Oleh HIDAYATUL AKMAL AHMAD
hidayatulakmal@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
PERHATIAN kepada golongan wanita. Adakah anda sering sakit perut, pinggul, kitaran haid tidak teratur dan sakit sewaktu melakukan hubungan seksual? Jika jawapan anda ya, ia mungkin disebabkan penyakit endometriosis.
Ketika ini, pelbagai tafsiran dibuat mengenai penyebab penyakit itu, namun punca sebenar masih belum diketahui. Yang pasti, endometriosis menyerang wanita tanpa disedari.
Perunding Obstetrician dan Pakar Sakit Puan Pusat Perubatan Kelana Jaya, Dr Dharmini Veerakumaran berkata, endometriosis adalah satu keadaan luar biasa yang mana tisu daripada selaput dalam rahim yang digelar endometrium tumbuh di bahagian yang tidak sepatutnya iaitu di luar rahim.
Selaput ini biasanya hadir bersama darah haid. Oleh itu campuran darah daripada rahim dengan tisu yang berkecai daripada lapisan endometrium serta bakteria yang digelar sebagai darah haid.
“Ramai wanita masih tidak mengetahui penyakit ini sedangkan mereka menghadapinya. Antara simptom yang biasa berlaku apabila diserang penyakit ini adalah sering keguguran, mandul, senggugut selain boleh menyebabkan masalah pendarahan, kesakitan dan gangguan air kecil.
“Sehingga kini punca sebenar penyakit endometreosis masih belum diketahui, namun ada teori mengatakan ia berpunca daripada darah haid yang berundur ke belakang dan membawa bersama tisu endometrium menyebabkan ia tumbuh pada pelvis dan berdarah seperti mana kitaran haid,” katanya sewaktu ditemui di pusat perubatan itu, baru-baru ini.
Menurutnya, ada juga yang menyatakan ia tersebar melalui darah ke pelbagai bahagian lain di dalam badan. Ia juga mungkin membabitkan mekanisma lebih kompleks, yang mana wujud interaksi tidak normal pada peringkat sel dan perubahan hormon.
Endometriosis juga kerap terjadi pada wanita dalam lingkungan umur lewat 20-an dan 30-an, juga kepada wanita yang tidak pernah melahirkan anak.
Endometriosis memiliki komponen genetik iaitu jika seseorang wanita yang mengalami endometriosis mempunyai saudara terdekat, ada kemungkinan saudaranya itu turut mengalaminya.
Jelasnya, endometriosis turut memberi kesan kepada tahap kesuburan wanita. Dalam keadaan normal, lapisan endometrium hanya ada pada dinding rahim manakala bagi kes endometriosis, lapisan tisu itu dijumpai pada kawasan badan lain, terutama di dalam pelvis seperti ovari, salur Fallopio, permukaan rahim, sekitar pelvis, usus, rektum dan pundi kencing.
Ia boleh juga dijumpai di bahagian yang lebih jauh pada tubuh, termasuk paru-paru dan hati, tetapi sangat jarang berlaku.
“Meskipun tisu endometrium berada di luar kawasan yang sepatutnya, ia masih responsif terhadap perubahan hormon yang berlaku ketika kitaran haid wanita.
“Seperti haid, tisu endometriosis akan gugur dan berdarah, begitu juga dengan cara sama dengan dinding rahim yang akan gugur dan berdarah ketika kitaran haid.
“Tisu yang gugur dan berdarah di sekitar organ pelvis akan menyebabkan parut dan organ lain yang berhampiran melekat antara satu sama lain.
“Jika tiada rawatan dan tidak dikesan lebih awal, ia akan menyebabkan struktur organ pelvis beralih dari kedudukan normal,” katanya yang berharap golongan wanita akan lebih peka terhadap penyakit ini.
Sebagai contoh paling kerap berlaku, kedudukan ovari yang melekat pada uterus akan menyebabkan salur Fallopio berjauhan daripada ovari dan jika berlaku ovulasi, telur tidak dapat dicapai salur fallopian dan persenyawaan tidak akan berlaku.
Dalam kes lebih serius, kerosakan mendalam pada salur Fallopio menyebabkan ia tersumbat, rosak dan kemandulan akan berlaku.
Ovari yang ditumbuhi endometriosis pula akan mengumpul darah ketika kitaran haid dan berlakulah ovarian cyst yang mengandungi darah, iaitu seakan-akan seperti coklat cair di dalamnya.
Jika keseluruhan ovari diselaputi oleh endometriosis, ovari tidak dapat lagi berfungsi dengan normal dan gagal melepaskan telur disebabkan folikel terperangkap oleh parut pada bahagian permukaan ovari.
Endometriosis juga boleh menjejaskan kesuburan dengan melepaskan bahan kimia beracun pada pelvis. Jika telur berjaya dilepaskan juga daripada ovari, bahan kimia ini boleh mengurangkan kemampuan telur untuk disenyawakan.
Bahkan, ia juga boleh memberikan petunjuk kepada sel pemusnah badan untuk melemahkan telur, sperma dan juga embrio menyebabkan janin kurang sihat dan keguguran senang berlaku.
Apakah gejala endometriosis?
Sakit pada bahagian pelvis antara gejala utama dan ia kerap terjadi sebelum kitaran haid bermula lagi. Sakit juga kerap terasa ketika melakukan hubungan seks, membuang air kecil atau air besar.
Bagaimanapun, kekerapan dan intensiti rasa sakit sebenarnya tidak berkait dengan keseriusan penyakit dialami. Sesetengah wanita mungkin mengalami sakit keterlaluan, tetapi endometriosis mungkin masih pada peringkat awal dan mereka yang tiada gejala atau sakit yang ringan mungkin berada pada tahap endometriosis teruk.
Dalam kebanyakan kes, endometriosis gagal didiagnos pada peringkat awal hinggalah wanita berkenaan berjumpa doktor disebabkan kegagalan untuk hamil kerana kebanyakan pesakit tidak mempunyai tanda atau gejala.
Bagaimana diagnosis dilakukan?
Doktor selalunya akan mengambil sejarah perubatan terperinci dan melakukan pemeriksaan fizikal, termasuk pemeriksaan faraj dan ultra sound. Jika mengesyaki kemungkinan wanita itu mengalami endometriosis, doktor mungkin menyarankan pembedahan laparoskopi untuk melihat keadaan bahagian dalam ruang pelvis.
Rawatan
Rawatan untuk endometriosis bergantung pada sejauh mana penyakit, gejala dan keinginan pesakit untuk memiliki anak. Endometriosis boleh dirawat dengan ubatan, pembedahan atau kedua-duanya sekali.
No comments:
Post a Comment