelum anda mengutarakan persoalan ini di ruangan ini, anda pasti sudah diberi penerangan oleh doktor anda mengenai ujian MRI. MRI adalah antara ujian yang canggih dan dapat memberikan imbasan organ dalaman dengan jelas, seolah-olah menatap foto.

Bagaimanapun, ujian MRI bukan murah, kosnya sekitar RM1,000 ringgit. Maka, bukanlah senang-senang untuk doktor mencadangkan ujian ini ke atas pesakit, sama ada bagi mereka yang membayar tunai mahupun ditanggung majikan atau pihak insurans.

Doktor anda pasti sudah menjelaskan keperluan MRI terhadap anda. Saya pasti ujian asas dan ujian yang lebih mudah serta murah sudah dijalankan dan doktor masih belum mendapat jawapan pasti atau meyakinkan sebelum melakukan ujian atau kaedah yang lebih invasif atau traumatik, maka beliau mencadangkan ujian MRI ini.

Secara amnya, pada usia kandungan 23 minggu, organ janin sudahpun lama terbentuk, hanya kini mengamati pertumbuhan atau pembesarannya saja.
Pembentukan organ janin berlaku dalam trimester pertama kehamilan.

Bagaimanapun, kesan sesuatu ubat atau alat ujian akan terus dipantau dan sebarang komplikasi lazimnya dilaporkan dan kemudian dikaji semula sama ada ia wajar diamalkan atau patut dihentikan sepenuhnya ataupun diteruskan tetapi dengan berhati-hati atau langkah penjagaan tertentu.

Kemungkinan kesan ke atas sifat fizikal janin dijangka tiada atau hampir tiada manakala kesan perkembangan fungsi sama ada aktiviti pergerakan serta aktiviti mental hanya dapat diketahui pada bayi anda setelah ia lahir dan membesar kelak, sama ada berkaitan atau tidak. Di dalam kajian, ia sukar dibezakan dengan faktor persekitaran yang lain.

Pesakit perlu memberikan persetujuan menjalani apa-apa prosedur. Dunia perubatan memberi ruang perbincangan antara pesakit dengan doktor dan pesakit tidak perlu berasa terpaksa.

Lazimnya doktor akan memberikan beberapa pilihan. Setiap satunya mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri. Biarlah anda membuat pilihan yang wajar dan mengikut bukti perubatan moden setelah mendapat penjelasan mencukupi daripada doktor anda sendiri.

No comments:

Post a Comment