Thursday, 9 February 2012

Ikan kod rebus hidangan istimewa

RASA ikan kod yang lemak bersama manis dan masin sosnya memang menyelerakan. Apatah lagi apabila ikan kod yang direbus itu dinikmati bersama sos tomato kurang pekat dan sos mentega bagi menambah rasa lemak pada masakan.

Itulah antara hidangan menarik di restoran Cibo, Hotel Holiday Villa, Subang Jaya menerusi promosi terkini hidangan diberikan nama Every Drop of My Heart pada 13 dan 14 Februari ini.

Keenakan hidangan ditambah dengan sayur-sayuran panggang bagi melengkapkan hidangan makan malam. Menariknya, sayur-sayuran yang dipanggang itu dihidang menggunakan adunan lapisan pastri rangup.

Rasa ikan kod yang tidak hamis barangkali membuatkan kita tertanya-tanya kaedah penyediaannya.
Click Here


Menurut Chef Azramrizal Ramli, beberapa perkara harus dititikberatkan ketika menyediakan hidangan menggunakan ikan kod.


“Memandangkan ikan kod mahal harganya dan sukar didapati di pasaran, jadi penyediaannya yang sempurna harus diambil kira. Antara cara menghilangkan rasa hamis atau hanyir ikan kod adalah dengan meletakkan halia dalam masakan.

“Selain halia, masakan juga harus ada sedikit rasa masam bagi menghilangkan rasa muak kerana ikan ini agak lemak. Misalnya, menggunakan tomato bagi menambah sedikit rasa masam dalam hidangan dan imbangi dengan penggunaan sos mentega.

“Jika ingin benar-benar hilangkan rasa hanyir pada ikan, ia harus digoreng, tetapi harus berhati-hati kerana strukturnya mudah hancur,” katanya.

Selain hidangan utama ikan kod bersama sayur-sayuran pang�gang, menu daging kambing panggang bersama hirisan cendawan dan tomato juga antara pilihan hidangan makan malam di restoran ini.

Sebelum menikmati hidangan utama, pengunjung terlebih dulu dihidang dengan pembuka selera, bruschetta iaitu roti Itali bakar bersama bawang putih bersama tomato, anggur segar, biji selasih serta tambahan minyak zaitun.

Selepas menikmati pembuka selera, hidangan First Kiss membuatkan pasangan anda teruja dengan persembahan kreatif daripada Chef Azramrizal yang menggunakan hati ayam bersama hirisan epal menjadi bentuk hati.

Hidangan hati bersama hirisan epal ini bagi mengurangkan rasa muak selain hidangan daging itik panggang.

Selepas menikmati kesegaran hirisan daging itik dan hati ayam, pengunjung akan merasai keenakan paduan rasa makanan laut bersama sup labu.

Ia kelihatan sedikit janggal tetapi pembaharuan yang cuba dilakukan oleh Chef Azramrizal dilihat begitu kreatif kerana menghasilkan rasa manis, masam dan lemak antara makanan laut, labu serta jus limau purut.

Selesai menikmati pembuka selera dan hidangan utama, pencuci mulut Passionate Kiss menyajikan tiramisu mousse bersama rasa mentega kacang yang dihidang dengan kaligrafi coklat berbentuk seperti kon ais krim.

Ia bertambah segar dengan rasa strawberi dan mangga yang dimakan bersama krim kastard bagi mengakhiri makan malam romantis ini.

Promosi hidangan ini boleh dinikmati pada harga RM140++ setiap orang manakala pengunjung wanita akan menerima hadiah istimewa. Untuk sebarang maklumat lanjut atau tempahan, layari www.holidayvillahotelssubang.com.

Oleh Hajahfarhana Tarmudi
hajahfarhana@hmetro.com.my

No comments:

Post a Comment