Oleh Md Fuzi Abd Lateh
mdfuzi@hmetro.com.my
LANDSKAP taman ceria nan indah mampu menterjemahkan keunikan bandar Bukit Fraser yang cukup sinonim dengan pelataran bunga-bungaan segar tanah tinggi.
Hamparan warna-warni spesies bunga jenis blossom dari negara yang mempunyai cuaca empat musim sungguh indah dan mendamaikan.
Tidak hairanlah mengapa pelawat pasti terpukau dan teruja melihat bunga-bungaan jenis ‘impatiens’ yang ditanam segar dalam taman sekitar bandar ini.
Kesungguhan Perbadanan Bukit Fraser (PBF) dan Majlis Daerah Raub (MDR) mengindahkan bandar ini harus dipuji.
Click Here
Mendamaikan jiwa apabila melihat dan merakam gambar kenangan dalam taman berlatarkan puluhan spesies menarik di kawasan ini.
Beraneka corak, bentuk dan bunga kelihatan hidup segar dalam keadaan suhu sejuk sepanjang tahun. Penjagaan dekorasi taman lebih mudah serta kelihatan kemas sepanjang masa.
Tidak hanya terdapat bunga berwarna garang seperti merah, jingga, oren dan biru malah ada berwarna lembut yang mampu menenangkan jiwa.
Jaluran pokok bunga ditanam dalam batas diperbuat daripada batu kelihatan kemas. Susunan aneka corak dan warna bunga musim sejuk ini mampu membangkitkan ruang kreatif dan mengagumkan.
Mercu tanda bandar ini jelas menggunakan elemen tumbuhan hijau menjalar di kawasan muka jam yang disediakan di tengah-tengah bandar kecil ini.
Beberapa spesies bunga aneka warna ditanam dalam ruangan yang disediakan beberapa tahun lalu. Kurang penjagaan taman ini tidak menghalang usaha menceriakan landskap mesra alam di sini.
Beberapa jenis pokok bunga jenis keladi dan pokok palma ditanam segar sepanjang jalan menuju ke bandar ini. Ada yang ditanam dalam pasu serta diletakkan di pintu masuk beberapa destinasi yang kerap dikunjung ramai pelawat.
Beberapa hotel, resorts dan pangsapuri penginapan turut memberikan komitmen padu menyokong usaha menjadikan bandar ini damai, bersih, selesa dan indah dipandang.
Terdapat sekumpulan pokok bunga berdaun tirus, kecil yang mempunyai bunga berwarna putih yang saling melengkapi ruangan taman untuk kunjungan pelawat.
Kebijaksanaan pihak pengu�rusan menggunakan ruang, tempat dan memilih spesies bunga-bungaan yang sesuai mampu menyerlahkan daya kreativiti mencipta landskap menawan di bandar ini.
Walaupun saiz bandar yang kecil, namun susunan dekorasi yang menyeluruh mampu membangkitkan aura kepuasan diri setiap pengunjung.
Terdapat arca, monumen dan batu tanda baru yang dibina di sini. Setiap kawasan di sini ditanam anak pokok bunga yang pelbagai saiz dan warna.
Tidak lengkap kunjungan ke sini sekiranya peminat seni dekorasi taman tidak membeli beberapa spesies anak pokok bunga yang sesuai ditanam kawasan kediaman masing-masing.
No comments:
Post a Comment