Thursday, 9 February 2012

Renang buat Diana awet muda

JIKA direnung lama pun tidak dapat diteka umur wanita yang gigih berlatih berenang selama empat jam sehari, empat hari seminggu di Pusat Akuatik Rose Bowl di Pasadena, California. Renangannya yang ‘berirama’ itu pantas dan bertenaga.

Sekali imbas, jika dinilai daripada susuk tubuhnya, mungkin ada yang menyang�ka dia masih muda kerana badannya yang tegap dan tiada lipatan lemak, walaupun kulitnya kemerahan dibakar cahaya matahari dan lengannya penuh dengan parut akibat sengatan obor-obor. Namun hakikatnya, pemegang rekod dunia renang jarak jauh (yang berenang sejauh 164 kilometer di laut lepas dari utara Pulau Bihimi, Bahamas ke Pantai Juno, Florida tanpa sangkar perlindungan jerung) kini sudah berusia 63 tahun!

Sambil berenang, otaknya ligat mengira jumlah pusi�ngan yang sudah dilakukan - mula-mula dalam bahasa Inggeris, diikuti bahasa Jerman, Sepanyol dan Perancis. Tujuannya untuk memfokuskan fikirannya ketika melakukan perkara yang sama berulang kali.

Malah dalam temu bual dengan New York Times, Diana Nyad memberitahu, ketika renangan yang panjang (10, 12 atau 24 jam), dia bukan saja mengira malah menyanyi! Dia akan menyanyi lagu ‘It Ain’t Me, Babe’ 10 kali, diselang seli dengan kiraan dalam empat bahasa dan diikuti dengan lagu Paperback Writer 10 kali lagi. Jika jemu, dia akan memilih daripada 65 lagu yang dihafalnya.
Click Here


Dilahirkan pada 22 Ogos 1949 di New York City, karier Diana sebagai perenang bermula ketika masih di bangku sekolah dan memenangi ba�nyak anugerah. Dia mengimpikan untuk menyertai Sukan Olimpik pada 1968 tetapi impiannya tidak kesampaian apabila dia mengalami endokarditis iaitu jangkitan pada jantung.


Namanya mula terkenal apabila dia menyertai maraton renang dan mencatat rekod dunia perenang wanita yang berjaya berenang sejauh 16 kilometer dengan catatan masa empat jam dan 22 minit dalam pertandingan di Tasik Ontario, Kanada pada 1970.

Dia pernah cuba berenang dari Havana ke Florida namun ombak laut menolaknya ke barat menghampiri Teluk Mexico dan menyebabkan semakin sukar untuk sampai ke darat. Ini membuatkan dia terpaksa menamatkan renangan selepas 41 jam dan 49 minit berada dalam air.

Antara pencapaian terbesar ialah ketika dia berusia 28 tahun, nama�nya terpahat dalam rekod dunia sebagai perenang jarak jauh dari Pulau Bimini ke Florida yang mengambil masa selama lebih dua hari tanpa henti dan sehingga kini masih belum ada yang mampu memecahkan rekodnya itu. Selepas itu Diana berehat daripada berenang selama 30 tahun!

Pencapaiannya memang sangat gah tetapi katanya, berenang adalah sukan yang susah dan ‘sangat sunyi’. Sebagai perenang maraton, masalah seperti rengsa mulut, cirit-birit, mual, hipotermia (suhu badan menjadi terlalu rendah), bibir bengkak dan kurang tidur adalah perkara biasa.

Dalam tempoh ‘rehatnya’ itu, dia bekerja sebagai wartawan sukan di sebuah stesen televisyen dan menulis buku mengenai kecergasan. Pada masa sama, dia juga menjadi juruhebah radio.

Wanita aktif seperti Diana memang tidak boleh duduk diam. Dia terus ‘menguji’ ketahanan dirinya melalui aktiviti fizikal seperti berbasikal sejauh 160 kilometer.

Apa yang menyemarakkan cinta Diana kepada air? Menurut jaguh renang veteran ini, dia berasa selamat ketika berada dalam air. Malah aktiviti berenang membolehkan dia keluar dari rumah dan jauh daripada bapa tirinya yang kerap mengejutkan dia bangun pada jam 3 pagi untuk melihat ‘bulan penuh’. Namun lebih penting adalah ketika berada dalam air, dia terselamat daripada penderaan seksual yang dialaminya ketika di sekolah menengah.

Ketika usianya mencecah 60 tahun dan sudah memiliki pelbagai pengiktirafan, Diana mengakui masih belum puas malah dia berasa kesal kerana ada banyak perkara yang disifatkannya sebagai ‘tidak dilakukan sebaik mungkin’. Kekecewaan ini mungkin ada kaitan dengan perpisahannya dengan pasangan, kematian ibu dan bapanya pada 2007 dan tidak mempunyai anak.

Dia pernah membuang semua peralatan renangnya. Semua ini dilakukan pada hari Isnin selepas kecewa kerana gagal menyempurnakan misinya merentasi Selat Florida, namun sehari sebelum pemungut sampah sampai, dia mengambil semula barang kesayangannya itu.

Jadi, pada usia 60 tahun, dia mula berenang semula dan kali ini mahu memulakan cabaran dari Florida ke Cuba sejauh hampir 166 kilometer merentasi Selat Florida tanpa sangkar perlindungan jerung. Bagaimanapun misi tahun lalu itu gagal disempurnakan apabila dia disengat obor-obor.

Cubaan pertama terpaksa dihentikan selepas 28 jam berenang kerana serangan asma (kali pertama dialaminya). Cubaan kedua pula terhenti hanya selepas dua jam berenang akibat disengat obor-obor. Selepas mendapat rawatan, dia kembali berenang tetapi 24 jam berikutnya dia diserang sekumpulan obor-obor buat kali kedua.

Empat jam menerima rawatan, Diana kembali ke dalam air dan selepas 41 jam dia diberitahu misinya itu mustahil dicapai kerana sengatan obor-obor memperlahankan renangannya daripada 60 kuakan kepada 55 kuakan seminit. Malah dengan kadar renangan berkenaan, dia tidak mungkin dapat melawan ombak yang akan menghanyutkannya ke pantai.

Walaupun gagal menamatkan misinya, namun impian Diana untuk menjadi inspirasi dan pembakar semangat kepada orang lain sedikit sebanyak sudah tercapai. Dia juga membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk menggapai impian asalkan berusaha bersungguh-sungguh.

“Kepada mereka yang mendapat inspirasi daripada usaha saya, teruslah berusaha berlatih, cabar keupayaan diri sendiri dan capailah impian anda. Pada saya, tidak berjaya menamatkan misi merentas Selat Florida ke Cuba bukan satu kegagalan.

“Ini adalah cara saya dan rakan kumpulan pengiring memenuhi hidup kami de�ngan sesuatu yang bermakna. Tiada orang boleh ambil pengalaman yang kami miliki ini,” katanya penuh semangat.



Susunan Norlaila Hamima Jamaluddin

No comments:

Post a Comment