Thursday, 9 February 2012

Rumah jagaan orang Islam pertama

KETIKA saya menelefonnya untuk membuat temujanji, dia meminta maaf kerana lambat menjawab telefon kerana katanya, perlu menguruskan kematian seorang warga emas.

Pada hari kedatangan kami menemuinya, sekali lagi dia meminta maaf lambat sedikit bertemu kami kerana hari itu ada satu lagi kematian di rumah jagaan.
Kami membiarkan wanita bertudung labuh itu menyelesaikan urusannya sebelum temubual dijalankan.


Muji Sulaiman, 51, bukan sebarangan. Sejak awal dia sedar cabaran yang bakal ditempuhnya bukan kecil. Tetapi pada 16 Jun 2003, dia tekad meneruskan apa yang diimpikannya.
Click Here

Maka sehingga kini, terus wujud Rumah Jagaan dan Rawatan Orang-orang Tua al-Ikhlas di Puchong. Ketika itu dia masih bekerja tetapi niat di hati diteruskan juga kerana alasan yang bagi Muji sangat mendesak.

“Sebab utama saya membuka rumah jagaan ini adalah sehingga kini belum ada rumah jagaan Islam sepenuhnya. Selalunya orang Islam ditempatkan di rumah bukan Islam dan bagi saya perkara ini amat menyedihkan. Rumah jagaan saya ialah rumah jagaan orang Islam yang pertama di Malaysia,” katanya.

Dalam menjalankan operasi rumah jagaan itu, Muji memberitahu dia meletakkan dirinya seperti warga emas lain yang uzur di akhir usia mereka.

“Pada waktu ini apa yang sepatutnya kita cari? Kita nak gandakan amal ibadat, mengaji dan mendekatkan diri pada Allah. Hal kebendaan kita tak fikir lagi.
Jadi inilah yang kami berikan di rumah jagaan ini. Antaranya ada solat jemaah setiap hari, begitu juga ceramah agama yang memberi kita keinsafan,” katanya.

Pengalaman sebagai jururawat digunakan sepenuhnya dalam membentuk operasi rumah jagaan itu yang berkonsepkan penjagaan hospital.

“Mandi, makan, rehat, makan ubat, tidur dan kedudukan katil semuanya saya terapkan daripada konsep hospital,” kata bekas ketua jururawat yang bergelar ibu tunggal kepada tiga anak ketika anak bongsu berumur tujuh tahun.

Kini anak-anaknya sudah berusia 27, 26 dan 25 tahun. Semua sudah berjaya dan ada yang sudah berkeluarga.

Mengakui cabaran menjaga orang tua sangat besar, Muji sentiasa mendidik diri supaya kuat dengan kesabaran dan keikhlasan.

“Kerenah mereka pelbagai. Sekiranya 50 orang, semuanya berbeza perangai. Hendak mencari pekerja memang sukar dan alhamdulillah, kini saya mempunyai sembilan pembantu terbaik. Kriteria yang saya cari ialah sabar dan mematuhi peraturan yang saya tetapkan kerana sekiranya gagal, saya tidak akan bertolak ansur,” katanya.

Apakah peraturan yang ditetapkan Muji?

“Hanya saya yang boleh menegur orang tua di sini. Itu yang paling utama. Mereka sama sekali tidak boleh memarahi atau memukul orang tua di sini!” tegas Muji dan menambah, bayangkan setiap orang pekerja ‘berkuasa’ memarahi warga tua, tentu saja warga emas akan tertekan dan tidak gembira.

Menjaga orang-orang tua yang lebih 50 orang sudah menjadi rutin Muji dan keluarganya.

“Anak saya sendiri jururawat. Sekiranya dia cuti, dia datang sini membantu saya memberi ubat kepada orang-orang tua. Sebenarnya saya dulu menjaga arwah bapa ketika dia terlantar sakit selama tujuh tahun.

“Dia sangat cerewet daripada segi makan dan tidak mahu langsung memakai lampin.
Jadi saya kena lap dia dan selalu tukar cadar. Ketika dia meninggal, tiada air mata saya yang tumpah kerana selama tujuh tahun saya setia menjaganya. Selepas tiga hari baru saya rasa sunyi, kosong dan rindu padanya.

“Semua kebiasaan yang saya lakukan sebelumnya sudah berubah,” Muji berkongsi cerita kenangan bersama arwah bapanya.

Emak Muji, Salmah Syed Ali Medina, 81, turut tinggal di rumahnya dan menyokong usaha yang dilakukan si anak.

Pada 2007, Muji diuji Allah apabila dikesan mendapat barah payudara peringkat empat. Keadaan ini membuatkan dia terpaksa bersara awal. Tetapi setelah melalui rawatan dan kini pulih, semangat dan ketabahan Muji semakin kuat.

“Sembilan puluh peratus warga emas di sini adalah kes hospital. Ada yang tiada waris dan tinggal secara percuma. Sepuluh peratus lagi saja yang berbayar. Ada juga yang hantar ibu bapa ke sini kemudian tidak datang lagi.

“Sebenarnya tidak salah hantar ibu bapa tua ke pusat jagaan kerana kita tahu masing-masing ada kesibukan sendiri tetapi luangkan masa datang menjenguk ibu bapa itu semula. Sebab itu ada orang tua di sini yang menganggap anak mereka sudah mati kerana anak-anak itu langsung tidak menjenguk,” katanya.

Menurutnya, setiap bulan pasti ada kemasukan baru dengan pelbagai keuzuran dan 90 peratus penghuni di situ perlu dimandikan petugas pusat jagaan. Umur mereka dari 39 hingga 103 tahun manakala kira-kira 60 peratus pula sudah nyanyuk.

“Untuk kemasukan ke sini, kalau dihantar oleh waris saya akan tapis sedalam-dalamnya dulu. Tengok juga sikap mereka. Sekiranya mereka bersikap kurang ajar, memang saya tak terima,” katanya.

Rumah jagaan Muji lebih bersikap kebajikan justeru, majoriti kos operasi ditanggung oleh Muji sendiri.

“Dulu gunakan duit gaji dan sekarang guna duit pencen. Mereka yang membayar pun tidak sama jumlah. Daripada RM400 hingga RM600 saja,” katanya.

Pesan Muji, sekiranya tidak berdaya menjaga ibu bapa dan terpaksa meletakkan mereka di rumah jagaan, jangan terus pergi begitu saja tanpa peduli lagi kepada orang tua kita.

“Untuk meletakkan ibu atau bapa di pusat jagaan, anak-anak perlu berbincang dan sepakat. Pastikan warga emas Islam dimasukkan ke rumah jagaan Islam juga.
Berbincang mengenai giliran melawat kerana kita faham masing-masing ada keluarga dan kerja sendiri. Tetapi tidak boleh tidak kena ziarah dan jaga hati orang tua kita kerana itu tanggungjawab yang tidak mungkin hilang.

“Bila ada tarikh atau hari istimewa, berpakat adik-beradik, datang sini dan raikan bersama ibu atau bapa kita. Seronok sikit hati orang tua,” katanya.

Pesan terakhir Muji sebelum temubual kami tamat, jangan beri contoh yang buruk pada anak-anak kita.

“Apa yang kita buat pada ibu bapa kita, di kemudian hari anak-anak pula buat pada kita. Saya pasti anak-anak zaman ini semuanya terpelajar jadi buatlah perkara yang sepatutnya,” katanya.

Warga emas di rumah jagaan Muji bertukar ganti. Ada yang baru dan juga yang pergi menghadap Ilahi. Muji terus tabah dengan usahanya. Marilah kita mendoakan dia sentiasa dikurniakan kesabaran dan mendapat balasan syurga.-Metro

No comments:

Post a Comment